Hendak Masak Apa?
"HENDAK masak apa aku hari ini?" Kalimat ini sering diucapkan oleh Saniah sehingga tidak dapat dikira dengan jari tangan mahupun jari kaki.
Sebagai seorang akauntan, Saniah bekerja 'waktu burung' - keluar pada waktu pagi dan kembali pada waktu petang. Pulang sahaja ke 'rumah merpati'nya, Saniah meletakkan beg dan menyingsing lengan ke dapur - menyiapkan masakan untuk makan malam. Sasarannya, sebelum maghrib selesai. Itulah rutin Saniah setiap hari sejak bulan madu sudah hilang madunya - Isnin hingga Jumaat.

