Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buah Hatiku

May 29, 2022 | 5:45 AM
- Foto fail
- Foto fail -

SELEPAS memandikan anaknya, dikesat titik-titik air yang masih lagi ada di badan anak perempuannya itu. Dibalutkan tuala yang diguna mengesat tadi ke badan anaknya. Dipapah anaknya keluar dari bilik mandi. Di bilik, dikenakan pakaian yang baik juga ke badan anaknya. Dia mendandani anaknya dengan peralatan solek yang dianggap sesuai untuk dipakai pada hari itu.

"Nana duduklah di situ dulu," kata Yusuf kepada anak yang dipanggil Nana. Dia menatap wajah anaknya. Pada pandangannya, wajah anaknya itu manis dan lawa. Menarik mata memandang. Anak tunggalnya.

"Nana nak sarapan apa?" dia bertanya anaknya.

"Apa-apa saja yang senang ayah sediakan," jawab Nana yang tidak cerewet tentang pemakanannya. Dia tidak mahu menyusahkan atau memaksa ayahnya menyediakan sarapan yang exotic untuk dirinya. Dia tahu ayahnya berupaya menyediakan makanan yang sebegitu jika dia memintanya. Tetapi dia tidak mahu membebankan diri orang tuanya.

Semenjak sebulan ini, Nana tinggal bersama Yusuf di rumah. Ibunya sedang terlantar di hospital kerana memerlukan rawatan. Oleh yang demikian, ayahnya yang menguruskan hal ehwal peribadinya setiap hari sepanjang peninggalan ibunya. Dia tidak tahu bila ibunya akan dibenarkan pulang daripada rawatan di hospital.

Ketika ibunya bersama mereka, ibulah yang menguruskan Nana untuk kehidupan hariannya. Ibunyalah yang memandi dan menyolekkan dirinya, serta memasak makan untuk dia dan ayahnya. Ibu menjadi pekerja serba boleh dalam rumah mereka.

"Abang, nanti apabila saya dirawat di hospital, abang kena uruskan semua kerja-kerja yang saya lakukan terhadap Nana tau!" isterinya memberitahu Yusuf beberapa hari sebelum dia dimasukkan ke hospital.

"Apa? Abang kena buat semua kerja itu," Yusuf menyoal seperti tidak percaya apa yang dikatakan oleh isterinya.

"Yalah. Siapa lagi yang harus kita minta tolong untuk menguruskan Nana, jika bukan abang," pendek dan tegas jawab isterinya.

"Abang kena mandikan dia dan membersihkan dirinya selepas Nana berak dan sebagainya?" Yusuf bertanya seperti tidak percaya apa yang harus dilakukan ke atas anak tunggal mereka. Dia tahu isterinya tidak akan memberikan jawaban atas pertanyaannya itu. Yusuf menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mukanya berkerut dan senyumnya sinis dengan jawapan isterinya.

Dia berfikir bagaimana dia akan memandikan anaknya itu. Ataupun membersihkan diri anaknya selepas anaknya melepaskan hajat.

"Ah... payah betul," dia merungut sendirian. Fikirannya buntu dengan tugas baru yang terpaksa dilakukan ketika isterinya tiada di rumah. Satu cabaran yang sebelum pernah dihadapinya semenjak dia berumah tangga dan membela Nana.

"Dulu, tugas itu 'kan semua saya lakukan," isterinya menjelaskan. "Saya yang mandikan. Saya yang membersihkan dirinya selepas dia berak. Saya yang memakaikan pakaiannya selepas mandi. Dan saya lakukan itu semua untuk anak kita.

"Jadi, apa salahnya abang mengambil alih tugas ini buat sementara apabila saya tidak ada di rumah nanti," isterinya memberikan ceramah pendek kepada Yusuf, melihat suaminya agak keberatan ataupun kebingungan diberi tugas baru itu.

Mendengar perbualan itu, Nana menjadi serba salah. Fikirannya berkecamuk. Rasa malu, ada. Rasa ketidak-upayaan pun ada. Dia tidak tahu bagaimana dia akan menghadapi keadaan itu nanti. Hatinya berbelah bahagi.

"Tidak boleh ke kita ambil pembantu untuk membuat kerja-kerja ini?" Yusuf meningkah kata-kata isterinya cuba memberikan alasan. Yusuf yang mula menunjukkan keberatan mengambil alih tugas isterinya itu.

"Ooiii... abang, ingat gaji yang abang dapat tu lumayan untuk menggajikan seorang pembantu bagi menguruskan anak kita nanti? Sedang nak mencukupkan perbelanjaan bulanan dengan gaji abang itu kita hampir lemas, inikan pulak nak menggaji seorang pembantu," isterinya menyindir tajam atas cadangan Yusuf itu. Yusuf hanya meringis dengan tempelak isterinya. Memang ada kebenaran akan kata-kata isterinya. Gaji yang diterima sebagai kerani di sebuah syarikat perusahaan tidak memberikan ruang untuk mereka bersenang-senang mendapatkan seorang pembantu.

"Apa kata kalau kita meminta tolong adik-beradik awak sementara awak menjalani rawatan, sehingga awak balik dari hospital nanti," Yusuf memancing. Dia tahu isterinya ramai saudara perempuan sementara daripada keluarganya sendiri, semua adik-beradiknya lelaki.

"Abang... adik-beradik saya semuanya ada tanggungan masing-masing. Tidak mungkin mereka dapat meluangkan masa sepenuh mereka menjaga Nana. Mereka sudah tentu tidak biasa dengan kerja-kerja ini.

"Saya tidak mahu mendengar alasan yang bukan-bukan daripada mereka. Saya rasa mereka akan berikan banyak alasan menolak permintaan kita nanti. Kekadang saya rasa alasan yang mereka berikan itu tidak masuk akal kepada saya. Sakit hati saya apabila mendengar alasan-alasan itu," kata isterinya.

"Abang tidak sayangkan anak tunggal kita? 'Kan...?"

"Bukan gitu." Yusuf memintas sebelum sempat isterinya menghabiskan cakapnya tadi. "Abang tetap sayangkan anak abang. Dialah darah daging abang. Abang sanggup golok bergadai untuknya."

"Tahupun abang!" isterinya tegas menjawab kata-kata Yusuf tadi. "Kalau abang sanggup golok bergadai kerana Nana, kenapa tidak abang lakukan tugas itu selain daripada mencari seorang pembantu untuk jangka masa saya tiada di rumah," isterinya menempelak. Merah padam juga muka Yusuf atas jawaban isterinya yang tepat mengena batang hidungnya.

Demikian itu, dia sedih apabila menatap wajah ayu si anak. Genangan air mata kekadang tidak dapat ditahan tumpah daripada kelopak matanya. Anaknya seorang tidak seperti anak orang lain. Dia lain daripada yang lain. Dia anak istimewa.

"Tapi," Yusuf menambah. "Abang malu mandikan dan bersihkan diri Nana," dia memberitahu isterinya. "Nana bukannya bayi atau anak kecil yang belum baligh," kata Yusuf lagi.

"Dia sudah besar panjang!" kata Yusuf.

"Itu hanya perasaan abang. Dia anak abang sendiri. Tak 'kan abang nak menyeleweng daripada tugas mandikan Nana." Isterinya menjawab tuntas.

Nana, mengidap penyakit palsi bulbar progresif semenjak dilahirkan 20 puluh tahun yang lalu. Disebabkan itu dia tidak boleh menguruskan dirinya seperti kanak-kanak atau remaja yang lain. Dia memerlukan bantuan orang lain untuk menjalani hidup seperti manusia lain. Dia memerlukan bantuan untuk berjalan, berdiri dan juga mandi serta buang air. Semua kerja ini dilakukan oleh ibunya.

Yusuf pernah terfikir, mengapa dia dikurniakan anak yang cacat tidak seperti pasangan lain yang punya anak sempurna sifatnya. Kekadang ada terselit di sanubarinya mahu menyalahkan Tuhan kerana pemberian itu. Tetapi sebagai seorang Islam, dia menerima anugerah tuhan dengan doa yang memanjang agar suatu hari nanti, ada kesembuhan yang dapat memberikan keceriaan kepada keluarganya. Nana merupakan anak tunggal mereka.

Pernah suatu ketika dahulu, Nana bertanya kepadanya, mengapa sifat dan bentuk badannya tidak seperti remaja perempuan yang lain. Yusuf dan isteri hanya menahan sebak dengan pertanyaan itu. Dia mengambil masa yang panjang untuk menjelaskan kepada Nana.

"Nana antara berapa puluhan ribu bayi yang dilahirkan begini. Nana anak istimewa yang dikurniakan Allah kepada emak dan bapak. Nana tiada bezanya dengan anak-anak lain, yang Nana anggap sempurna jasmaninya.

"Tiap makhluk yang dijadikan Allah punya keistimewaan masing-masing. Termasuk diri Nana," kata Yusuf sambil menahan sebak dan perasaan. Hampir sahaja dia menangis di hadapan Nana menjawab pertanyaan anaknya itu. Tetapi dia dapat mengawal perasaannya. Mereka tidak sesekali menunjukkan kesedihan di hadapan anak mereka.

Kesedihan itu hanya mereka berdua yang telan dan merasakannya. Tidak ditunjukkan di hadapan Nana.

Selepas beberapa penjelasan daripada ibu bapanya, Nana mula menerima nasibnya dan keadaannya sebagai insan yang dikurniakan kepada ibu bapanya. Dia tidak merasa canggung apabila berjalan bersiar bersama orang tuanya. Dia berasa bahagia bersama mereka. Tiada rasa iri terhadap anak-anak remaja lain, yang dapat bergerak tanpa bantuan. Begitu juga Yusuf dan isterinya apabila bersama dengan Nana. Bahagia!

"Abang berjanji mesti melakukan apa yang sepatutnya kepada Nana, apabila saya menjalani rawatan di hospital. Jangan dipersiakan anak saya," kata isterinya dengan nada yang mengandungi ancaman walaupun disampaikan dengan secara lembut.

"Sayangilah dia sebagaimana abang sayang saya. Dia anak darah daging saya, walaupun Nana tidak sesempurna seperti anak orang lain. Dia anak kita, bang," isterinya mengingatkan dia dalam perbualan mereka dahulu.

"Kalau abang persiakan dia, sama juga seperti abang mensia-siakan diri saya, tau!" isteri memberitahu lagi. Yusuf hanya mengangguk-anggukkan kepala seperti belatuk mengetuk-ngetukkan kepalanya di batang kayu mencari ulat.

Kepalanya bercelaru dengan gambaran bagaimana dia mahu memandikan anak daranya itu nanti. Ada perasaan malu. Ada segan. Ada geleman dengan tugas yang akan dijalankan nanti. Kepalanya berkecamuk dengan fikirannya.

Bagaimana nanti apabila dia menghadapi anak daranya. Belum pernah dia melihat badan perempuan selain daripada tubuh isterinya. Adakah dia dapat melakukan tugas yang telah amanahkan oleh isterinya dengan baik. "Adakah aku dapat menjalankan tugas dengan baik terhadap anak dara aku yang memerlukan bantuan aku?" kata hatinya.

Walaupun dari segi agama tiada hijab antara dirinya dengan anaknya itu, tetapi ia hanya merupakan satu teori yang indah daripada tugas praktiknya!

Sebelum ini, dia tidak pernah terfikir atau mahu menolong isterinya menguruskan anak istimewa mereka. Dahulu, semua kerja ini dilakukan dan diuruskan oleh isterinya.

"Ya Allah, berikanlah aku petunjuk dan kekuatan, bantulah aku dalam menjalankan tugasku ini," dia berdoa dalam hatinya.

"Ah tugas ini nampak ringan. Tapi berat untuk dilaksanakan," hatinya berkata lagi. Tetapi niat telah padu untuk menjalankannya. Demi anak dan isterinya.

Dia bertekad melakukan itu demi kasih dan sayangnya terhadap Nana dan isterinya. Itu janji yang telah diberikan kepada isterinya sebelum isterinya pergi ke hospital.

"Yalah nanti saya lakukan semua," Yusuf menjawab positif. Apabila dia tersedar dari lamunannya. Dia tidak sedar begitu lama dia mengelamun.

BIODATA PENULIS

Sumadi Sarkawi mantan wartawan yang aktif dalam penulisan sastera sejak berusia 16 tahun.

Beliau kini pendidik di Lembaga Ragbi Antarabangsa.

Beliau telah menerbitkan empat buku puisi dan sebuah antologi cerpen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg