Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Hamed Ismail terus bersemangat martabatkan bahasa, kesusasteraan Melayu

Dec 29, 2021 | 05:30 AM



MENJANGKAU usia 73 tahun, penulis veteran, Encik Hamed Ismail, tetap bersemangat menabur bakti untuk memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di Singapura.



Sesuai dengan gelaran sasterawan mapan, beliau menerima anugerah persuratan Melayu paling bernilai dalam sejarah negara iaitu Anugerah Tun Seri Lanang (2021) pada April lalu.



Malah, beliau masih kekal aktif menyertai acara-acara bahasa dan sastera walaupun di tengah-tengah musim pandemik ini.



Beliau berkata: "Sepanjang pandemik, saya masih mengikuti pelbagai acara sastera yang dianjurkan di dalam negara mahupun di luar negara.



"Walaupun hanya secara online, acara bahasa rancak diadakan dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada peminat seni.



"Contohnya, saya bekerjasama dengan persatuan bahasa di Malaysia, Indonesia dan sebagainya.



"Sekiranya dulu saya terpaksa 'terbang' ke luar negara secara fizikal untuk menghadiri forum atau seminar, pandemik memberi ruang kepada saya untuk melibatkan diri dalam lebih banyak acara kerana semuanya dilakukan secara dalam talian.



"Di sebalik kesukaran wabak, terdapat juga kelebihan yang boleh dimanfaatkan.''



Terkini, beliau berada dalam proses pengumpulan karya-karya lama seperti cerpen yang pernah ditulisnya suatu ketika dahulu.



Kemungkinan besar, beliau akan menerbitkan antologi cerpen sendiri. Prosesnya memakan masa yang agak lama kerana rintangan mendatang, memandangkan beliau juga terlibat dengan kerja-kerja lain.



Menurut Encik Hamed, banyak juga permintaan untuk mengadakan bengkel atau forum berkaitan dengan penulisan yang melibatkan badan-badan besar seperti Majlis Buku Singapura.



Sempena minggu Pesta Penulis Singapura (SWF) yang berlangsung dari 5 hingga 14 November lalu, belau turut dipilih sebagai panel bicara bersama penulis-penulis setempat yang lain.



Baru-baru ini juga, beliau telah menjadi juri peraduan persembahan pantun, anjuran Kelab Masyarakat (CC) Bukit Panjang.



"Disebabkan rangkaian sastera yang kukuh, saya juga sentiasa mendapat perkhabaran untuk kegiatan sastera yang diadakan di Singapura, sama ada hebahan melalui WhatsApp, e-mel dan lain-lain. Oleh itu, saya dapat mengikuti perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu di sini dengan baik," jelasnya.



Bercakap tentang dirinya yang gemar mendengar cerita dan membaca buku sejak kecil, Encik Hamed berpesan supaya generasi muda menanam minat membaca dari peringkat awal lagi supaya mereka dapat mendekati karya sastera dengan lebih mendalam.



Beliau memberitahu jika tiada langsung minat membaca, agak sukar untuk seseorang menghayati karya sastera Melayu.



Keinginan ini, katanya, akan tumbuh secara berperingkat dan ia bukanlah proses yang boleh mendapatkan hasilnya secara serta merta.



"Sebaliknya, ia adalah proses yang panjang. Tetapi asasnya, tanamkan minat membaca dari awal. Seseorang itu mesti belajar cintakan bahasa terlebih dahulu.



"Jika dibandingkan dengan zaman kanak-kanak dulu, tiada orang pun peduli tentang cara membina minat membaca dalam bahasa Melayu. Sekarang, kesedaran dan minat terhadap bahasa Melayu sudah disemai dari peringkat prasekolah lagi, baik oleh ibu bapa, persatuan bahasa mahupun guru-guru.



"Bagi saya, perkara ini adalah suatu perkembangan yang terarah dan konstruktif. Apa yang penting ialah kita sedar mengenai kekurangan diri, di samping kesedaran untuk mengatasinya.



"Jika zaman saya dulu tiada langsung kesedaran untuk membaiki kelemahan bahasa Melayu, dengan kepakaran dan tenaga pengajaran zaman sekarang, saya tidak khuatir tentang momokan penggunaan Bahasa Melayu di Singapura yang semakin berkurang dalam kalangan anak-anak muda."



"Ingat, setiap manusia mempunyai identiti sendiri yang berteraskan bahasa dan budaya. Jika kita tidak cinta akan bahasa dan budaya masing-masing, ini seolah-olah kita menidakkan identiti diri sendiri. Jika kita sendiri tidak menghormati bahasa dan budaya, kita tidak boleh mengharapkan orang luar menghormati bahasa dan bangsa kita. Maka, cintailah bahasa dan budaya kita dengan sepenuh hati," pesannya.




" Ingat, setiap manusia mempunyai identiti sendiri yang berteraskan bahasa dan budaya. Jika kita tidak cintakan bahasa dan budaya masing-masing, seolah-olah kita menidakkan identiti diri sendiri. Jika kita sendiri tidak menghormati bahasa dan budaya, kita tidak boleh harapkan orang luar menghormati bahasa dan bangsa kita. Maka, cintailah bahasa dan budaya kita dengan sepenuh hati."
- Encik Hamed Ismail, Sasterawan mapan negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >