Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dinding

Certot adalah ringkasan kepada cerita kontot. Akronim ini terdapat dalam buku tulisan 'Teori Penulisan Kreatif' oleh bahasawan Malaysia, Dr Othman Puteh, tetapi sejauh ini masih tidak diwartakan di dalam Kamus Dewan. Berbeza dengan cerpen, iaitu akronim bagi cerita pendek yang jumlah perkataannya mesti melebihi 500 patah perkataan, certot haruslah lebih pendek daripada itu. Strukturnya mesti kemas dan sempurna. Certot merujuk kepada cerita kontot yang jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah perkataan. Kini terdapat sebilangan penulis muda yang menunjukkan kecenderungan menghasilkan certot. Berikut kita ikuti dua lagi certot.
Dec 4, 2022 | 5:30 AM
1e41fbbe-2ba0-4eb5-9978-a61fe8489989
-

AIR dalam air. Hanya sebuah ilustrasi kartun 'Spongebob Squarepants' yang diada-adakan - itulah sangkaanku.

Berkelah di dasar laut di tepian sebuah lagun, begitulah cara penduduk laut Bikini Bottoms bersantai di hujung minggu selepas penat bekerja.

Pencipta kartun itu Stephen Hillenburg memang kreatif dan menarik minat semua yang menonton. Aku sangat terhibur dengan cara penceritaan yang diberi sehinggalah aku menonton dokumentari alam 'The Blue Planet' oleh Richard Attenborough. Dia menceritakan yang sama. Aku terpegun. Air dalam air?

Rupanya dalam kegelapan dasar laut wujud kolam tepu air garam. Kolam itu tenggelam di dasar laut kerana ketumpatan zat garamnya yang unik.

Kewujudannya menemukan dua sempadan air yang berbeza - air laut masin biasa dan air laut yang luar biasa kemasinannya. Dengan cara tersendiri ia membentuk zon mati di bawah laut.

Ketepuan garam di dalam kolam tersebut menyepadukan toksik kimia, menjadikannya perangkap semula jadi buat semua yang menyinggah dan ingin tahu.

Meremang bulu romaku menonton dokumentari tersebut apabila ditayangkan seekor belut bergelut di antara hidup dan mati setelah menyeberang kolam itu dan berputar-putar menggeliat keluar menari perit di antara dua alam itu apabila terkena sisa toksik zon mati. Gayanya seakan belut itu sedang nazak.

Merinding aku mendengarkan penerangan pencerita tentang halusnya dinding pemisah hidup dan mati dalam ekosistem istimewa itu.

Di tebing zon mati itu, kehidupan subur berkembang maju diberi suap bakteria yang mereput kimia toksik zon mati menjadi sumber makanan.

Tetapi awas! Semua yang tersilap langkah dan jatuh ke dalam tebing pemisah akan diawet hidup-hidup kerana kepadatan garam yang meracun.

Lalu si pencerita menunjukkan mangsa-mangsa yang telah terjatuh dalam lubuk pemusnah itu dan mengajak penonton meneka berapa lamakah bangkai-bangkai itu telah sedemikian rupa.

Berpuluh atau beratus tahun tiada siapa yang tahu. Apa yang pasti mangsa-mangsa tersebut kekal segar sedari hari mereka tergelincir dan terperangkap.

Subhanallah! Tidak ku sangka dokumentari alam boleh menggoncang sukmaku dan menggentarkan perasaanku. Seingatku tiada filem seram yang pernah ku tonton yang telah memberiku kesan yang sama.

Aku merenung memikirkan gerbang yang bakal dilalui semua setiba waktunya. Gerbang kematian yang akan menemukan aku dengan sempadan barzakh - dindingku dengan alam akhirat. Aku gerun memikirkannya.

Malam itu aku bermimpi aku sedang menggeliat dan berputar seperti sang belut yang aku tontoni siang tadi - mencari tempat untuk berpaut dan mengeluarkan diri dari lubang yang terus menyedutku ke dasar musnah. Aku terjaga berpeluh-peluh, keliru seketika.

Astaghfirullah! Aku mengambil wuduk dan menghadap Tuhan memanjat doa agar akhirku tenang dan tidak tergelincir ke dalam kemusnahan seperti belut itu. Tidak ku sangka dokumentari The Blue Planet dapat meninggalkan kesan sedalam itu di dalam diriku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg