Selama 18 tahun berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat berbilang negara, Honeywell Inc, Cik Noorasykin Mokhtar, 42 tahun, sudah biasa berdepan dengan cabaran bekerja dalam persekitaran yang dikuasai lelaki.
Walaupun kerap diuji oleh cabaran pekerjaan, prinsip teguh dan keyakinannya mendorong beliau terus maju. Dengan kelulusan sarjana muda Kejuruteraan daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Noorasykin menggunakan disiplin serta daya tahan yang dipelajarinya untuk membina perniagaan pakaian sukan mesra Muslimah, Afactivecasual (AF).
Beliau memulakan Afactivecasual pada 2019 sebagai perniagaan sampingan sambil bekerja sepenuh masa sebagai jurutera. Sebagaimana seorang jurutera menekankan penyelidikan dan pengurusan risiko, beliau yakin asas yang sama diperlukan dalam perniagaan.
Apabila diberhentikan pada 2023 akibat penyusunan semula syarikat, Cik Noorasykin melihat itu sebagai peluang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada AF, menggunakan pampasan yang diterima sebagai modal perniagaan.
Afactivecasual kini menjadi jenama pakaian sukan mesra Muslimah yang mendapat sambutan dalam kalangan wanita Singapura yang aktif bersukan. Cik Noorasykin juga berusaha membantu wanita lain dengan menawarkan pekerjaan fleksibel.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg