Seperti wanita lain, saya suka berbelanja dan manjakan diri dengan percutian, spa dan menjamu di kafe-kafe dan membeli barangan peribadi kegemaran sebagai “upah penat lelah” diri sendiri yang berkerjaya.
Namun, dalam keseronokan memanjakan diri sendiri, saya pastikan jumlah perbelanjaan tidak melebihi pendapatan, bahkan ia hanya dilakukan selepas mengetepikan wang simpanan secara tetap.
Ya, sejak muda lagi, saya telah diyakinkan oleh satu prinsip penting yang saya pegang hingga kini: menabung.
Saya mula mengetepikan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji saya untuk simpanan bulanan.
Tahun demi tahun, saya meningkatkan jumlah itu menjadi 20 peratus, kerana saya sedar betapa pentingnya mempersiapkan diri untuk masa depan.
Bahkan, saya juga membeli polisi pelaburan untuk diri saya dan anak-anak bagi memastikan kami mempunyai dana yang cukup apabila mencapai setiap peringkat usia dan keperluannya.
Alhamdulillah, wang yang disimpan meringankan beban kewangan apabila anak-anak melangkah ke tahap pendidikan yang memerlukan kos yang tinggi.
Seiring dengan pertambahan usia, kita bukan hanya perlu menanggung keperluan kehidupan harian, malah menghadapi juga kos kesihatan, pendidikan, dan persaraan yang semakin meningkat.
Menurut perangkaan, purata hidup wanita lebih lama daripada lelaki, dengan jangka hayat sekitar 86 tahun.
Ini bermakna, wanita perlu merancang untuk jangka masa yang lebih panjang berbanding lelaki.
Apa kata kita ambil sedikit masa untuk melakukan ‘self-care’ atau penjagaan diri yang lebih praktikal – iaitu dengan menyemak semula kewangan kita.
Lihat bagaimana kita boleh memperbaiki kesejahteraan kewangan kita.
Lagipun, ‘A man is not a financial plan’ (seorang lelaki bukan perancang kewangan). Ini adalah prinsip yang perlu difahami oleh setiap wanita.
Laman web perancangan kewangan DBS menarik perhatian bahawa bermula dengan kerja pertama, wanita perlu memulakan strategi menabung yang disiplin.
Sediakan dana kecemasan yang boleh menampung tiga hingga enam bulan perbelanjaan.
Ini adalah langkah penting bagi melindungi diri daripada ketidaktentuan kewangan, seperti kehilangan pekerjaan atau krisis kesihatan.
Ketika anda berkahwin dan mempunyai anak, komitmen kewangan bertambah.
Bukan sahaja anda perlu memastikan pendidikan anak-anak, malah, merancang untuk penjagaan jangka panjang ibu bapa.
Sediakan pelan pendidikan untuk anak-anak dan jika anda masih mempunyai ibu bapa yang bergantung kepada anda, pastikan mereka juga dilindungi untuk keperluan kesihatan dan penjagaan mereka di masa depan.
Mencapai persaraan yang selesa memerlukan perancangan kewangan yang menyeluruh.
Sebagai contoh, menokok caruman CPF dan melabur dalam produk persaraan seperti pelan insurans pendapatan persaraan adalah cara yang bijak untuk memastikan kita dapat menikmati kehidupan persaraan yang lebih baik.
Namun berwaspada kepada beberapa perangkap kewangan yang sering terlepas pandang oleh wanita. Ini termasuk tiada insurans kesihatan.
Wanita lebih cenderung menghidap beberapa penyakit kronik seperti masalah muskuloskeletal – yang berkaitan dengan otot dan sendi – dan barah buah dada dan pangkal rahim.
Oleh itu, adalah penting untuk memiliki perlindungan insurans kesihatan yang mencukupi, terutama untuk rawatan hospital dan penyakit kritikal.
Bagi wanita yang tidak mempunyai pasangan, perlindungan penjagaan jangka panjang juga perlu dipertimbangkan kerana mereka lebih cenderung hidup sendirian pada usia tua.
Kad kredit boleh menjadi sumber kemudahan, tetapi jika tidak digunakan dengan bijak, ia boleh menjadi beban.
Ramai wanita terjerumus dalam perangkap kad kredit dengan membuat bayaran minimum atau terlepas pembayaran.
Ini boleh mengakibatkan hutang semakin bertambah dan ia merosakkan perancangan kewangan jangka panjang.
Masa depan adalah sesuatu yang kita semua mahu hadapi dengan penuh keyakinan.
Menabung dan merancang kewangan adalah langkah pertama yang perlu diambil oleh setiap wanita, tidak kira di peringkat mana mereka berada dalam kehidupan.
Mulakan dengan sedikit sahaja, mungkin 10 peratus daripada gaji bulanan, tetapi pastikan ia dilakukan secara tekal.
Sama seperti menanam pokok, semakin awal kita menanamnya, semakin besar ia akan tumbuh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg