Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Cerpen kupas dilema ibu jaga anak autistik

Jan 10, 2022 | 05:30 AM



IBU mana yang tidak terkesan melihat anaknya yang seolah-olah merana dalam badannya sendiri dan tidak mampu mengeluarkan kata-kata bagi menyampaikan kehendaknya.



Derita melihat keadaan anaknya yang lain daripada lain, Nani mencari jalan cuba membantu Razi, seorang anak istimewa yang mengalami autisme.



Gejolak dalam diri Nani yang terpaksa berperang dengan pelbagai jenis fikiran dan emosi diburukkan lagi dengan reaksi daripada orang di sekelilingnya terhadap tingkah laku anaknya itu.



Terdesak mencari jalan keluar daripada kesengsaraannya dan terpengaruh oleh nasihat kakaknya, Nani membawa Razi berubat dengan seorang bomoh, dengan harapan keadaan autisme anaknya itu dapat dipulihkan.



Cerita tersebut, yang berdasarkan kisah sebenar, dirungkaikan dalam cerpen berjudul 'Razi' hasil karya Dr Sa'eda Buang.



Cerpen tersebut yang ditulis pada 2002 dalam Bahasa Melayu telah diterjemahkan kepada bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.



Ia merupakan salah satu bahan bacaan bagi projek One Story, sebuah inisiatif Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) yang bertujuan menjadikan cerpen-cerpen karya penulis Singapura dapat dibaca dalam bahasa-bahasa lain.



Projek tersebut mahu membawa cerita-cerita ini kepada lebih ramai pembaca melangkaui masyarakat yang untuknya pada asal cerita tersebut dituliskan.



Baru-baru ini, satu sesi sembang santai melalui wadah Zoom telah diadakan di mana Dr Sa'eda telah membincangkan cerpen 'Razi' dengan sekumpulan pembacanya.



Sesi tersebut dianjurkan sebagai sebahagian usaha Kelab Membaca Ilham Pustaka NLB.



Dalam cerpen 'Razi', watak Nani berbelah bahagi antara mendengar nasihat kakaknya yang menyarankan rawatan tradisional diusahakan untuk 'memulihkan' keadaan Razi, dengan suaminya yang lebih tegas mengenai cara menangani masalah kesihatan.



Mengulas tentang karyanya, Dr Sa'eda yang merupakan pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE) berkata:



"'Razi' merupakan sebuah cerita yang mengutarakan perjalanan hidup yang tidak mudah bagi seorang anak yang mengalami autisme dan juga penderitaan hidup seorang ibu yang memerhatikan dan memperjuangkan hidup anaknya setiap saat serta betapa si ibu... sentiasa berpolemik dalam dirinya iaitu sama ada hendak ikut 'A' atau ikut 'B'.



"Setiap watak ini walaupun mereka kelihatannya mempunyai konflik dan bertentangan antara satu sama lain, tetapi pertentangan itu berpusat dari rasa kasih sayang, masing-masing menyayangi Razi tetapi kasih sayang itu ditunjukkan dengan cara yang berbeza-beza."



Menyentuh isu keputusan Nani membawa Razi berjumpa bomoh, seorang peserta dalam sesi tersebut, penulis, Cik Sharifah Mohamed, berkata hal tersebut bukanlah perkara baru dan sudah berlaku pada masa dahulu sehinggalah zaman moden sekarang.



Malah, tambah beliau:



"Ia sangat relevan, dari segi pemikiran, bagaimana kita menangani anak istimewa, apakah anasir luar yang akan menggugat pendirian kita... cara apa yang kita hendak ambil dalam soal perubatan dan kepercayaan kita - nak tak kita buat perubatan itu dan ini?"



Seorang lagi peserta, penulis, Encik Muhammad Khairool Haque, menambah:



"(Cerpen) ini mendedahkan satu sisi yang berbeza iaitu berkenaan perubatan tradisional.



"Walaupun dalam cerita ini... bomoh itu, pada saya merepeklah kaedah rawatannya, tetapi itu juga satu sisi pemikiran yang wujud dalam masyarakat kita sehingga kini yang mungkin boleh jadi satu perbincangan yang sangat baik di sekolah iaitu kita ada perubatan tradisional, tetapi perubatan tradisional yang bagaimana yang kita boleh terima," kata beliau.



Maklumat lanjut tentang cerpen 'Razi' serta pautan untuk membacanya boleh didapatkan di readingnation.nlb.gov.sg/initiatives/one-story/.




"Razi merupakan sebuah cerita yang mengutarakan perjalanan hidup yang tidak mudah bagi seorang anak yang mengalami autisme dan juga penderitaan hidup seorang ibu yang memerhatikan dan memperjuangkan hidup anaknya setiap saat serta betapa si ibu... sentiasa berpolemik dalam dirinya iaitu sama ada hendak ikut 'A' atau ikut 'B'. Setiap watak ini walaupun mereka kelihatannya mempunyai konflik dan bertentangan antara satu sama lain, tetapi pertentangan itu berpusat dari rasa kasih sayang, masing-masing menyayangi Razi tetapi kasih sayang itu ditunjukkan dengan cara yang berbeza-beza."
- Penulis 'Razi', Dr Sa'eda Buang.




Ilham karya pensyarah NIE dari kisah sebenar



SETIAP hari merupakan perjuangan yang perit bagi Nani, ibu kepada Razi, seorang anak istimewa yang mempunyai autisme.



Semakin hari semakin geram Nani dibuatnya terhadap sikap masyarakat yang kurang faham dan kurang berempati dengan kondisi anak bekeperluan khasnya itu.



Lama-kelamaan, beliau terpengaruh dan tertekan oleh pujuk rayu kakaknya yang tidak putus-putus menyuruhnya mendapatkan bantuan bagi Razi daripada seorang bomoh.



Penulis cerpen 'Razi', pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Sa'eda Buang, mendapat ilham menulis kisah tersebut daripada sebuah keluarga yang mengalami nasib serupa.



Dalam perkongsiannya melalui Zoom baru-baru ini, Dr Sa'eda berkata:



"Cerita ini merupakan pemerhatian saya pada sebuah keluarga yang mempunyai masalah sebegini dan ianya merupakan curahan hati seorang ibu kepada saya tentang penderitaan perjalanan hidupnya yang penuh dengan konflik sedemikian... terutama apabila beliau rasa begitu tertekan dan tekanan itu datang daripada ahli keluarga sendiri."



Beliau lalu meminta izin wanita tersebut untuk memerhatikan kehidupan keluarga itu serta cabaran yang mereka hadapi.



"Sebab pada saya, kalau kita nak menulis tapi kita tidak ambil langkah-langkah untuk menjadi pemerhati yang rajin, bahan yang kita tulis itu tidak akan menjadi autentik dan sukar bagi pembaca untuk mempercayai apa yang kita tulis," tambah Dr Sa'eda.



Ditulis pada 2002, cerpen 'Razi' akan membuat pembaca merenungkan sejauh mana kita sanggup pergi dan apakah yang kita mampu lakukan demi orang tercinta.



Dengan menyelam ke dalam dunia Nani, pembaca juga bakal terdorong mempertimbangkan dilema yang dihadapinya sebagai seorang ibu yang bergelut dengan pelbagai macam emosi dan rasa bersalah.



Adakah kita akan mengutuk keputusannya atau berempati dengan cabarannya?



Jawapan tersebut hanya dapat dijawab pembaca cerpen 'Razi'.



TENTANG PENULIS 'RAZI'



Dr Sa'eda Buang merupakan Pensyarah Kanan dalam kumpulan akademik Bahasa dan Budaya Asia NIE, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Penyelidikan yang beliau minati adalah dalam bidang kesusasteraan perbandingan, kajian budaya, pembangunan dan reformasi kurikulum, literasi kritis, pendidikan Muslim, penilaian alternatif, dan manuskrip Jawi.



Dr Sa'eda banyak menulis puisi, cerpen dan kertas akademik berkaitan kesusasteraan.



Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera (puisi) untuk 'Pustakaku Dalam Remang Senja' yang diberikan Majlis Bahasa Melayu Singapura pada 2003; Hadiah Sastera (cerpen) bagi 'Ke Puncak Pun Tidak' pada 2005 dan Hadiah Sastera (pujian, puisi) bagi 'Malang, Senda dan Citra' pada 2005.



Selain itu, puisinya 'Pustakaku Dalam Remang Senja' juga telah diterjemahkan kepada bahasa Mandarin dan diterbitkan di akhbar bahasa Cina Singapura, Lianhe Zaobao pada 2003.



Selain mengendalikan bengkel penulisan kreatif di sekolah dan untuk orang ramai, beliau kini berkhidmat sebagai wakil Singapura dalam Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) serta penasihat dan perunding dalam industri sastera Melayu antarabangsa dan setempat.



Selain menjadi anggota beberapa lembaga penasihat editorial di Indonesia dan Malaysia, Dr Sa'eda juga merupakan editor jemputan untuk terbitan khas Jurnal Pendidikan Asia Pasifik tentang Pendidikan Muslim − Cabaran, Peluang dan Seterusnya (2007) serta Editor Bersekutu Jurnal Pendidikan Asia-Pasifik (Routledge), NIE-NTU (2014-2016).




 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >