Topic followed successfully
Go to BHkuForum Guru 2023: 50 pendidik turut nikmati dendangan Ramli Sarip
Forum Guru 2023: 50 pendidik turut nikmati dendangan Ramli Sarip
Forum Guru 2023: 50 pendidik turut nikmati dendangan Ramli Sarip
BAK konsert mini bersama guru-guru Bahasa Melayu!
Seramai 50 guru Bahasa Melayu dari sekolah rendah, menengah dan madrasah bukan sahaja berpeluang mendengar perkongsian pemuzik, penyanyi, penulis dan penggubah lagu, Datuk Ramli Sarip, malah 'dihadiahkan' dengan dendangan beberapa lagu selepas perkongsian tersebut.
Forum Guru 2023, anjuran akhbar pelajar Gen G di bawah Berita Harian (BH) diadakan di Project Studio, Wisma Geylang Serai, baru-baru ini.
Dengan tema 'Pendidik Kreatif, Anak Didik Proaktif', ia bermatlamat membantu guru-guru memainkan peranan dan menjadikan pembelajaran lebih kreatif, sambil menggalak pelajar bertutur dalam bahasa Melayu.
Turut memberi ceramah pada forum itu ialah Cikgu Nurul Huda Muhammad Yassin, penerima Anugerah Guru Arif Budiman 2022 bagi kategori Perangsang.
Semasa sesi dua setengah jam itu, guru-guru diajar bagaimana menyulam penulisan lirik dalam pembelajaran dan teknik menggubah lagu oleh Datuk Ramli.
Beliau juga berkongsi tentang aspek budaya dalam lagu-lagu dan bagaimana budaya dapat diselitkan dalam pembelajaran Bahasa Melayu.
Cikgu Nurul Huda, yang berpengalaman hampir sedekad dalam pembelajaran Bahasa Melayu, berkongsi tentang penggunaan podcast dalam kelas dan bagaimana beliau memanfaatkan akhbar Gen G dan BH sebagai salah satu bahan untuk mengajar.
Ia memberi peluang kepada pelajar berbincang dan kekal relevan tentang isu hal ehwal semasa.
"Daripada perkongsian Cikgu Huda, saya akan turut menggunakan templat dengan murid harus mengenal pasti isu utama akhbar, kongsi pendapat dan fakta menarik yang mereka perolehi," kongsi Cikgu Seri Muslihah Md Nor dari Sekolah Rendah Naval Base.
Selain itu, Cikgu Safiyah Salmi Othman dari Sekolah Rendah Naval Base, juga turut berkongsi bahawa beliau memainkan lagu Melayu semasa waktu rehat pendek selama 10 minit. Ini akan memberi pendedahan lagi kepada murid sekolah rendah berbahasa Melayu.
Cikgu Nurul Huda, seorang guru yang berpengalaman hampir sedekad dalam pengajaran Bahasa Melayu, telah menyentuh tentang penggunaan podcast di dalam kelas dan bagaimana beliau memanfaatkan akhbar Gen G dan BH sebagai salah satu bahan pengajaran.
Selain itu, guru yang hadir juga diberitahu lebih lanjut mengenai peluang mengajak pelajar mereka menyertai podcast #NoTapis X Gen G.
Peluang ini membolehkan pelajar menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu yang dekat dengan hati golongan pelajar.

