Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bukan sekadar bela diri, silat bentuk adab dan budaya Melayu

Turut pupuk nilai murni dalam hidup bermasyarakat
Apr 7, 2025 | 5:30 AM
 Penyelidik dan guru silat Melayu, Jailani Abu Talib, bersama anaknya, Nuha Amani Muhammad Jailani, di Pusat Rangkaian Penduduk (RN) Sembawang Central selepas kelas. Beliau berharap dapat meningkatkan kesedaran dan keinginan masyarakat Melayu, terutama golongan muda, untuk melestarikan seni dan budaya silat.
 Penyelidik dan guru silat Melayu, Jailani Abu Talib, bersama anaknya, Nuha Amani Muhammad Jailani, di Pusat Rangkaian Penduduk (RN) Sembawang Central selepas kelas. Beliau berharap dapat meningkatkan kesedaran dan keinginan masyarakat Melayu, terutama golongan muda, untuk melestarikan seni dan budaya silat. - Foto ihsan JAILANI ABU TALIB

Silat bukan sekadar seni bela diri, malah mencerminkan falsafah hidup, adat resam, serta nilai kemasyarakatan dalam dunia Melayu. 

Silat merupakan wahana pendidikan saling terkait, yang menyentuh aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek seseorang individu.

Manfaat silat juga sangat luas dan menyeluruh, merangkumi kesihatan fizikal, pembinaan jati diri, serta pemupukan nilai murni yang penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Demikian dinyatakan oleh penyelidik dan guru silat Melayu, Jailani Abu Talib, 39 tahun, ketika dihubungi Berita Harian.

“Melalui latihan pernafasan dan pendedahan terhadap adab persilatan, pengamal diajar untuk mengelakkan sikap panas baran, dendam dan keangkuhan, sebaliknya mengamalkan kesederhanaan dan kebijaksanaan,” kata guru Perguruan Seni Silat Sendeng Teratai, yang merupakan anggota bersekutu Persekutuan Silat Singapura (Persisi).

Beliau yang turut menyertai Daftar Jurulatih Nasional (NROC) itu menjelaskan bahawa adab adalah tonggak utama dalam silat.

Silat melahirkan rasa rendah diri, taat, dan semangat muhibah dalam kalangan pengamal silat.

Tambahan pula, silat menanam nilai keberanian dalam menghadapi cabaran hidup serta menekankan kekuatan fizikal di samping mesti disertai dengan niat yang adil dan tidak zalim.

Menurutnya, silat dipercayai telah wujud dalam masyarakat Melayu sejak zaman prasejarah.

Catatan sejarah menunjukkan silat telah digunakan oleh pahlawan Melayu sejak zaman kerajaan awal seperti Srivijaya (abad ketujuh) dan Kesultanan Melaka (abad ke-15).

“Pada asasnya, silat merupakan satu sistem bela diri atau ilmu perang...

“Ia berkembang melalui pengaruh budaya tempatan serta interaksi dengan tamadun luar seperti India, China, dan Timur Tengah,” kata penggiat seni silat itu, yang sudah berkecimpung dalam dunia silat selama sekitar 27 tahun.

Kini, terdapat ratusan jenis persilatan di dunia.

Beliau turut ditanya tentang amalan mistik yang dipraktikkan oleh guru-guru silat dulu, antaranya seperti mandi minyak, mandi bunga, mandi embun, perasap tubuh dan sebagainya.

Jailani menjelaskan bahawa sebenarnya amalan-amalan itu mempunyai sebab yang bernas yang boleh diterangkan menggunakan sains.

Misalnya, amalan perasap tubuh dengan menggunakan kemenyan.

Guru silat itu berkongsi bahawa kemenyan sebenarnya ilmu aroma terapi bagi orang Melayu, yang mendatangkan manfaat apabila tubuh seseorang dikenakan dengan asap kemenyan.

Beliau merujuk kepada kajian saintifik pakar aromaterapi dunia yang mendedahkan bahawa kemenyan dapat mengekalkan rupa awet muda seseorang, di samping merawat luka-luka kecil.

Selain itu, asap kemenyan berguna bagi merawat pelbagai khazanah yang dahulunya disimpan secara tradisional.

“Iklim daerah Melayu yang sering hujan menyukarkan proses menyimpan beberapa khazanah. Antaranya termasuklah khazanah-khazanah tekstil dan senjata,” kata beliau.

Beliau menjelaskan bahawa cuaca daerah Melayu yang lembap membuat barangan tekstil mudah rapuh sedangkan besi pula mudah karat.

Lantaran itu, asap kemenyan digunakan dalam proses merawat barangan-barangan tersebut.

Beliau berpendapat guru-guru terdahulu tidak semua mampu menjelaskan alasan mereka dengan kaedah yang objektif dan saintifik.

Maka ia menyebabkan salah tanggapan tentang unsur mistik itu.

Namun, Jailani mengakui minat seni silat semakin meningkat, dan antara disebabkan adalah penerbitan filem, Mat Kilau, pada 2022.

Tetapi beliau tetap ingin meningkatkan minat golongan muda agar mendekati silat sebagai khazanah kebudayaan dan meluaskan perspektif mereka tentang silat sebagai bidang sukan.

Harapan beliau dan guru-guru silat sekarang adalah agar silat dapat terus berkembang dan dilestarikan.

Beliau memohon agar masyarakat melihat silat secara objektif dan saksama.

Masyarakat Melayu sebenarnya wajar berbangga dengan khazanah nenek moyang mereka yang kian bersifat sejagat dan diamalkan di pelbagai negara, walau di Eropah mahupun di tanah Arab.

Menurut beliau, masih banyak usaha yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat Melayu secara khususnya, dan masyarakat Singapura secara amnya, tentang seni silat.

Wujud dalam masyarakat Melayu sejak zaman prasejarah

Pada asasnya, silat merupakan satu sistem bela diri atau ilmu perang... Ia berkembang melalui pengaruh budaya tempatan serta interaksi dengan tamadun luar seperti India, China, dan Timur Tengah.
Jailani Abu Talib, penyelidik dan guru silat Melayu.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg