Topik diikuti
Pergi ke BHkuFestival raikan ragam budaya Melayu, himpunkan kumpulan seni serantau
Festival raikan ragam budaya Melayu, himpunkan kumpulan seni serantau
Walaupun setiap negara mempunyai rentak dan gaya yang berbeza dalam tariannya, namun perbezaan itulah yang membawa keunikan kepada persembahan masing-masing.
Perbezaan itu meskipun terlihat, namun tidak bererti persembahan secara bersama menjadi jelek.
Demikian yang diketengahkan oleh tiga wakil daripada kumpulan tari di Nusantara ini, semasa mengulas mengenai persembahan muzik dan tarian dari tiga negara yang merupakan sebahagian daripada Festival Teroka Nusantara.
Festival tiga hari itu diadakan buat julung-julung kalinya pada 6 hingga 8 November. Dianjurkan oleh Taman Warisan Melayu (TWM), ia merupakan festival mercu tanda tahunan yang baharu, diadakan bagi menghimpunkan masyarakat serantau untuk meraikan keragaman seni dan budaya Melayu.
Lebih daripada 10 program berbeza telah disusun, merangkumi bengkel, wacana, persembahan, ruang dan reruai kebudayaan, sambil menikmati makanan di bazar berdekatan.
“Keunikan Festival Teroka Nusantara terletak pada usahanya mengembangkan naratif pameran tetap TWM dengan meneroka hubungan antara Singapura dengan dunia Melayu yang lebih luas menerusi sebuah festival,” kongsi Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Sharif.
Bertemakan ‘Rumah Orang Kita’, festival itu merupakan satu usaha untuk mengumpul dan menampilkan kisah, tradisi dan warisan bersama di Nusantara, bagi meneroka makna menjadi orang Melayu di Singapura dalam lingkungan dunia Melayu yang lebih luas.
Acara kemuncak festival itu, ‘Rumah Orang Kita: Nusantara Arts Showcase’, menghimpunkan empat kumpulan tari dari Singapura (Orkes Nico dan Atrika Dance Company), bersama-sama dua negara serumpun lain di Nusantara – Malaysia (Yayasan Warisan Johor) dan Indonesia (Kepai Ruai).
Mengulas lanjut tentang program tersebut, Encik Mohamed Hafiz berkata penyertaan negara berbeza dalam acara kemuncak itu cukup bermakna kerana persembahan yang menghimpunkan pelbagai negara dan tradisi tarian mereka jarang dapat disaksikan dalam satu wadah.
Bagi pereka tari, Kepai Ruai, dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, Encik Muhammad Fahrul, kesulitan dalam mempelajari tarian tradisional dari negara lain yang mempunyai titik unik dan sulit masing-masing.
“Contohnya, tarian tradisional kami, tari Jepin Lembut (tarian tradisional Melayu yang berasal dari Kabupaten Sambas Kalimantan Barat memfokuskan kepada langkah kaki) berbanding dengan tarian lain yang mempunyai unsur hayunan badan menjadi sulit kerana perlunya untuk kita menyamakan gerakan kaki dan badan,” katanya.
Pereka tari utama, Atrika Dance Company, dari Singapura, Encik Muhammad Nur Haziq Noorazwa pula menambah:
“Kolaborasi sebegini jarang sekali berlaku. Melalui festival ini, kumpulan kami dapat meraih ilmu daripada kumpulan tari yang lain, sambil diberi peluang untuk gabung dan mengeratkan lagi silaturahim.”
Beliau berharap dapat terus memperkembangkan tarian Melayu dari Singapura dan memberi peluang kepada penari-penari untuk mementaskan tarian mereka di wadah yang lebih besar daripada produksi yang mereka sering mempersembahkan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Media Dan Korporat, Yayasan Warisan Johor, dari Malaysia, Encik Muhammad Qaim Qays Azmi, juga menzahirkan harapannya agar semangat meraikan kepelbagaian seni dan budaya Melayu dapat dirancakkan lagi bukan sahaja di Singapura tetapi di negara serumpun lain.
Antara tarikan lain dalam festival ini termasuk persembahan muzik di Baghdad Street oleh Orkestra Melayu Singapura; sesi belajar dan mengenali kebudayaan masyarakat Nusantara di reruai kebudayaan Nusa Budaya Kita; dan bengkel interaktif bersama keluarga seperti mengenali tradisi Melayu melalui pengalaman yang melibatkan pelbagai deria dalam ‘Selamat Datang ke Rumah Kita: A Sensory Journey through Malay Traditions Family Workshop’.