Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adib

Jul 17, 2022 | 5:30 AM
GAMBAR HIASAN. - Foto ISTOCK
GAMBAR HIASAN. - Foto ISTOCK -

MAX berdiri menyandar di kereta. Sinaran suria menyengat tubuhnya. Angin seakan menyembunyikan diri.

Max menarik-longgarkan baju-T hitamnya. Baju-T kian melekat basah di badan.

Rambutnya yang hampir mencecah bahu menambah rimas. Kakinya yang hanya disaluti dua pertiga cargo pants jenis khaki juga melengas. Matanya menyepet sambil melempar pandangan kosong ke arah sebuah bangunan hijau putih.

Kelihatan kanak-kanak lelaki dan perempuan berpakaian seragam sopan mula meninggalkan bangunan itu. Max tersenyum lega terpandang seorang kanak-kanak lelaki yang meluru ke arahnya.

"Uncle Max! Uncle Max!" Kanak-kanak lelaki itu meneriak gembira namanya. Tangan kanan Max dicapai dan diciumnya. Dibiarkan saja Adib melakukannya. Dulu Max rasa janggal. Kini Max semakin faham. Kanak-kanak lelaki itu membetulkan duduk kaca mata bulatnya yang hampir melorot ke bawah batang hidungnya.

"Hei Adib! Bagaimana kelas hari ini?" tegur Max sambil menjongkok.

"Alhamdulillah, okey. Uncle Max, Adib laparlah," jawab Adib mengerut.

"Kasihannya. Okey, Adib nak makan apa?"

"Adib nak makan lontong, boleh?"

"Mestilah boleh. Ayuh, kita masuk ke dalam kereta dulu."

Di Café Hajah Mas, sepinggan lontong lengkap dengan tauhu, tempe, bergedel dan serunding siap menghadap Adib. Sepinggan nasi rawon pula menanti dijamah Max.

Adib mengangkat dan menadah kedua-dua tangannya dan membaca doa makan. Max ikut menadah tangannya. Sesekali Max menjeling hidangan nasi rawon di pinggan; sesekali menatap muka comel Adib. Tenang hati Max setiap kali menatap wajah redup Adib. Saling tak tumpah wajah papanya. Menatap Adib mengundang ingatan Max menelusuri kisah tiga tahun lalu. Jelas terbayang kali pertama Max menatap wajah comel Adib...

***

Max sedang sibuk melakar pelan sebuah bangunan ketika loceng pintu menjerit tanpa henti. Rasa berang mula bersarang di dadanya. Max meluru ke muka pintu. Mahu dimakinya orang yang bertalu-talu menekan loceng rumahnya itu! Dengan panas hati dikuakkan daun pintu selebar-lebarnya!

"Hai bro...," terpantul suara dan wajah tenang seorang lelaki di pintu pagar.

"John???" balas Max terpinga-pinga. Lelaki itu tersenyum manis. Tenang dan redup wajahnya. Max dengan pantas membuka pintu pagar. Dipeluknya erat lelaki itu. Lelaki yang satu-satu saudara kandungnya. Satu-satu abangnya. Bertahun-tahun hilang khabar berita. Kini muncul di depan mata! Dalam sebak dan terpinga-pinga, Max terasa baju-T-nya ditarik-tarik dari tepi. Max menoleh ke kirinya. Seorang kanak-kanak lelaki berkaca mata bulat tersenyum comel kepadanya.

"Hei... handsome boy... awak siapa...?" Max menjongkok sambil memegang bahu kanak-kanak itu. Rambutnya keperangan dan kerinting kasar melepasi bahu.

"Saya Adib," jawabnya pantas. Max menoleh ke arah John.

"Dia anak saudara kau Max," balas John sambil tersenyum. Max mengusapusap rambut lebat Adib. Teruja melihat Adib yang comel.

"Mana Alisa?" soal Max kebingungan. John menggeleng-gelengkan kepalanya.

Malam itu, setelah Adib nyenyak tidur, kedua-dua beradik itu berbual panjang. Sepuluh tahun tanpa berita, pasti banyak yang mahu diceritakan.

Tiba-tiba John menyuarakan sesuatu yang menggegar perasaan Max. Satu permintaan yang membuat Max terpaku dan membisu. Bingung.

"Kau dah gilakah John?" Max bersuara perlahan.

"Aku bukan gila Max," jawab John tenang.

"John! Dari dulu lagi, aku memang tak kisah sama ada nama kau John atau Johan. Yang penting, kau tetap abang aku. Tapi sekarang, kau mahu aku jaga Adib! Adib baru kehilangan mamanya. Kau pula mahu lepas tangan! Apa semuanya ini John?" Max meninggikan suaranya.

"Aku sakit Max. Barah perut tahap empat," balas John perlahan.

***

"Uncle Max... Uncle Max!"

Layangan fikiran Max yang panjang itu terputus dek suara nyaring Adib.

"Kenapa Uncle Max tak makan?" tegur Adib melihatkan nasi rawon Max yang masih belum luak.

"Ooops! Uncle Max tadi seronok sangatlah tengok Adib makan. Sampaikan uncle sendiri terlupa nak makan... hahaha...," Max segera menyuap nasi rawon yang kini suam ke mulutnya.

Setibanya di rumah, Adib mandi dan berwuduk. Sehelai sejadah tebal kuning keemasan terbentang di sisi katilnya. Rak-rak bukunya tersusun rapi. Senaskhah Al-Quran di pangkuan sebuah rehal kayu berukiran indah terletak paling atas di rak-rak itu.

"Uncle Max, Adib nak solat. Uncle Max nak solat sama-sama Adib?"tanya Adib jujur. Wajahnya basah dengan air wuduk. Jubah panjang kelabu membalut tubuhnya. Damai hati Max memandang Adib.

"Adib solat dulu ya. Jangan lupa doakan papa dan mama," jawab Max perlahan. Ada debar yang menggegar di penjuru hatinya setiap kali Adib mengajak Max bersolat dengannya.

Max menuju ke biliknya. Dilabuhkan tubuh sasanya di atas katil. Layangan fikirannya kembali semula kepada perbualannya bersama John...

***

"Max, tiada bapa yang mahu melepaskan tanggungjawab menjaga anaknya. Aku terpaksa Max. Aku terpaksa buat ini semua. Aku sudah kesuntukan waktu Max. Alisa tinggalkan aku dan Adib dalam sekelip mata saja Max. Alisa meninggal dalam satu kemalangan jalan raya. Aku pun boleh pergi bila-bila masa saja. Alisa pula sebatang kara. Tiada ahli keluarga. Max, kaulah satu-satunya keluarga Adib apabila aku sudah tidak ada lagi nanti," John alias Johan bersuara tenang dan perlahan.

Max bungkam. Mengawal ketat sebak di dadanya. Bagaimana mungkin dia menjaga Adib dengan baik? Sedangkan Max sendiri bukan seorang...

"Aku tahu apa yang bermain di kepala kau Max. Aku tahu apa yang kau takutkan dan bimbangkan. Kau tak yakin menjaga dan mendidik Adib sebab kau seorang yang tidak beragama dan tidak percayakan Tuhan. Tapi itu hak kau Max. Mama dan papa kita berikan kita kebebasan untuk beragama atau tidak. Yang mereka pentingkan, kita menjadi manusia yang baik dan menghormati manusia lain. Dan dalam laluan aku pula, aku pilih Islam. Namun, apa yang aku lihat dan amati ialah kau manusia baik Max. Aku yakin kau akan menjadi seorang bapa saudara yang baik kepada Adib. Kau akan menjaga Adib dan membesarkannya sebagai seorang Muslim yang berguna. Max, apabila kau senang nanti, kau bacalah kisah Abu Talib."

Perbualan Max dan John kini tinggal kenangan. John alias Johan kembali ke Maha Pencipta. Segala urusan pengebumian dilakukan Max seperti yang telah dipesankan arwah Johan. Tangisan Adib menambah sebak di dada Max. Namun Max kena kuat. Adib hanya punya Max tika ini. Hari-hari berlalu. Adib semakin rapat dengan bapa saudaranya itu. Tidak terasa yang dirinya yatim piatu. Max akan laksanakan amanah yang diserahkan kepadanya.

***

Fikiran Max kini menerawang melungsuri kenangan yang agak tegang bercampur lucu ketika mendaftarkan Adib di Madrasah Alqadariyah. Mudir yang berusia hampir senja itu agak terpinga-pinga ketika Max masuk ke pejabatnya. Tidak berkelip mata mudir mengimbas Max dari hujung rambut hingga ke sandal kulitnya.

"Jadi Encik Almeida sudah buat keputusan muktamad mahu sekolahkan anak saudara encik di sini?" Mudir memulakan perbualan.

"Maaf tuan. Ini bukan kehendak atau keputusan saya. Saya hanya menjalankan amanah. Ini fail surat-surat rasmi yang perlu saya tunjukkan kepada tuan," jawab Max sambil menghulurkan fail kepada mudir. Mudir menyambut sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Mudir meneliti setiap perincian yang tercatat pada setiap surat.

"Baiklah Encik Almeida. Saya maklum. Cuma...," suara mudir terputus seketika.

"Cuma apa tuan? Hmmm... Saya tahu apa yang tuan fikirkan," celah Max sambil tersenyum. Mudir Madrasah Alqadariyah mengerutkan dahi.

"Tuan tidak perlu bimbang. Rumah saya bersih. Tidak ada benda-benda haram dalam rumah saya. Dan saya cuma makan yang halal saja. Ini semua bukan sebab Adib. Saya memang begini lama sebelum Adib hadir dalam hidup saya. Cuma saya memang tidak berpegang pada apa-apa agama," Max bersuara tenang. Mudir diam mendengar.

"Saya faham dan maklum Encik Almeida. Maafkan saya. Tapi bolehkah tuan menjaga Adib dengan baik?" Terketar suara mudir tika menyoal lagi.

"Saya belum mencubanya Tuan. Jadi saya tidak ada jawapannya sekarang." Max bersuara tenang. Jernih air mukanya. Tuan mudir bungkam.

"Baiklah. Jika Encik Almeida perlukan bantuan atau apa-apa pertanyaan, silalah hubungi saya. Insya-Allah, saya akan bantu." Max bersalaman erat dengan mudir sebelum berlalu pergi.

***

Sewaktu Max mengemas-ngemas bilik dan barang-barang John, Max terpandang sebuah almari kecil di sudut bilik. Banyak buku agama yang tersusun rapi di dalamnya. Max teringat hari-hari terakhir hayat John; dia banyak membaca buku-buku agama dan Al-Quran. Pernah John menyuguh Max sebuah buku riwayat Abu Talib. Max hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Max tidak mahu mengecilkan hati abangnya itu. Max mencari-cari buku itu. Max mahu membacanya. Mahu tahu siapa itu Abu Talib. Akhirnya Max terjumpa buku yang terselit jauh ke dalam almari. Selembar demi selembar diselaknya buku di tangannya. Semakin dihayati segala yang tercatat, semakin deras degup jantungnya berlari.

Malam itu Max tatap wajah tenang Adib yang nyenyak tidur. Kemudian menyambung baca kisah Abu Talib hingga tertidur...

Sewaktu terjaga, Max terpegun berada di sebuah taman yang dipenuhi mawar hijau. Rasa nyaman dan damai. Tidak pernah Max temui taman secantik ini. Di kejauhan, Max terpandang abang dan kakak iparnya melambai-lambai ke arahnya. Max cuba mendekati mereka berdua tetapi badannya tidak dapat bergerak. Max melaung-laung nama mereka sekuat hati. Tiba-tiba Max tersedar. Manik-manik kecil memeta di dahinya...

***

Besoknya, Max ke pejabat mudir. "Apa yang boleh saya bantu Encik Almeida?" tegur mudir sopan. "Banyak tuan," jawab Max spontan. "Oh?" balas mudir sepatah. "Bolehkah tuan ajarkan saya tentang Islam?" Mudir tersenyum.

BIODATA PENULIS

Wan Jumaiah Mohd Jubri mula menulis pada 1982.

Cerpen sulungnya, 'Di Telan Pahit Di Buang Sayang', tersiar di akhbar 'Berita Minggu' pada 2 Mei 1982.

Cerpennya pernah disiar di akhbar 'Berita Minggu' Malaysia dan majalah 'Dewan Budaya' dan 'Dewan Sastera'.

Buku kumpulan cerpen pertamanya, 'Penawar Rindu', terbit pada 2003 dan yang kedua, 'Dianku Seroja', pada 2014.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg