SEBUAH hadis masyhur menyatakan dalam tubuh manusia ada segumpal daging dan kalau daging itu baik, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Tetapi jika ia rosak, rosak seluruh tubuhnya. Segumpal daging itu adalah kalbu (hati).
Hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim itu biasa dipetik asatizah ketika menekankan perlunya menjaga kesucian hati.
Hati di sini bukan merujuk kepada organ kemerah-merahan dalam tubuh yang antara lain berfungsi mengambil saripati makanan dalam darah dan menghasilkan empedu.
Ia merujuk kepada unsur dalam tubuh manusia yang menempatkan jiwa, perasaan, emosi manusia.
Masyarakat Melayu yang umumnya beragama Islam memahami dan menjiwai peranan hati dalam kehidupan.
Lantaran itu, penggunaan hati begitu tersemat dalam jiwa dan kamus kehidupan masyarakat Melayu-Islam.
Hati antara perkataan paling banyak digunakan bagi mengkiaskan gambaran perasaan dalam diri.
Maka itu, selain mata di kepala, terdapat istilah mata hati - iaitu 'penglihatan' dengan perasaan hati.
Dalam istilah pengamal sufi, mata hati, atau kasyaf - pandangan yang menyingkap rahsia alam ghaib.
Yang berkaitan dengannya ialah hati sanubari (perasaan batin) atau hati nurani, iaitu hati yang mendapat cahaya Tuhan atau perasaan hati yang murni, setelah mengusahakan hati tawajuh, iaitu hati yang benar-benar diarahkan kepada Tuhan;
Dalam istilah bahasa Melayu, terdapat banyak ungkapan yang menggandingkan hati dengan memberi kiasan makna tersendiri.
Antara yang paling biasa ialah ada hati, yang bermakna mempunyai keinginan atau hasrat; baik hati menunjukkan keperibadian atau sikap orang berbudi luhur; sakit hati menggambarkan kepedihan perasaan atau rasa kecewa; kecil hati menggambarkan perasaan tersinggung; makan hati ialah dukacita atau menderita; makan hati berulam jantung ialah menderita kerana perbuatan orang yang menyakitkan hati; besar hati menggambarkan rasa bangga dan gembira; jatuh hati bermakna terpikat, umumnya pada seseorang; buah hati adalah orang yang disayangi; jaga hati adalah menjaga atau mengambil kira perasaan seseorang; satu hati menunjukkan persetujuan atau perpaduan.
(Lihat senarai beberapa ungkapan berkaitan hati).
Di samping kiasan, terdapat beberapa peribahasa berteraskan hati.
Antara yang biasa didengar ialah beraja di mana, bersultan di hati bagi menggambarkan perbuatan yang ikut kemahuan sendiri, orang yang suka berbuat sesuka hati dan sewenang-wenang.
Ikut hati mati, ikut rasa binasa pula bermaksud perbuatan yang menuruti hawa nafsu akan membawa celaka atau bahaya.
Luka di luar nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu ialah perasaan terguris atau rasa tersinggung yang tidak terlihat.
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah bermakna untung atau rugi sama-sama dirasakan.
Hilang di mata di hati jangan pula suatu pesanan bahawa biarpun berpergian jauh atau berjauhan, jangan melupakan orang yang ditinggalkan.
Yang hampir dengannya - jauh di mata, dekat di hati - pula mengambarkan bertempat tinggal berjauhan tetapi jiwa (hati) selalu merasa dekat.
Lain di mulut, lain di hati menggambarkan tentang apa yang dikatakan tidak sama atau berbeza daripada isi hatinya.
Rambut sama hitam, hati masing-masing bermaksud setiap orang mempunyai pendapat atau kecenderungan tersendiri.
Makan hati berulam jantung menggambarkan keadaan seseorang yang dirundung kesedihan.
Membelah dada melihat hati adalah ungkapan untuk menyatakan kesungguhan, ungkapan pria dalam zaman yang berlalu dalam menyatakan kesungguhan cinta kepada kekasihnya.
Berkaitan dengannya ialah ungkapan mengukir dalam hati, iaitu mengingat baik-baik dalam hati.
Namun, ada juga pria yang tertambat hati terpaut sayang (sangat cinta) sehingga tidak lekang dari hati (bermakna selalu diingat) tetapi terkalang di mata, terasa di hati yang bermakna ada sesuatu yang akan dikemukakan, tetapi belum dapat disampaikan.
Pria sedemikian mungkin tergolong dalam rupa harimau, hati tikus yang bermakna kelihatan gagah berani, tetapi sebenarnya penakut, dalam hal ini, takut luahkan perasaan.
Antara peribahasa yang jarang didengar adalah seperti asal ada sama di hati, gajah terantai boleh dilepaskan, yang bermaksud kalau sudah ada persetujuan, apa pun halangannya dapat diatasi.
Beberapa yang lain termasuk 'bagai hempedu lekat di hati' yang menggambarkan persahabatan yang sangat karib dan tidak terpisah; dan 'hati bak serangkak dibungkus' bermakna orang yang sangat berharap akan mendapat sesuatu yang diingininya; dan 'padi segenggam dengan senang hati lebih baik daripada padi selumbung dengan bersusah hati' yang bermakna kesenangan hati lebih berharga daripada kekayaan.
Antara ungkapan menarik, sekali gus menggambarkan betapa pandangan hidup bangsa Melayu menjulang peri perlunya berfikir ialah ungkapan pikir itu pelita hati yang bermaksud menggunakan akal budi dan mempertimbangkan segala sesuatu dengan baik menjadikan seseorang lebih bijaksana.
Satu lagi ungkapan yang menjadi pesanan dengan bersahaja, sejajar dengan hadis di atas, ialah hati mau baik be!
"Hati di sini bukan merujuk kepada organ kemerah-merahan dalam tubuh yang antara lain berfungsi mengambil saripati makanan dalam darah dan menghasilkan empedu. Ia merujuk kepada unsur dalam tubuh manusia yang menempatkan jiwa, perasaan, emosi manusia." - Penulis.
Antara senarai kata berkaitan hati


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg