KEPRIHATINAN tentang perkembangan wanita di Singapura semakin mendapat perhatian dengan pembentangan Kertas Putih mengenainya di Parlimen bulan lalu, bagi memastikan kemajuan wanita di negara ini berterusan.

Terdapat lima bidang tumpuan dalam pelan tindakan 10 tahun Pembangunan Wanita Singapura bagi menangani keprihatinan golongan tersebut serta memenuhi aspirasi mereka.

Antaranya ialah usaha meningkatkan kesaksamaan antara lelaki dengan wanita di tempat kerja dan melindungi mereka daripada keganasan.

Perihal wanita juga mendapat tempat istimewa dalam kehidupan Melayu dan agama Islam.

Dalam Al-Quran misalnya, terdapat surah yang dinamakan dengan nama wanita. Satu daripadanya ialah surah An-Nisaa yang banyak membicarakan hal-hal yang berhubungan dengan wanita, dan satu lagi Surah Maryam yang antara lain mengenai kisah Maryam, ibu Nabi Isa as menyentuh beberapa perkara ajaib yang menunjukkan kekuasaan Allah.

Banyak lagi contoh dalam Al-Quran dan hadis yang menggesa umat supaya menyanjung ibu.

Dan tidak kurang buku dan novel yang mengangkat darjat wanita - menyerlahkan ciri, perjuangan dan sifat wanita.

Antara novel berkaitan yang menarik ialah Perempuan perempuan Impian karya penulis Indonesia, Motinggo Busye. Ia mengetengahkan fenomena wanita dalam kehidupan beragama dalam latar belakang kehidupan moden yang kompleks.

Dalam masyarakat Melayu, banyak ungkapan yang menyentuh tentang peranan mulia wanita, seperti dalam ungkapan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

BUNGA SEBAGAI KIASAN

Dalam banyak contoh, wanita dan bunga dikait rapat - mungkin kerana bunga mengandungi ciri menarik seperti berwarna- warni, cantik, harum dan menjadi perhiasan.

Satu daripada konotasi bunga dan wanita ialah biasanya kembang menjadi cantik, dan banyak yang harum - cerminan wanita yang mempunyai sifat-sifat yang baik dari segi rupa paras atau pun perilakunya. Bunga kembang juga melambangkan wanita yang memiliki ketinggian budi bahasa serta konotasi anak dara yang manis dan perawan.

Ungkapan bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor misalnya membawa wanita ramai, bukan seorang, begitu juga lelaki.

Malah terdapat banyak peribahasa Melayu yang menggunakan bunga bagi mengungkap pelbagai makna.

Umpama bunga di gaung batu, taruk kaca tangkainya embun menggambarkan gadis yang cantik, terjaga dengan baik dan tidak mudah didekati.

Bunga tengah kembang di taman, baunya merebak ke mana-mana juga menggambarkan kecantikan seorang gadis yang telah gah ke mana-mana.

Hendak bersunting bunga yang belum diseri kumbang bermakna hendak beristeri anak gadis; sementara bagaimana bunga takkan layu, embun menitik ke tempat lain menggambarkan keadaan gadis yang sedih kerana kekasihnya mencintai orang lain.

Di mana bunga kembang, di situ kumbang banyak bermakna di mana ada gadis, di situ ada anak-anak muda.

Sayang bunga layu di pohon memberi gambaran gadis yang tidak bersuami hingga ke tua; hendak bersunting bunga mala bermakna gadis yang tidak bersuami hingga ke tua; sementara bunga yang layu tidak diseri oleh kumbang menggambarkan perawan tua tidak dipinang orang.

Ungkapan bunga yang layu kembali kembang menggambarkan orang tua yang bersolek seperti orang muda; sementara ibarat bunga, sedap dipakai, layu dibuang menggambarkan perempuan yang dikahwini semasa muda tetapi setelah tua diceraikan.

Laksana kumbang menyeri bunga, kumbang pun terbang bunga pun layu pula memberi makna lelaki yang mempermain-mainkan perempuan, setelah dia pergi, perempuan itu merana.

BEBERAPA UNGKAPAN LAIN MENGENAI WANITA

Terdapat beberapa lagi dalam perbendaharaan peribahasa mengenai wanita dalam pelbagai keadaan.

Bagai bunyi perempuan di air (di tempat mandi) menggambarkan suasana riuh.

Bagai perempuan membawa perut menggambarkan orang yang buncit perut; sementara perempuan melangkahi ular tiada lepas pula menggambarkan keadaan wanita yang selalu dalam bahaya kerana kelemahannya.

Terdapat beberapa yang menyentuh tentang sifat wanita, seperti semut dipijak tidak mati, gajah diarung bergelimpangan adalah mengenai cara berjalan seorang perempuan yang baik lagi teratur (tidak terlalu lambat dan tidak terlalu cepat); bagai bulan penuh mengambang di kaki awan menggambarkan wanita cantik yang keluar dari rumahnya kerana hendak berjalan; sementara kerling bagai pelitakan padam merupakan pujian kepada perempuan yang cantik.

Ungkapan bagai gadis jolong menumbuk membayangkan sikap rajin dan sungguh-sungguh; dan bagai perempuan bunting bertemu idamannya menggambarkan rasa gembira kerana mendapat barang kesukaannya.

Ladang yang berpunya pula menggambarkan wanita yang sudah berkahwin; sementara laksana janda baru bangun tidur juga ungkapan yang menggambarkan perempuan yang benar-benar cantik; pecah anak buyung, tempayan ada bermakna tidak akan kekurangan perempuan untuk dijadikan isteri.

Alangkah baik (elok) berbini tua, perut kenyang pengajaran datang menggambarkan orang yang beristerikan wanita tua biasanya beroleh kesenangan kerana disayangi isteri; sementara telaga di bawah gunung menggambarkan perempuan yang mendatangkan untung kepada suaminya.

Hilang bini boleh dicari, hilang budi badan celaka pula bermakna akal yang jahat boleh mendatangkan kecelakaan pada diri.

Laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak menyatakan tentang orang yang elok dan cantik tetapi tidak berbudi bahasa; sementara bagai gadis jolong bersubang, bujang jolong berkeris memberi gambaran sikap sombong kerana kekayaan atau kemuliaan yang baru diperolehi.

Ada juga yang menggambarkan sikap kurang baik seperti gadis sudah berlaki menggambarkan anak perawan yang pemalas dan pengotor; bagai anak dara sudah berlaki bermakna anak perawan yang tidak malu, pemalas dan pengotor; dan berlaki anak semang memperkata tentang perempuan yang buruk kelakuannya; dan macam anak dara tak datang tunangnya bermakna membuat kerja tidak pernah siap, terlalu lambat.

Beberapa ungkapan yang memberi makna yang sama - lesung mencari alu; rumput mencari kuda; telaga mencari timba; dan ulam mencari sambal menggambarkan keadaan perempuan yang mencari laki-laki.

Antara yang hampir sama makna ialah keli dua selubang (seorang perempuan mempunyai kekasih dua orang); pelesit dua sejinjang (perempuan yang bersuami dua); dan satu sangkar dua burung (dua orang perempuan sama-sama menghendaki seorang laki-laki).

Kain dalam lipatan pula menggambarkan perempuan yang berbuat jahat (mesum) dengan sembunyi-sembunyi; sementara mumbang ditebuk tupai menggambarkan keadaan anak perempuan yang masih kecil, tetapi sudah rosak.

Lepas bantal berganti tikar adalah mengenai seorang laki-laki berkahwin dengan saudara perempuan atau keluarga isterinya yang meninggal, dan bergantung tidak bertali ialah perempuan yang tidak diurus lagi oleh suaminya, tetapi tidak dapat meminta cerai.

Beberapa lagi ungkapan menggambarkan keadaan wanita yang berubah - sungguhpun lemak santan, akhirnya basi juga menggambarkan orang muda yang cantik itu akhirnya akan tua juga; segar dipakai layu dibuang menerangkan keadaan selagi perempuan itu muda dan cantik dicintai dan disayangi, tetapi setelah tua ditinggalkan.