CERITA rakyat memang baik digunakan sebagai bahan menimbulkan kesan positif dalam kalangan pembaca khususnya pelajar semua tingkatan. Memang banyak ilmu dan falsafah positif yang kita boleh pelajari serta hayati daripada cerita berkenaan. Selain pengajaran dan mesej daripada cerita itu, pelajar juga dapat memantapkan kebolehan minda menggunakan bahasa Melayu baku secara lisan dan tulisan. Melalui pengolahan cerita rakyat, pelajar juga boleh meningkatkan corak dan laras bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi selain dapat menambah kosa kata. Cerita rakyat memang layak digunakan untuk mengenalkan sastera Melayu kepada pembaca sasarannya. Pelbagai tema, bentuk dan jenis cerita rakyat boleh digunakan sebagai wadah dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Sebagai contoh cerita-cerita mergastua dan jenaka seperti cerita Mat Jenin, Si Luncai, Bayan Budiman dan lain-lain lagi.
Salah satu cerita rakyat yang digemari penulis atau penyusun buku-buku sekolah bertemakan Sang Kancil. Saya masih ingat lagi cerita-cerita Sang Kancil terdapat dalam buku bacaan di sekolah-sekolah rendah pada 1940-an, 1950-an dalam buku bacaan berjudul Benih Akal dan beberapa buku bacaan lain. Malah pada hari ini, cerita-cerita Sang Kancil masih digunakan sebagai bahan bacaan buku teks di sekolah rendah dan menengah. Kononnya, cerita-cerita Sang Kancil berkenaan boleh menjadi wadah untuk pelajar mendekati sastera Melayu. Persoalannya: Wajarkah cerita-cerita Sang Kancil dijadikan bahan pembelajaran kanak-kanak setahun jagung? Sedangkan kanak-kanak berkenaan masih diibarat seperti rebung. Bukankah peribahasa Melayu mengatakan, "Kalau hendak melentur buluh sesuatu perlu dilakukan semasa rebung".
Malangnya, hampir semua cerita Sang Kancil mempamerkan kecerdekan haiwan itu menipu mangsanya untuk mendapat keuntungan peribadi. Sang Kancil memang pintar menggunakan pelbagai helah untuk melepaskan diri daripada belenggu sesuatu masalah atau tersepit di ruang penderitaan diri. Semua kepintaran berhelah Sang Kancil merupakan tipu helah yang diada-adakan. Malahan terdapat juga Sang Kancil melibatkan nama Nabi Sulaiman as untuk menipu mangsanya. Bayangkanlah, apa akan terjadi kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah yang suka membaca cerita-cerita kepintaran Sang Kancil menipu mangsanya. Kemungkinan mereka akan seronok dan terpengaruh dengan imejan-imejan gaya Sang Kancil menipu mangsanya. Lama-kelamaan hal ini boleh menyerap pada minda pembaca yang masih setahun jagung itu. Bukankah sikap kepintaran mengada-adakan helah sedemikian boleh sebati dalam hati nurani kanak-kanak yang naif itu.
Pada mulanya, mungkin kanak-kanak yang suka membaca cerita-cerita Sang Kancil berasa seronok menikmati jalan ceritanya, tanpa menyedari bahawa sikap pintar berhelah Sang Kancil menjadi kegemaran mereka. Lantas, mereka akan tidak sedar sikap pintar berhelah boleh menjadi sebati dalam hidup mereka. Bukankah peribahasa Melayu berfalsafah, "Alah bisa tegal biasa". Semaian begini boleh kekal dan juga sebati jika tidak dilakukan pemulihan yang berkesan.
Sikap pintar berhelah sangat berbahaya jika tidak ditangani dengan menanam rasa rohaniah yang sangat berkesan kerana pantun Melayu telah menasihati kita sejak berkurun lalu. Bunyinya seperti berikut:
Siakap senohong Gelama ikan duri Bercakap bohong Lama-lama mencuri.
Mungkin pendapat penyusun buku-buku teks berkenaan bahawa cerita-cerita Sang Kancil hanya cereka untuk memikat pelajar agar gemar membaca bahan-bahan sastera lama. Namun, kita perlu berhati-hati kerana bilangan penipu kala ini meningkat bak 'cendawan tumbuh selepas hujan'.
► Othman Salam adalah mantan guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan pernah mengajar di semua peringkat pelajar termasuk Program Khas Guru-guru Bahasa Ibunda (BM) di Institut Pendidikan Nasional (NIE). Belia juga aktif menulis cerpen dan sajak di 'Berita Minggu'.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg