KHALID BIN WALID sedar hari-hari terakhir menunggu kematiannya begitu sesuatu yang pasti akan berlaku. Dia tidak menyesalinya.

Tidak. Dia tidak bimbang akan kemungkinan orang cepat melupakan dirinya selepas kematiannya nanti. Dia tidak sedikit pun gusar akan kemungkinan orang tidak akan mengenang dirinya sebagai tokoh terhormat yang telah banyak berjasa.

Siapa tidak kenal akan dirinya - seorang satria terbilang! Sebagai bekas panglima hebat di zaman kegemilangannya, namanya sahaja sudah cukup menggerunkan lawan-lawannya di medan perang.

Cuma kini keadaan sudah berbeza.

Berbaring di ranjang di kamar sederhananya sendirian, Khalid masih sukar melupakan beberapa perjalanan hidupnya yang lalu. Hal yang meresahkan ternyata lebih menguasai fikirannya.

Ketika mengenang hal-hal demikian wajah sugulnya sukar disorokkan. Bersilih ganti perasaan sedih dan kesal. Dia kehilangan ceria. Kenangan demikian mengganggu fikirannya, menggamit keprihatinannya.

Seperti, fikirnya, kemungkinan keadaan seperti itu di hari-hari terakhir hidupnya akan dapat menimbulkan gambaran negatif kepada umat.

Otaknya mengkhayalkan: apakah tidak mungkin di kemudian hari nanti, musuh-musuh yang mengetahui riwayatnya di saat-saat dia menunggu kematiannya begitu, akan menjadikannya bahan sendaan!

"Bayangkan mereka akan berkata Khalid bin Walid, panglima yang digeruni di medan perang, mati di atas ranjang, bukan mati akibat tertusuk senjata musuh yang digempurnya!"

Khayalan begitu berulang kali bermain di kepalanya. Mengingat kemungkinan itu hati kecil Khalid tidak henti-henti merintih kekesalan.

Bukan tiada para sahabat yang memaham perasaannya itu berusaha membuatnya tenang.

"Tuan tidak harus berfikir demikian," kata mereka. "Mengapa tuan tidak tumpukan sahaja berfikir hal-hal yang telah membahagiakan tuan. Banyak sungguh jasa tuan kepada agama dan umat. Bahkan sumbangan itu jauh lebih besar berbanding dengan apa jua kelemahan yang tuan rasakan."

Khalid menyambutnya dengan senyuman lemah.

Dia pun tidak menolak kata-kata sahabat yang demikian. Disedarinya hakikat itu.

Sampai di saat itu dia bangga dengan gelaran 'Pedang Allah' yang diberi kepadanya. Apatah lagi gelaran itu diterimanya langsung dari Rasulullah. Sungguh dia menghargainya. Dan penghargaan itu dibuktikan dengan memimpin tentera di bawah kepimpinannya meraih kemenangan demi kemenangan.

Semua kemenangan itu telah memberi dampak besar kepada perkembangan agama dan umat.

"Kami menyaksikan betapa bangganya tuan dipilih mengepalai tentera Madinah dalam ekspedisi membebaskan Makekah dari kekuasaan Quraisy," sahabat lain mengingatkannya.

Khalid mengangguk mengiyakannya.

Namun, fikirannya masih juga terganggu. Bukan semua pengalamannya sebagai panglima perang membahagiakannya. Ada yang terus mengganggu ketenangan jiwanya.

Antaranya peristiwa ketika dia masih belum menjadi pengikut Muhammad.

Ketika masih menjadi panglima tentera Quraisy Makkah, banyak kecelakaan telah ditimpakan tentera pimpinannya ke atas tentera Madinah. Masih segar di benaknya betapa dia memanfaatkan kesilapan pasukan pemanah Madinah untuk menyerang balas pihak lawan dari belakang Bukit Uhud. Pasukan Madinah terpukul teruk. Rasulullah sendiri hampir terkorban.

"Ah, betapa butanya diriku ketika itu," keluhnya tidak henti-henti. "Andainya ditakdirkan Rasulullah terbunuh waktu itu, seluruh alam akan mengutukku."

Panglima hebat itu benar-benar kesal dan sedih.

Dia juga kesal dan sedih apabila mengingat penyertaannya di bidang ketenteraan di pihak Rasulullah selepas itu turut menjadi antara sebab berlakunya fitnah yang menjejaskan hubungannya dengan Umar bin Khattab.

Di ranjang, fikiran Khalid semakin kalut mengenang kegagalannya menangani gejala fitnah yang telah menjejas perhubungan baiknya dengan Khalifah Umar bin Khattab yang menggantikan Abu Bakar.

"Jangan tuan terlalu risaukan hal itu," kata sahabat memujuk. "Biarkan peristiwa yang lepas itu berlalu. Bukankah Dia lebih mengetahui segala-galanya?"

"Aku sungguh-sungguh kecewa," balas Khalid lemah. "Meskipun aku telah berjaya menggempur dan menewaskan banyak musuh dalam banyak peperangan, lalu mengangkat risalah yang dibawakan Rasulullah, aku gagal melawan fitnah-fitnah ke atas diriku sehingga menjejas hubungan baikku dengan Amirul Mukminin."

Khalid kembali mengingat beberapa peristiwa yang mencetuskan kerenggangan perhubungannya dengan Umar.

Dia ingat peristiwa drinya membunuh Malik bin Nuwairah kemudian segera menikahi jandanya, Laila. Sepanjang ingatannya peristiwa itulah yang dicanangkan beberapa pihak sebagai sebab utama Khalifah Umar memecatnya daripada kepimpinan tertinggi tentera dalam Perang Yarmuk.

Khalid juga mendengar berita lain yang turut tersebar kononnya Khalifah Umar sengaja memecatnya kerana khuatir Khalid akan menjadi lebih popular daripada dirinya sebagai Khalifah.

Memang tidak mudah untuknya menangani gejala itu ketika suara-suara demikian mula kedengaran. Bahkan dia sendiri mulanya sukar memahami mengapa Umar memecatnya secara mendadak di tengah-tengah Perang Yarmuk sedang berada di tahap kritikalnya.

Dia hanya tahu dirinya diperintahkan supaya melepaskan jawatannya serta-merta sebagai panglima perang dan menyerahkannya terus kepada Abu Ubaidah al-Jarrah. Walhal perintah itu datang pada ketika tentera di bawah kepimpinannya sedang berada di ambang kemenangan.

Khalid tidak menafikan jiwanya bertarung berhadapan perintah mendadak sebegitu di tengah-tengah bergelodaknya suasana perang.

"Bagaimanakah sikap yang harus kuambil apabila dalam situasi genting tentera pimpinanku akan meraih kemenangan tiba-tiba datang perintah mahukan aku melepaskan jawatan kepimpinanku? Dan perintah itu datang langsung dari Amirul Mukminin!"

Memang bukan mustahil untuk dia mempersoalkan kebijakan Khalifah memecatnya ketika itu. Dan fikiran begitu memang kuat bersarang di kepalanya lama selepas itu.

"Bukankah reaksi engkau seperti itu merupakan satu kekuatanmu," hujah sahabatnya cuba menjernihkan keadaan.

Khalid menyedari kemunasabahan hakikat yang disebut sahabat itu. Dia sendiri bersyukur telah dapat menonjolkan kekuatan peribadinya di saat-saat dia diuji sedemikian.

Dalam situasi yang lebih tenang dia sempat membuat penilaian yang lebih seimbang.

Lalu terfikir olehnya ada samanya wataknya dengan Khalifah Umar.

Dia jadi lebih menghormati keberanian Umar. Terfikir olehnya tidak mungkin terdapat kekuatan seorang Khalifah untuk memecat panglima tenteranya yang hebat dan sedang berhadapan dengan kemenangan, jika tidak kerana telah membuat perhitungan yang mendalam. Dia percaya Khalifah Umar tentu tidak bertindak atas kepentingan peribadi.

"Tindakan Khalifah itu tentu berteraskan kekuatan keimanan dan keberanian moral yang cukup tinggi," rumusnya.

Dia merenung jauh mengimbas semula kenangan di saat-saat permulaan berlakunya peristiwa itu.

Masih segar kenangannya akan pertarungan di benaknya ketika dia menimbangkan kemungkinan-kemungkinan yang boleh diambilnya sebagai reaksi menyambut perintah mendadak dari Amirul Mukminin.

"Bukankah aku boleh sahaja membuat pengumuman terbuka mengenai perintah Umar itu bagi menarik simpati askar-askar di bawah pimpinanku? Sentimen mereka boleh kubakar untuk berpihak kepadaku. "

"Atau, aku boleh juga menyembunyikan perintah itu dan tidak menghebahkannya dahulu. Dengan itu aku boleh terus memimpin askar-askar. Mentelah kami sedang berada dalam situasi akan menang ketika itu."

Semua pertarungan dalam jiwanya pada waktu itu masih segar dalam kenangannya sampai kini.

Tetapi, dia lebih tenang sekarang. Bukan demikian tindakan yang diambilnya ketika itu. Sebaliknya, dia akhirnya memutuskan semua pilihan itu hanya akan mengorbankan kepentingan yang lebih besar: demi menegakkan kebenaran.

Dia mahu menyamai kemuliaan Umar. Dia mahu membuktikan, seperti Umar, dia bukan berkhidmat kecuali demi hak dan kebenaran. Dia harus melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mengingat semua itu, Khalid bersyukur dia telah membuat keputusan yang benar demi kebaikan bersama.

Dia bertambah tenteram di pembaringannya.

Dia percaya sudah berlaku penjernihan sikap dan pandangannya terhadap Umar.

Ketika kemudian dikunjungi Abu Dardak beberapa hari sebelum menghembuskan nafasnya, Khalid mengongsi isi hatinya itu.

Diluahkan isi hatinya kepada Abu Dardak. Kata Khalid:

"Ada beberapa perkara yang dulunya saya tidak berpuas hati terhadap Umar dan telah lama terbuku di dalam jiwa saya. Tetapi setelah saya merenung dalam saat-saat saya menderita sakit ini, saya menyedari apa yang Umar lakukan terhadapku di masa yang lalu itu hanyalah semata-mata kerana Allah."

Katanya lagi, "Saya pernah berasa tidak puas hati apabila Umar membahagi-bahagikan harta milik saya. Tetapi, setelah saya amati, saya juga dapati beliau sebenarnya berbuat yang sama ke atas tokoh-tokoh terkemuka yang lain serta kepada sahabat yang terlibat dalam Perang Badar."

Khalid berhenti sebentar menarik nafas panjang.

Abu Dardah tekun mendengarkannya.

"Saya terkesan Umar bersikap kasar terhadap saya. Tetapi, setelah merenung panjang, saya dapati beliau juga bersikap begitu kepada orang lain. Saya juga pernah menganggap beliau cenderung kepada kaum kerabatnya.

"Pandangan saya meleset. Saya menyaksikan Umar sebenarnya tidak melebihkan kaum kerabat dan tidak juga takut kepada celaan orang baik dalam hal yang tidak melibatkan keredaan Allah, apalagi dalam perkara yang melibatkan keredaan Allah."

Abu Dardak bersyukur mendengarkannya.

Hatinya berbisik, "Dua tokoh besar berjuang bukan untuk membina nama sendiri, tetapi sebagai melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang lebih agung dan abadi.

Kini, di ranjang menanti kematiannya, hati Khalid semakin lapang,

Hari-hari terakhir sebelum kematiannya menjadi hari-hari panglima hebat itu memanfaatkannya bermuhasabah.

BIODATA PENULIS

Maarof Salleh pernah menjadi zamil kanan kajian di Institut Pengajian Asia Tenggara. Beliau pernah mengajar subjek Bahasa Melayu, Sastera, Ekonomi dan Sejarah pada pelbagai peringkat, dan mengetuai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sedekad.