Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Juri sepakat pilih cerpen juara

Anggota penilai peraduan cerpen bagi Program Mencari Kristal, yang juga Editor (Gaya Hidup/Kesenian/Hiburan) Berita Harian, HANIM MOHD SALEH (hanim@sph.com.sg) , berkongsi faktor penilaian, kayu ukur dan sandaran panel penilai dalam memilih karya terbaik.
Dec 19, 2016 | 05:30 AM



DARIPADA 35 karya cerpen yang dipertandingkan dalam peringkat akhir peraduan Mencari Kristal, lapan telah disenarai pendek untuk disiarkan dalam akhbar ini bagi memberi peluang pembaca mengundi pemenang.



Membaca dan menghayati kesemua karya yang dipertandingkan menjadi detik yang mengasyikkan bagi para juri.



Kami teruja dan gembira kerana boleh dikatakan kesemua cerpen memenuhi tuntutan tema, iaitu debar cinta.



Cuma bagaimana setiap penulis menyulami rentak cerita dengan elemen thriller dan bagaimana penceritaannya meninggalkan kesan debaran, itu yang membezakan kedudukan penilaian bagi karya yang dipersembahkan.



Bahkan, sebagai pengelola ruangan Sastera yang bertanggungjawab memilih karya-karya cerpen dan sajak dalam akhbar Berita Harian dan Berita Minggu, saya berani menyatakan 60 peratus cerpen yang disertakan dalam pertandingan ini mencapai mutu yang sangat baik.



Bahkan, lebih baik daripada banyak karya yang saya terima setiap minggu untuk disiarkan dalam Berita Harian dan Berita Minggu.



Banyak yang menawarkan kesegaran dari segi isi dan gaya penyampaian, sementara seni sasteranya tersusun cantik, tajam bahasanya dan meninggalkan kesan mendalam.



Ini memberi harapan bahawa masa depan kesusasteraan Melayu di Singapura berpotensi mantap dan berwarni-warni dengan lahirnya ramai penulis kreatif generasi penerus di Kota Singa.



Berbalik kepada karya yang dipertandingkan, dari segi cerita, ramai peserta memilih kisah yang berkaitan dengan pembunuhan atau melibatkan kematian, tetapi setiap cerita berbeza gaya penyampaiannya.



Ada tragedi yang diolah dengan gaya penceritaan yang mengalir cermat, disentap dengan kesan cemas yang cukup terkawal tetapi pada masa yang sama, mampu mengukir ayat-ayat yang cukup indah, melukiskan gambaran emosi yang membina.



Dengan kekuatan ini, ada karya berjaya mencapai hasil yang cukup mantap, apatah lagi apabila ceritanya bersandarkan ilmu dan sejarah.



Ada juga tragedi yang menyayat hati, tetapi berakhir dengan penyelesaian antiklimaks.



Kami dapati ada juga penulis yang agak terpengaruh dengan penulisan antara cerpen dengan skrip drama televisyen... bercerita dari satu adegan ke satu adegan secara berlompat-lompat, menyebabkan penceritaannya tersekat-sekat.



Bak kata rakan juri, Encik Hamed Ismail, cerpen yang ditulis ala penulisan skrip filem memerlukan bantuan camera shot untuk merakamkan segala kejadian dan watak yang ramai.



Sebagai cerpen, penceritaan sedemikian agak terganggu kerana pembaca tidak ada mata kamera.



Terdapat sebilangan penulis yang jelas cenderung berdakwah, tetapi keinginan itu gagal disampaikan dengan strategi berkesan.



Kegopohan dalam menyampaikan dakwah telah mengorbankan pembinaan cerita dalam cerpen.



Kesan debaran yang dihajatkan tidak ada kerana tumpuannya adalah untuk menyampaikan utusan cerita atau misi dakwahnya.



Lain anggota juri, lain pandangan dan penilaiannya.



Namun, yang pasti pilihan tiga anggota juri di peringkat akhir tidak banyak berbeza antara satu dengan lain.



Contohnya, lapan cerpen senarai pilihan saya juga ada dalam sekurang-kurangnya lima cerpen terbaik pilihan anggota juri lain.



Begitu juga dengan pilihan tiga cerpen terbaik. Pilihan antara anggota juri tidak banyak berbeza.



Daripada 35 yang dinilaikan, lapan dipilih untuk disiarkan di akhbar untuk memberi peluang kepada pembaca agar mengundi cerpen pilihan mereka.



Pilihan pembaca merangkumi 10 peratus daripada penilaian keseluruhan juri.



Bagaimanakah kami memilih pemenang?



Memang mencabar, kerana setiap cerpen ada kekuatan dan keistimewaan tersendiri, tetapi anggota juri bersepakat mencari karya yang paling menyerlah cahaya kristalnya.



Penulisan yang kami harapkan, sesuai dengan konsep cerpen dan tema yang ditetapkan, mempunyai plot yang berjalan lancar dan ada kesan tragis.



Yang penting, ia meninggalkan rasa.



Cerpen pilihan kami juga mengandungi ayat-ayat yang cermat dan memancing pembaca dari awal penceritaan. Ada teknik penulisan yang direncana rapi.



Di akhir cerita, ada aspek yang mematuhi debaran sebagai penggerak cerita yang akhirnya menjadikan cerpen itu baik dan berjaya mencapai matlamatnya.



Kepada semua peserta Mencari Kristal, kami anggota juri ucapkan syabas kerana berjaya menghasilkan cerpen yang baik dalam tempoh yang tidak terlalu lama dan kerana tabah dan tekun mengutip ilmu menerusi bengkel-bengkel yang dianjurkan selama 6 minggu.



Kami anggota juri juga berharap agar pertandingan seperti ini dapat diteruskan dari masa ke masa, dan terus mendapat sokongan daripada pihak akhbar dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).



Tahniah kepada pemenang. Anda semua sebenarnya telah berjaya.



Berjaya menjadi sebahagian kristal yang memberi sinar harapan kepada masa depan dunia sastera Melayu Singapura, agar terus bersemarak dan bersemangat melahirkan karya-karya sastera yang mampu menjadi penggerak minda, pembakar semangat dan peniup inspirasi kepada masyarakat kita untuk menjadi insan yang lebih peka dan lebih prihatin terhadap manusia dan alam sekitarannya.



  • Selain Cik Hanim, lima anggota penilai lain bagi peraduan cerpen bagi Program Mencari Kristal ialah Cik Dewani Abbas, penyunting kanan, Berita Harian; Encik Hamed Ismail, sasterawan; Encik Juffri Supaat, pustakawan dan sasterawan; Encik Noor Effendy Ibrahim, karyawan teater; dan Encik Jamal Ismail, sasterawan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >