Subuh
5:39
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

Dari suka-suka, kini hobi lukis jadi kerjaya

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Bahasa & Budaya
34
0

Dari suka-suka, kini hobi lukis jadi kerjaya

Mahu tarik minat generasi muda baca buku Melayu
Jan 18, 2022 | 05:30 AM

HOBI melukis sudah lama bercambah dalam diri Cik Yaney Yusup atau nama sebenarnya, Suryani Md Yusup, sejak beliau kecil. Tidak mensia-siakan bakat yang ada, Cik Yaney Yusup mengorak langkah menjadikan bidang lukisan sebagai satu kerjaya bebas dalam hidupnya.

Beliau, yang memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera & Sains Kemasyarakatan, Universiti Nasional Singapura itu berkata, pada awalnya, karya beliau dihasilkan secara suka-suka untuk kepuasan diri dan permintaan rakan-rakan sahaja.

"Saya bermula sekitar tahun 2008. Minat melukis memang sudah terpateri sejak saya kecil lagi dan minat itu bertahan hingga ke alam dewasa.

"Sekadar suka-suka, saya sering melukis 'fan art' yang dimuat naik ke Instagram.

"Hobi yang sebati ini juga memberi inspirasi kepada saya melukis kad hari lahir buat ahli keluarga dan sahabat-sahabat.

"Memandangkan ramai kawan mula menyedari bakat saya, mereka turut mengupah saya melukiskan potret mereka mengikut gaya 'anime'. Itulah permulaan saya sebagai ilustrator secara kecil-kecilan," kata Cik Yaney.

Dari 2017 hingga 2018, potensi Cik Yaney mula mendapat perhatian daripada kenalan dan para pelukis tempatan sehingga berjaya membuahkan kerjasama untuk beberapa karya kanak-kanak Melayu.

"Sekitar tahun tersebut, saya mula menceburi bidang lukisan secara komersial untuk sebuah buku Melayu. Ketika itu, ada seorang kenalan ingin membuat buku dan kad permainan peribahasa bagi membantu murid-murid sekolah rendah.

"Untuk mengisi kehendak karya itu, saya ditugaskan melukis beberapa peribahasa mengikut senarai pelajaran yang diberikan. Saya menterjemahkan lukisan tersebut dalam kad permainan dan buku latihan Celik Peribahasa oleh Feeqrah Learning.

"Tidak lama kemudian, kenalan lain pula memperkenalkan saya kepada penulis tempatan, Cik Maria Mahat.

"Kami bekerjasama untuk menghasilkan sebuah buku berjudul Ada Khazanah Di Perpustakaan Kami!.

"Saya juga pernah menghasilkan lukisan untuk buku latihan kepada beberapa madrasah, pertubuhan pendidikan Islam dan tutor persendirian," ujar beliau.

Bagi pelukis berkarisma berusia 43 tahun itu, dia bukan sekadar memenuhi kerja sebagai seorang pelukis, malah menjadi perantara untuk menyampaikan kesenian Melayu kepada kanak-kanak dengan cara yang lebih kreatif.

Beliau berkata: "Melukis ini memberikan kepuasan kepada diri untuk menyampaikan sesuatu mesej atau keadaan kepada masyarakat di luar sana.

"Keistimewaan melukis tidak ada pada gelaran, tetapi wujud pada karya yang dihasilkan. Sebagai ilustrator buku Melayu, kita dapat menarik generasi muda untuk lebih berminat dalam membaca buku-buku Melayu.

"Dengan memberikan gambaran yang sesuai berbentuk visual, mereka lebih mudah memahami adat Melayu yang kian hilang dek zaman.

"Maka, ketelitian yang tinggi amat diperlukan bagi menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada masyarakat."

Bercakap mengenai cabaran pula, dia berkata salah satu cabaran menjadi ilustrator buku kanak-kanak Melayu ialah pasaran tempatan yang kecil di Singapura.

Tidak ramai yang mampu untuk melibatkan diri sebagai ilustrator kerana tawaran kerja yang sedikit di dalam negara.

"Kadang-kadang, terdapat juga tawaran di luar negara, tetapi sukar dipenuhi kerana faktor jarak. Oleh itu, pertimbangan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perkembangan ilustrator tempatan."

"Walau bagaimanapun, saya meletak harapan tinggi untuk melihat lebih banyak peluang untuk karya-karya seni lukisan Melayu diberi pendedahan yang lebih meluas.

"Saya juga berharap agar masyarakat, secara amnya, dapat menyokong penggiat seni dalam arena lukisan yang banyak menghasilkan karya-karya seni Melayu demi kelestarian bersama." LAPORAN BH

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3