Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERTOT

Hasrat

Certot adalah ringkasan kepada cerita kontot. Akronim ini terdapat dalam buku tulisan 'Teori Penulisan Kreatif' oleh bahasawan Malaysia, Dr Othman Puteh, tetapi sejauh ini masih tidak diwartakan di dalam Kamus Dewan. Berbeza dengan cerpen, iaitu akronim bagi cerita pendek yang jumlah perkataannya mesti melebihi 500 patah perkataan, certot haruslah lebih pendek daripada itu. Strukturnya mesti kemas dan sempurna. Certot merujuk kepada cerita kontot yang jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah perkataan. Kini terdapat sebilangan penulis muda yang menunjukkan kecenderungan menghasilkan certot. Berikut kita ikuti dua lagi certot.
Mar 19, 2023 | 05:30 AM



1 Mei 2020. Seingatku itulah kali pertama Lan memujiku setelah bertahun kami berkawan. Bergemuruh darahku mendengarkan susunan kekata pujiannya. Mungkin kerana ia daripada percikan keikhlasan hatinya yang selama ini terselindung di sebalik kesibukan hidup.



"Kay, kau bersinar dalam redup petang ini. Aura tenangmu menambat sukmaku. Aku suka kepadamu Kay," bisik Lan hampir denganku, suatu hari.



Aku dipesona pujian Lan selama hampir dua tahun. Aku tidak tahu apa tujuan sebenarnya. Kami sudah lama berkawan seperti biasa tetapi semenjak kebelakangan ini, Lan tidak putus menimbun sanjungan ke atas diriku.



Kekadang Lan sehari suntuk memandangku dengan senyuman panjang walaupun tiada kata yang dilontar. Nak dikatakan aku gelisah dengan semua ini - tidak juga. Tumpuan yang Lan berikan kepadaku amat dialu-alukan seperti seekor unta haus bertemu air di padang pasir.



"Aku senang sekali dengan keserianmu yang membalut suasanaku dengan aman. Aku benar kagum denganmu Kay - percayalah," pujukan Lan semakin menjadi-jadi terhadapku.



Hidung mana yang tidak kembang dan hati mana yang tidak cair mendengarkan kekata indah sebegitu setelah sekian lama.



Ingin saja aku menanyakan - Hei Lan, sebetulnya, apa yang kau mahu dariku memuji aku sebegitu - tetapi aku tidak tergamak mencucuk belon indah yang sedang menerbangku ke awangan.



Biarlah aku menikmati saat magis itu walaupun aku tahu ada kaveat di hujungnya. Lambat laun pasti ada yang tak kena kerana pujian tidak akan datang bergolek tanpa sebab musabab. Buat masa ini biarlah aku seperti Alice di dalam alam ajaibnya.



"Aku bercita-cita kita terus hidup sebegini damai - kau dan aku - buat selama-lamanya. Mahukah engkau Kay?" Lan terus menerus menduga batinku.



Aku tidak tahu nak kata apa. Tidak pernah aku melihat Lan bersungguh-sungguh menyatakan hasratnya kepadaku. Sebenarnya, aku tidak pernah melihat Lan sejelasnya dalam keadaan sebegitu.



"Katalah sesuatu Kay - jangan kau membisu," Lan mendesakku.



Aku bingung bahagia. Mungkin detik hidup baru akan bermula antara Lan dan aku. Atau mungkin ini semua suatu mimpi yang bakal berakhir sekejap lagi. Apa yang perlu aku ucapkan kepada Lan? Siapa yang angau kepada siapa? Bilakah aku akan dikejutkan dari igauan tengahari ini? Mana kaveatnya?



Hampir dua tahun pujian Lan menyelimutiku dan aku hampir tenggelam dalam keindahan kata-kata manisnya yang boleh membuat aku diabetik. Tetapi aku akhirnya menemukan kaveatnya di hujung lorong panjang ajaib yang menyihirkan.



Setelah dua tahun, Lan kembali sibuk dengan urusan dunia dan jarang sekali bertemuku. Aku dilayan seperti kawan biasanya seperti sediakala. Seakan waktu bermadah cinta denganku tidak pernah wujud sama sekali. Belon magisku akhirnya meletup pecah setelah dua tahun diterbangkan di awang-awangan.



Apakan tidak. Akulah Kay - Koswe yang bersahabat dengan Lan - langit.



Kami telah lama berkawan tetapi tidak pernah bertemu paras rupa melainkan di waktu Covid semasa sempadan ditutup. Tanpa kenderaan-kenderaan yang mengerumuni aku dan mengasak Lan dengan asap tebal, kami jatuh cinta semula dengan pandangan jelas pertama. Apabila sempadan dibuka semula, kami tidak lagi bersua muka dan janji Lan padaku terbengkalai sebegitu sahaja.




Takdir



TERLENTANG terkangkang. Buruk. Aku tergelincir di atas kulit pisang semasa aku ke pasar selepas subuh suatu pagi di hujung minggu. Mujur kepalaku tidak terhentak di lantai. Dua orang Ah Pek baik datang membantu memegang tangan kanan dan kiriku, menarik aku berdiri dari pembaringanku dan menanyakan keadaanku.



"Nyonya baikkah?" mereka bertanya.



"Boleh jalankah?" sambung mereka lagi.



Aku hanya mengetap bibir di balik pelitup muka, menahan sakit dan mengangguk terima kasih sebelum terhincut-hincut berlalu pergi. Nasib baiklah aku mengenakan pelitup muka. Kurang lah malu sedikit sebab jatuh terkangkang tadi. Lain kali dua orang Ah Pek yang baik hati itu dan orang keliling yang menyaksikan tidak dapat mengenali wanita yang jatuh terkangkang tadi.



Secepat termampu, aku membeli keperluan pasar dan pulang ke rumah. Sesampai di rumah, aku membersih diri dan mula menggosok kaki dan belakangku yang sakit dengan minyak-minyak yang ada. Aku bercerita dengan suami di rumah.



"Astaghfirullah, awak tak nampakkah kulit pisang yang kuning tu?" tanya sang suami.



"Siapa kata kulit pisang itu kuning - kulit pisang itu dah lama dan hitam," jawabku, sakit hati dengan kurang empati yang diberi.



Aku bercerita dengan anak-anakku. Mereka lebih bersimpati tetapi gagal menyembunyikan senyum kecil di hujung bibir apabila mendengar cara aku jatuh. Aku juga dapat bayangkan kartun Tom dan Jerry dengan cara aku jatuh tadi.



Malam itu, tumitku berdenyut-denyut mengingatkan gelincir pagi tadi tetapi aku masih boleh berjalan keesokan hari jadi aku tetap pergi bertugas.



Di tempat bertugas, ramai yang menanyakan apabila melihat aku berjalan semacam. Jenuh aku menceritakan dengan setiap manusia yang bertanya, tentang bagaimana aku jatuh terlentang terkangkang di pasar semalam.



"Kenapa tak pergi hospital?" soal seorang.



"Tiada yang ranap dan berdarah," jawabku selamba.



"Cubalah pergi X-ray, takut ada kecederaan dalam yang tak nampak," nasihat seorang lagi.



Aku hanya senyum mengangguk terima kasih atas keperihatinannya yang bukan kerana aku tahu si penanya adalah orang pertama yang tidak rela membantu membuat kerja orang lain yang mengambil MC di pejabat.



Bagi mereka yang lebih dekat denganku, mereka menyarankan aku menurunkan berat badan agar kakiku kurang sakit. Merah telingaku mendengarkan walaupun ada kebenaran kata-kata yang diberi. Ramai sangat para penasihat yang tak diingini di kelilingku.



Hari-hari berikutnya aku menelan bermacam-macam suplemen menguatkan kaki yang aku dengar diiklan di radio dan di akhbar.



Aku juga ke hospital berjumpa doktor dan memulakan rejimen latihan menguatkan kaki dengan ahli fisioterapi yang ada. Aku cuba mendisiplin diri mengikut nasihat yang diberi tetapi masa pemulihan amat lembab sekali kerana faktor ketuaanku yang sudah menjangkau lebih setengah abad.



Aku berjanji kepada diri agar tidak jatuh lagi di masa hadapan. Hanya Allah sahaja yang dapat menunaikan janjiku kerana kalau namaku telah tertulis di atas kulit pisang di dalam Lauhul MahfuzNya, siapakah aku untuk menidakkan takdirNya.




BIODATA PENULIS



TITI MURNI MONIR seorang guru.



Beliau menyertai pertandingan Mencari Kristal 2016 dan 2019.



Beberapa cerpen lainnya pernah diterbitkan di Berita Harian/Berita Minggu, seperti 'Sentuhan Almyra', 'Warkah Untuk Puteri' dan 'M




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >