Dengan 2024 telah pun melabuh tirai, pasti ada pengguna media sosial gigih memuat naik hantaran foto throwback untuk berkongsi detik-detik manis, pencapaian peribadi atau momen bermakna yang telah dilalui sepanjang tahun lepas.
Selain itu, perkongsian gambar sering kali menjadi cara untuk meluahkan rasa syukur dan menimbulkan kembali nostalgia, sambil mencetus interaksi bersama rakan-rakan dalam talian.
Perkataan throwback jika diterjemah secara literal (perkataan demi perkataan) ialah ‘campak belakang’; dan malangnya ramai terjerat untuk menggunakan istilah yang salah ini di media sosial.
Tidak pasti jika ini dilakukan dengan sengaja (untuk cipta kelucuan) atau sebaliknya, tetapi padanan throwback yang betul dalam bahasa Melayu ialah ‘imbau kembali’.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengeluarkan padanan throwback dalam bahasa Melayu sebagai ‘imbau kembali’.
Imbau kembali ialah mengenang sesuatu peristiwa yang telah berlaku pada masa lampau.
Bagaimana pun, jika kita cari makna perkataan ‘imbau’ di dalam Kamus DBP, ia tidak mempunyai sebarang takrifan ‘mengingat semula kenangan’ seperti apa yang kita faham.
Perkataan ‘imbau’, menurut Kamus DBP, bermaksud panggil, seru (nama) atau jemput (datang).
Sebab maksud ‘imbau’ di dalam Kamus DBP berlainan dengan apa yang kita faham tidak diketahui, tetapi satu perkara yang kita perlu tahu, kamus cenderung mentakrifkan sesuatu perkataan itu berdasarkan karya sastera lama.
Dalam karya klasik Melayu, perkataan ‘imbau’ ialah ‘memanggil dari jauh’, sama dengan makna yang ada di dalam Kamus DBP.
Namun dengan peredaran masa, maksud ‘imbau’ itu mungkin berkembang daripada ‘memanggil (seseorang)’ kepada ‘memanggil (membangkitkan semula) sesuatu dalam fikiran’.
Ini mungkin berlaku akibat pengaruh media yang biasa menggunakan perkataan ‘imbau’ untuk merujuk kepada memori silam, sehingga ia melekat dalam minda semua bahawa imbau itu mengingat semula sesuatu peristiwa.
Makna baru ini lebih diketahui ramai pada hari ini dan dianggap sebagai maksud yang utama dalam pertuturan mahupun penulisan.
Sementara itu, satu lagi istilah yang boleh menimbulkan kekeliruan untuk merujuk kenangan lalu, ialah ‘imbas kembali’.
Imbas kembali sebenarnya ialah kata nama dan ia adalah salah satu jenis teknik penceritaan.
Dalam imbas kembali, pengarang cerita ingin menunjukkan babak atau peristiwa yang berlaku terlebih awal daripada peristiwa yang telah terlaksana.
Padanan dalam bahasa Inggeris bagi ‘imbas kembali’ ialah flashback.
Sebaliknya, ‘mengimbas kembali’ (dengan pembubuhan ‘meng-’ di hadapan) adalah lebih tepat untuk bermaksud melihat kembali sesuatu peristiwa dalam fikiran.
Contoh ayat yang betul dengan penggunaan ‘mengimbas kembali’ seperti berikut:
Pameran foto ‘Dua Dekad Kenangan dan Harapan’ yang dilancarkan di Muzium Tsunami Aceh, Banda Aceh, mengimbas kembali detik bencana tsunami berlaku pada 2004, serta semangat solidariti yang ditunjukkan masyarakat setempat dan luar negara dalam membina semula kemusnahan kota itu.
Istilah ‘mengimbas kembali’ dan ‘mengimbau kembali’ (atau imbau kembali) seakan serupa tetapi ia mempunyai konotasi yang sedikit berbeza jika digunakan.
Mengimbas kembali merujuk kepada proses mengingati sesuatu sepintas lalu, biasanya melibatkan ingatan yang melintasi fikiran tanpa perincian mendalam manakala ‘mengimbau (imbau) kembali’ pula membawa pengertian yang lebih mendalam.
Apabila kita mengatakan bahawa kita ‘mengimbau (imbau) kembali kenangan silam’ misalnya, ia melibatkan usaha mengambil masa mengingati kenangan itu, membiarkan diri meresap ke setiap detik yang telah berlaku, seolah-olah menghidupkan semula pengalaman tersebut.
Jika ‘mengimbas kembali’ hanya menyentuh permukaan memori, ‘mengimbau (imbau) kembali’ menyelami emosi dan perasaan yang terkandung bersama memori tersebut.
Secara tuntas, padanan betul dalam bahasa Melayu bagi throwback, ialah ‘imbau kembali’.
Maksud ‘imbau’ yang digunakan pada konteks hari ini berlainan dengan yang ada di dalam kamus disebabkan evolusi bahasa yang mungkin tercetus daripada pengaruh budaya seperti media.
Istilah ‘mengimbas kembali’ pula, meski dipakai silih berganti dengan ‘mengimbau (imbau) kembali’, membangkitkan idea atau perasaan yang berbeza jika digunakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg