Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Berubah dakap perubahan

May 28, 2023 | 05:30 AM



UBAH.

Tidak ada yang kekal dalam kehidupan makhluk di dunia ini. Semuanya berubah.


Dan perubahan berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan.


Setiap manusia melalui pelbagai bentuk perubahan sepanjang kehidupan. Sejak lahir hingga akhir hayat, jasmani kita berubah.


Keadaan di sekeliling kita – sekitaran, kehidupan sosiobudaya, politik, ekonomi, gaya hidup – semua berubah.


Dari segi politik serantau misalnya, kita sedang menyaksikan perubahan kepimpinan politik dengan kemenangan Parti Move Forward (MFP) di Thailand yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum dua minggu lalu dan dalam proses membentuk sebuah kerajaan campuran.


Kepimpinan politik di negara jiran Malaysia juga telah melalui pelbagai fasa perubahan.


Teraju kepimpinan Singapura juga akan berubah.


Dan Singapura, sebagai sebuah negara, telah jauh berubah – daripada negara dunia ketiga kepada negara maju dalam tempoh sesingkat 50 tahun.


Kemajuan teknologi mendorong pelbagai bentuk perubahan – dari segi komunikasi, perbankan, perhubungan, pengangkutan, media sosial, hiburan dan pelbagai bentuk urusan dalam kehidupan.


Kita telah menyaksikan betapa dalam tempoh relatif singkat wabak Covid-19 telah meninggalkan kesan perubahan besar lagi pelbagai.


Akhbar ini juga sedang melalui proses perubahan besar – satu transformasi dari segi proses menerbitkan berita di wadah digital dan media cetak.


Dan pelbagai lagi senarai perubahan yang teramat panjang untuk disenaraikan.


Maka itu ada ungkapan dalam bahasa Inggeris – the only thing that remains contant is change – atau satu-satunya yang tetap atau kekal ialah perubahan itu sendiri.


ASPEK BAHASA

Kamus menjelaskan makna ubah/berubah sebagai kelainan, atau menjadi lain daripada keadaan sebelumnya, bertukar, tidak tetap.

Misalnya, keadaan – sekitaran, kegagalan, kejayaan – boleh menjadikan orang berubah sikap daripada seorang periang kepada pendiam atau sebaliknya; manusia boleh berubah sikap ekoran pelbagai keadaan; air muka berubah, wajah berubah, perangai/sikap berubah, cuaca berubah, waktu berubah, kedudukan berubah, gaya/mutu hidup berubah, warna berubah; pemikiran berubah, keperluan hidup berubah, fikiran berubah, tuntutan dan keperluan hidup dan kerja berubah, dan seribu satu macam perubahan lagi.


Kita biasa dengar istilah ubah elok – seperti ramai orang mengeluarkan belanja yang agak besar untuk melakukan ubah elok rumah – menjadikan keadaan rumah lebih elok untuk didiami.


Ubah suai pula adalah proses atau langkah mengubah suai menjadikan sesuatu berubah dan sesuai dengan kehendak atau atau keperluan.


Mengubah antara lain bermakna menukar/menjadikan berlainan atau berbeza, menyebabkan berubah, daripada yang asal atau sebelumnya. Misalnya wabak Covid-19 telah mengubah keadaan.


Perubahan adalah perihal keadaan yang berubah, peralihan, pertukaran – dalam bentuk kata nama – perubahan masa, perubahan kepimpinan, perubahan sikap, perubahan sistem kerja, dan sebagainya.


Pengubahan pula adalah perihal mengubahkan, penukaran kepada sesuatu yang lain. Misalnya, kita biasa dengar beberapa individu didakwa dengan pengubahan wang haram dalam skandal kewangan di negara jiran.


PERIBAHASA

Antara peribahasa yang agak biasa didengar ialah sekali air bah sekali pasir berubah, yang bermakna apabila pembesar atau pemerintah berganti, maka peraturan-peraturannya pun akan berubah. Peribahasa serupa ialah sekali air bah, sekali pantai berubah yang bermakna apabila keadaan berubah, suasana berubah.


Air pun ada pasang surutnya, takkan pasang selalu dan surut senantiasa yang menggambarkan keadaan yang tidak tetap, terutama dalam perniagaan yang adakala untung, ada kurang atau malah rugi.


Lidah biawak atau lidah bercabang pula bermakna selalu berubah-ubah, tidak dapat dipercayai.
Beberapa peribahasa yang bersangkutan dengan ubah atau keadaan tidak berubah.


Zaman beralih, musim bertukar bermaksud sesuatu itu tidak tetap (sentiasa berubah-ubah).


Begitu juga zaman beredar musim berubah yang bermakna keadaan sesuatu itu berubah-ubah dari masa ke masa.


Seperti embun di atas daun menggambarkan niat yang selalu berubah-ubah.


Bagai air daun talas/keladi menggambarkan tidak tetap pendirian; selalu berubah-ubah.


Sebaliknya, tak berasak lenggang dari ketiak yang bermakna tidak berubah-ubah, masih tetap seperti yang lama juga.
Selama air hilir, selama gagak hitam bermakna keadaan tetap sama, tidak berubah-ubah.


Adat lama pusaka usang menggambarkan adat yang tidak berubah-ubah sejak zaman-berzaman.


Dianjak layu, dicabut mati menggambarkan keputusan yang tidak dapat diubah-ubah lagi.


ASPEK AGAMA

Islam juga menyebut tentang perubahan dalam proses kehidupan.


Antara lain, ayat ke-11 dalam Surat Ar-Ra’d menyatakan “Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali mereka sendiri berusaha mengubahnya”.


Ia adalah ayat yang memberi motivasi kepada umat supaya mengusahakan perubahan yang lebih baik dan tidak sekadar mengeluh dan berserah kepada nasib.


Satu lagi ungkapan agama, (ada yang menyatakan sebagai hadis dan ada yang menyatakan ia kata-kata seorang sahabat) tentang perlunya umat sentiasa mengusahakan perubahan ke arah kebaikan – hari ini hendaklah lebih baik daripada semalam, dan esok hendaklah lebih baik daripada hari ini.


Semoga kita menghayati sentiasa bersedia mendakap pelbagai perubahan dalam kehidupan yang membawa kepada mutu hidup yang lebih baik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >