Topik diikuti
Pergi ke BHkuFestival rai ragam budaya Melayu, himpunkan kumpulan seni serantau
Festival Teroka Nusantara anjuran Taman Warisan Melayu merupakan pesta mercu tanda tahunan yang baharu
Festival rai ragam budaya Melayu, himpunkan kumpulan seni serantau
Meskipun setiap negara memiliki rentak dan gaya tarian yang berbeza, kelainan itulah yang menyuntik keunikan pada persembahan masing-masing.
Perbezaan tersebut sama sekali tidak menjejas persembahan apabila mereka digabungkan di satu pentas, sebaliknya melahirkan keharmonian.
Demikian yang diketengahkan oleh tiga wakil daripada kumpulan tari di Nusantara, semasa mengulas mengenai persembahan muzik dan tarian dari tiga negara yang merupakan sebahagian daripada Festival Teroka Nusantara.
Festival tiga hari itu diadakan buat julung-julung kalinya pada 6 hingga 8 November.
Dianjurkan oleh Taman Warisan Melayu (TWM), ia merupakan festival mercu tanda tahunan yang baharu, yang diadakan bagi menghimpunkan masyarakat serantau untuk meraikan keragaman seni dan budaya Melayu.
Lebih daripada 10 program berbeza disusun bagi pengunjung, yang boleh menyertai bengkel, persembahan, ruang dan reruai kebudayaan, sambil menikmati makanan di bazar berdekatan.
“Keunikan Festival Teroka Nusantara terletak pada usahanya mengembangkan naratif pameran tetap TWM dengan meneroka hubungan antara Singapura dengan dunia Melayu yang lebih luas menerusi sebuah festival,” kongsi Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Sharif.
Bertema, ‘Rumah Orang Kita’, festival itu merupakan satu usaha untuk mengumpul dan menampilkan kisah, tradisi dan warisan bersama di Nusantara, bagi meneroka makna menjadi orang Melayu di Singapura dalam lingkungan dunia Melayu yang lebih luas.
Acara kemuncak festival itu, Rumah Orang Kita: Nusantara Arts Showcase (Pameran Seni Nusantara), menghimpunkan kumpulan tari dari Singapura (Orkes Nico dan Atrika Dance Company), bersama-sama dua negara serumpun lain di Nusantara – Malaysia (Yayasan Warisan Johor) dan Indonesia (Kepai Ruai).
Mengulas lanjut tentang program tersebut, Encik Mohamed Hafiz berkata penyertaan negara berbeza dalam acara kemuncak itu cukup bermakna kerana persembahan yang menghimpunkan pelbagai negara dan tradisi tarian mereka jarang dapat disaksikan dalam satu wadah.
Bagi pereka tari Kepai Ruai, dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, Muhammad Fahrul, terdapat kesulitan dalam mempelajari tarian tradisional dari negara lain yang mempunyai titik unik dan sulit masing-masing.
“Contohnya, tarian tradisional kami, tari Jepin Lembut (tarian tradisional Melayu yang berasal dari Kabupaten (daerah) Sambas di Kalimantan Barat yang memberi tumpuan pada langkah kaki), berbanding dengan tarian lain yang mempunyai unsur ayunan badan, menjadi sulit kerana perlunya untuk kita menyamakan gerakan kaki dan badan,” katanya.
Pereka tari utama Atrika Dance Company dari Singapura, Muhammad Nur Haziq Noorazwa, pula menambah:
“Kolaborasi sebegini jarang sekali berlaku. Melalui festival ini, kumpulan kami dapat meraih ilmu daripada kumpulan tari yang lain, sambil diberi peluang untuk bergabung dan mengeratkan lagi silaturahim.”
Beliau berharap dapat terus memperkembangkan tarian Melayu dari Singapura dan memberi peluang kepada penari-penari untuk mementaskan tarian mereka dalam wadah yang lebih besar daripada penerbitan yang sering mereka persembahkan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Media Dan Korporat, Yayasan Warisan Johor, dari Malaysia, Encik Muhammad Qaim Qays Azmi, turut menzahirkan harapannya agar semangat meraikan kepelbagaian seni dan budaya Melayu dapat dirancakkan lagi, bukan sahaja di Singapura malah, di negara serumpun lain.
Antara daya tarikan lain dalam festival itu termasuk persembahan muzik di Baghdad Street oleh Orkestra Melayu Singapura; sesi belajar dan mengenali kebudayaan masyarakat Nusantara di reruai kebudayaan Nusa Budaya Kita; dan bengkel interaktif bersama keluarga seperti mengenali tradisi Melayu melalui pengalaman yang melibatkan pelbagai deria dalam ‘Selamat Datang ke Rumah Kita: A Sensory Journey through Malay Traditions Family Workshop’ (Bengkel Keluarga: Satu Perjalanan Deria Menelusuri Tradisi Melayu).