Daun sirih mempunyai makna yang cukup mendalam terutama dalam budaya dan adat perkahwinan tradisional masyarakat Melayu.
Gubahan sirih dan bunga bukan sekadar hiasan di pelamin. Ia malah membawa makna simbolik dan sarat nilai budaya.
Dalam adat istiadat perkahwinan Melayu, penggunaan daun sirih seperti sirih junjung, sirih dara, sirih lat-lat dan tepak sirih, menjadi unsur penting melambangkan kesopanan, tradisi, dan penghormatan iaitu nilai asas dalam masyarakat Melayu.
Menurut Pengasas dan Pengarah Artistik Sri Warisan, Cik Som Said, penggunaan daun sirih dalam adat istiadat Melayu masih kekal relevan dan menjadi lambang warisan budaya Melayu yang patut terus diwarisi.
“Sedih ‘kan, kalau adat berkenaan dengan gubahan sirih tidak wujud lagi? Kerana ia adalah identiti kita,” kata Cik Som, penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Pendapat tersebut turut disokong Encik Bahtiar Daisuki, pengasas Ben Daisuke, syarikat pakar gubahan bunga perkahwinan, yang melihat perlambangan sirih sebagai unsur penting dalam penyatuan dua jiwa dalam perkahwinan Melayu.
Sirih dara melambangkan kesucian dan status dara pengantin perempuan.
Secara tradisional, pengantin perempuan akan menyediakan sirih dara sebagai simbol kesucian diri, manakala pengantin lelaki membawa tepak sirih sebagai tanda status bujangnya.
Kededua pihak turut menyediakan sirih junjung, susunan sirih yang indah diletakkan berhampiran pelamin sebagai lambang penyatuan dua jiwa.
Bagi mereka yang berstatus duda atau janda dan berkahwin semula, sirih dara dan tepak sirih biasanya tidak disediakan kerana hanya relevan bagi pasangan yang berkahwin buat kali pertama.
Dahulu, sirih dara dan tepak sirih diletakkan di dalam bilik pengantin bukan sahaja untuk mewangikan bilik tersebut, bahkan juga sebagai lambang peribadi.
Manakala sirih junjung dihias cantik dan ditempatkan di sisi pelamin, mewakili ikatan perkahwinan yang sah.
Namun, pada zaman sekarang, Encik Bahtiar, yang lebih mesra dipanggil Encik Ben, mendedahkan bahawa ada sesetengah pengantin perempuan yang menyediakan sirih junjung bagi pihak lelaki.
Pengantin lelaki pula menyiapkan sirih dara bagi pihak perempuan bagi melambangkan kasih sayang antara pengantin.
Sirih junjung dan sirih dara biasanya disusun bertingkat sebagai lambang rumah tangga.
Menurut Cik Som, sirih dara dan sirih junjung lazimnya mempunyai sekurang-kurangnya tiga tingkat.
Tingkat-tingkat tersebut melambangkan asam garam, dan manisnya kehidupan, dengan hiasan tambahan di atas yang melambangkan kemakmuran serta keindahan kehidupan berumah tangga.
Biasanya, sirih junjung dibuat lebih besar atau mempunyai lebih banyak tingkat berbanding sirih dara.
“Ini untuk menunjukkan peranan atau tanggungjawab seorang lelaki sebagai ketua keluarga,” kata Encik Bahtiar, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam perniagaan melibatkan adat istiadat dan hiasan majlis kahwin.
Menurut Cik Som, jumlah tingkat tersebut mestilah angka ganjil.
Bukan sahaja penampilan sirih dara dan sirih junjung diberi perhatian, bahkan cara ia dihasil dan diurus juga sangat penting.
Menurut Cik Som, individu yang membuat anyaman daun pandan untuk sirih junjung dan sirih dara bukanlah orang biasa, sebaliknya beliau mesti mahir dan berpengalaman.
“Ini kerana ia memegang lambang teruna dan dara, jadi jikalau tidak disediakan dengan betul, hingga bunganya boleh terjatuh, misalnya, mungkin akan menimbulkan salah faham,” kata beliau.
Terdapat juga kepercayaan lama yang mengatakan jika sirih junjung jatuh ketika majlis berlangsung, ia petanda perkahwinan itu tidak akan berkekalan.
“Kepercayaan orang dulu kena jaga sirih junjung elok-elok, jangan disepak atau tumbang, kerana itu kononnya petanda rumah tangga tidak kukuh,” kata Encik Bahtiar.
Walaupun begitu, beliau menekankan bahawa kepercayaan seperti itu hanyalah sebahagian daripada tradisi lama tanpa asas kukuh.
Kini, antara kebimbangan budayawan seperti Cik Som dan Encik Bahtiar adalah dalam era moden, semakin ramai memilih untuk meninggalkan adat dan amalan tradisional yang dianggap tidak lagi praktikal, atau demi menjimatkan kos.
Namun begitu, penyedia khidmat seperti Encik Bahtiar – yang menawarkan hiasan seperti Sirih Dara, Sirih Junjung, Sirih Lat-Lat, Bunga Telur, Bunga Songket, Songket/Batik Bunga Rampai, serta Berkat Eksklusif Tengkolok Mini Tanjak – tetap berusaha menyesuaikan unsur warisan itu, mengikut cita rasa dan kehendak pasangan pengantin masa kini.
“Pada hari ini, unsur-unsur sirih lebih dilihat sebagai bahan hiasan berbanding satu amalan adat.
“Namun begitu, adalah sesuatu yang indah apabila pasangan muda mengambil langkah mengangkat dan memelihara tradisi Melayu ini.
“Dengan pemilihan warna serta konsep yang sesuai, susunan sirih bukan sahaja menambah keindahan majlis, malah turut membawa makna budaya yang mendalam bagi meraikan cinta mereka,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg