"Oi, bodohnya anak! Nak katakan bertuahnya kau, hidup kau ni memang masih malang. Apa nak jadi dengan kau? Dah, bangun. Bangun!". Berkali-kali Awang menghenyak sekujur tubuh Rahman.
Diam. Diam tidak berkata. Diam hanya terusik hembusan keras Rahman. Rahman cuba sembunyikan air jernih yang bermain-main di mata kuyu. Merangkak jua setitik ke lembaga hidung. Kaki ayam bergerunyut. Segarnya subuh membelai keinginannya untuk terus berdiam. Setitik lagi. Bangku kolong blok itulah di mana Rahman mengadu nasib. Nasibnya yang memang masih malang. Entah mengapa subuh itu mencabik-cabik hati. Hati nan karam di tengah-tengah lautan perasaan. Entah di mana.