Bulan bukan sekadar cahaya yang menerangi malam.
Ia membawa makna lebih mendalam, sebagai lambang kerinduan, harapan yang tersembunyi, dan perasaan halus yang sering bersemadi dalam jiwa penulis.
Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) telah mengusahakan bersama satu program inkubasi manuskrip, Makmal Penulis atau Writer’s Lab NAC-NLB.
Program selama lapan hingga 12 minggu itu diusahakan bagi menyokong penulis di peringkat awal pembangunan idea, sebelum penulisan draf bermula.
Satu sesi panel Makmal Penulis bertajuk, ‘Semua Tentang Bulan’, diadakan di Imagination Room, Bangunan Perpustakaan Negara pada 5 Julai.
Selain menampilkan penulis-penulis di bawah program Makmal Penulis NAC-NLB, Hidayat Nordin dan Jamal Ismail, sesi panel tersebut juga tampilkan penulis seperti Nur Hikmah Md Ali dan Fadhli Fadzil.
Mereka berkongsi pandangan, inspirasi dan kisah berdasarkan perlambangan bulan.
Sesi panel tersebut turut diadakan bagi memperkukuh proses penulisan Hidayat, 39 tahun, dalam penghasilan manuskripnya, Bulan dan Kenangan.
Menurut Hidayat, bulan merupakan sumber ilham dan inspirasi yang mendalam.
Melalui pengalaman beliau dalam seni dikir barat, Hidayat menyedari banyak karya seni Melayu mempunyai kaitan simbolik dengan bulan.
“Ini membuatkan saya mula tertanya-tanya, kenapa saya begitu kemaruk dengan bulan?” kata penggiat seni sepenuh masa itu sambil tertawa.
Bagi Fadhli, seorang pendidik berusia 26 tahun, bulan dilihat sebagai ‘peneman diri’ yang setia, terutama ketika beliau rasa kesepian.
Kehadiran bulan yang kekal, walau di mana-mana sahaja beliau berada, memberikannya ketenangan dan kehadiran yang mengisi kekosongan emosi.
“Pada bulan puasa semasa saya menjalani latihan ketenteraan outfield (ketika Perkhidmatan Negara), saya terpaksa berbuka seorang diri. Apa yang menjadi peneman saya ketika itu ialah bulan.
“Detik itu tidak dapat saya lupakan kerana dengan kehadiran bulan, saya rasa saya tidak keseorangan,” akui beliau.
Sementara itu, Nur Hikmah, 26 tahun, seorang editor, yang disifatkan oleh Hidayat sebagai penulis ‘lantang’, turut menekankan kehadiran bulan dalam hidupnya.
Baginya, bulan adalah entiti yang hadir dalam keheningan malam, ketika suara hati dan minda manusia lebih jelas terdengar.
Dalam dunia yang sibuk dan teramat bising, malam memberi ruang untuk merenung dan memahami emosi diri.
“Saya suka menulis waktu malam kerana ketika itulah kita benar-benar boleh mendengar diri sendiri dan merenung lebih mendalam.
“Kita jarang ada masa untuk menyelami pengalaman emosi sendiri... malam yang senyap itu memberi ruang untuk kita meninjau dan memeriksa diri sendiri,” jelas Nur Hikmah.
Di samping itu, beliau turut mengetengahkan perspektif wanita.
Bagi kaum Hawa, bulan turut membawa makna ‘datang bulan’ (datang haid), dan bagaimana ia mempengaruhi pengalaman wanita.
Sementara itu, bagi sasterawan mampan, Jamal, 73 tahun, perlambangan bulan dalam karya Melayu adalah sesuatu yang lumrah.
Ini kerana banyak karya sastera Melayu bersifat mesra alam dan memerhati fenomena semula jadi.
Bagi dirinya, aspek pantulan cahaya bulan itulah yang paling menonjol.
Cahaya bulan disifatkan sebagai lembut, menenangkan dan menjadi sumber inspirasi yang mendalam.
Jamal turut berkongsi bahawa bulan menjadi penghubung emosi antara beliau dengan ibunya, terutama ketika mereka berjauhan.
“Saya perlu berpisah dengan ibu saya kerana saya perlu bersekolah.
“Bulanlah yang menjadi penghubung antara kami,” kata ‘orang lama’ dalam bidang kesusasteraan itu.
“Bulan yang dilihat oleh ibu saya merupakan bulan yang sama yang saya dapat lihat juga,” ujarnya.
Bagi seorang peserta sesi itu, Raditya Secondatama, 21 tahun, yang merupakan mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), perbincangan tersebut membuka ruang kesedaran tentang kepelbagaian tafsiran terhadap simbol bulan dalam penulisan.
“Perkara Itu buat saya rasa lebih bebas dan kurang takut untuk menulis. Saya jadi lebih yakin dan terdorong untuk terus menulis tanpa terlalu risau tentang tanggapan orang lain,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg