Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kaitan tradisi dan teknologi: Seni bercerita daripada lisan ke AI

Dalam konteks budaya Melayu, teknologi telah lama wujud dan berfungsi sebagai alat bantu tradisi
May 5, 2025 | 5:30 AM
Seni bercerita telah berubah bentuk dari masa ke masa seiring perkembangan dunia sekeliling.
Seni bercerita telah berubah bentuk dari masa ke masa seiring perkembangan dunia sekeliling. - Foto janaan CHATGPT

Istilah teknologi kerap dikaitkan dengan ciptaan moden dan digital.

Namun, jika ditelusuri akar sejarahnya, teknologi bukanlah perkara baru dalam kehidupan manusia.

Sejak awal peradaban, masyarakat telah mengembangkan pelbagai bentuk teknologi – daripada batu sehinggalah kepada sistem tulisan dan kaedah komunikasi – yang sebahagiannya menjadi sebati dalam tradisi budaya mereka.

Dalam konteks kesusasteraan Melayu, perubahan teknologi turut memberi kesan besar terhadap tradisi bercerita, khususnya terhadap susuk Sang Pencerita.

Esei ini mengupas bagaimana teknologi mengubah bentuk dan medium penyampaian cerita dari zaman lisan hingga ke era kecerdasan buatan (AI), dan bagaimana kesinambungan ini memberi makna terhadap jati diri bangsa.

Teknologi dan Tradisi: Suatu Simbiosis

Perbincangan mengenai teknologi sering kali berlegar dalam kerangka mekanikal dan digital, namun dalam konteks budaya Melayu, teknologi telah lama wujud dan berfungsi sebagai alat bantu tradisi.

Mohd Taib Osman (1988) menyatakan bahawa teknologi bukan sekadar alat fizikal, bahkan termasuk kearifan tempatan dan sistem nilai yang diwariskan secara turun-temurun.

Tradisi, dalam hal ini, tidak semata-mata warisan budaya statik, malah ruang interaktif yang terus berkembang dengan memanfaatkan penggunaan teknologi.

Beliau menggunakan istilah “teknologi tradisional” bagi industri seperti sulaman, batik, tembaga, anyaman dan seni tembikar.

Pemaknaan ‘teknologi’ diungkap oleh Mohamad Alinor Abdul Kadir (2017:64-65) sebagai prasarana yang dibangunkan oleh tukang-tukang tertentu bagi memudahkan kehidupan harian sesebuah masyarakat, umpamanya rumah, jalan raya, istana, kraf tangan, persenjataan, alat pertanian, perkapalan dan lain-lain.

Alat-alat bantu ini dicipta oleh manusia mengikut kepakaran dan bahan sedia ada di sekeliling mereka, contohnya penduduk Eskimo di kawasan Artik yang dikelilingi dengan salji membina iglu dengan menggunakan ketulan air batu yang besar atau salji yang keras.

Hal yang sama turut ditemui dengan penduduk Melayu di Nusantara memanfaatkan tembaga, perak, kayu-kayan dan bahan semula jadi dalam lingkungan kehidupan harian mereka untuk mencipta peralatan bagi memudahkan kehidupan harian.

Teknologi berubah mengikut tuntutan zaman.

Cara hidup pada satu-satu zaman mencipta budaya dan menjadi tradisi yang disampaikan kepada generasi seterusnya.

Lantaran itu, teknologi menjadi sebahagian daripada tradisi turun-temurun yang melahirkan simbiosis utuh dalam pembinaan sesebuah budaya.

Zaman Tradisi Lisan: Yang aneh dan magis

Tradisi lisan merupakan asas kepada kesusasteraan Melayu.

Tokoh seperti Awang Batil, Tok Selampit, Tok Dalang dan Pawang Ana memainkan peranan penting dalam menyampaikan cerita rakyat seperti hikayat, cerita jenaka, cerita binatang, mitos dan legenda secara langsung kepada khalayak.

Mustafa Mohd Isa (1987) meriwayatkan biografi Awang Belanga iaitu seorang pencerita lipur lara dari Perlis.

Dikisahkan beliau mahir menutur cerita dengan ritual tersendiri dan penyampaian beliau dilakukan secara hafalan.

Cerita-ceritanya dididik melalui pendengaran sebelum diasah dengan latihan dan pengalaman.

Penyampaian cerita disertai dengan ritual, gaya bahasa puitis, nyanyian dan aksi dramatik memukau – menjadikan pengalaman mendengar cerita sebagai upacara kolektif merangsang imaginasi.

Walaupun teknologi moden belum wujud secara empirikal ketika cerita lipur lara dicipta, unsur teknologi canggih telah dibayangkan dalam cerita tersebut.

Nisah Haron (2013) mendapati cerita rakyat Melayu purba mengandungi bayangan teknologi cereka sains yang kini menjadi kenyataan.

Antaranya termasuk:

1. Perubahan jisim dan atom

2. Kelajuan dan kepantasan objek dan manusia

3. Penerbangan dan melawan graviti

4. Pintu dimensi, portal dan teleportasi

5. Teknologi komunikasi dan maklumat

6. Alat kawalan minda

7. Penujuman dan ramalan masa hadapan

8. Teknologi organik dan sains hayat

9. Klon

10. Aplikasi tanpa wayar (wireless)

11. Penunjuk laser

12. Teropong

13. Ledakan sonik

14. Pencetak tiga dimensi

15. Muat turun maklumat

16. Konsep kalis bunyi

Teknologi perubahan jisim dan atom boleh ditemui dalam cerita Bongsu Pinang Peribut apabila seorang raja berkebolehan menyimpan negerinya dalam sekepal tanah.

Apabila diperlukan, kepalan tanah itu dilontarkan dan ia berubah menjadi sebuah negeri lengkap dengan istana, orang besar-besar dan rakyat jelata, sebagaimana dilafazkan oleh Dato Malim Hitam:

“Wahai anakandaku, apabila ayahanda sudah mati, tanamlah ayahanda di Bukit Siguntang. Dan inilah tanah tiga Kepal; di mana-mana anakanda hendak membuat negeri, asapkan dengan kemenyan putih ini. Carilah, anakanda, di mana yang elok. Tanah yang sama macam dibentang, Kayunya sama macam diatur.”

(Bongsu Pinang Peribut:1-2)

Watak-watak dalam Raja Donai Bahtera Kulit Kacang mampu mengubah bentuk fizikal mereka menjadi apa sahaja yang mereka citakan.

Raja Donai berubah daripada manusia menjadi sebilah pedang dan kemudian menjadi manusia normal kembali.

Perkara yang tampak magis ini merupakan teknologi canggih dalam penulisan cereka sains.

Hal yang sama turut ditemui dalam Sejarah Melayu tatkala Raja Suran memasuki sebuah kotak untuk tenggelam ke dasar lautan dan hidup di bawah air dalam kadar masa yang lama.

Kotak itu boleh memberi bayangan kapal selam yang mungkin wujud persamaan konsepnya pada zaman purba atau hanya khayalan, yang teknologinya kini benar-benar menjadi kenyataan.

Zaman Tulisan: Dokumentasi dan kelestarian tradisi

Kemunculan tulisan membawa anjakan besar dalam tradisi bercerita.

Penemuan Batu Bersurat di Terengganu menjadi penanda awal perkembangan teknologi penulisan dalam peradaban Melayu.

Dengan pengenalan kalam, dakwat dan kertas, cerita yang dahulunya disampaikan secara lisan mula direkodkan.

Manuskrip seperti Sulalatus Salatin yang ditulis Tun Seri Lanang menggambarkan keupayaan orang Melayu mendokumentasikan sejarah dan cerita kerajaan lama.

Usaha tokoh seperti Raja Haji Yahya yang membantu R.O Winstedt merakam dan menyusun cerita yang dituturkan Pawang Ana, termasuk Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, dan cerita jenaka seperti Pak Pandir dan Pak Kadok, telah memelihara warisan lisan daripada kepupusan.

Teknologi penulisan bukan sahaja berfungsi sebagai alat dokumentasi, bahkan sebagai jambatan antara generasi dalam mengekalkan kesinambungan tradisi bercerita.

Salasilah Raja-raja Melayu atau Sulalatus Salatin yang merupakan kisah berkaitan kerajaan Melayu silam di Singapura dan Melaka ditulis oleh Tun Seri Lanang.

Usaha mendokumentasikan cerita sejarah yang disampaikan secara lisan ke dalam bentuk tulisan membina genre sastera sejarah.

Walaupun kisahnya tidak patuh kepada tuntutan butiran buku sejarah tulen, iaitu pentarikhan yang kabur atau tidak ada langsung, kandungannya tetap penting dalam menyampaikan jalur sejarah purba bangsa Melayu.

Kisah sejarah ini juga terikat dengan unsur fantasi dan magis, contohnya Sang Nila Utama, yang mencampakkan mahkotanya ke dalam lautan dan serta-merta dapat meredakan gelombang ataupun kewujudan Puteri Gunung Ledang yang berkemungkinan besar bukanlah manusia tetapi makhluk halus.

Melalui pertuturan Pawang Ana, seorang penutur cerita lisan yang terkenal di Negeri Perak, Winstedt dengan bantuan penghulu dari Chenderiang, Raja Haji Yahya, berjaya merakamkan lima cerita lipur lara Melayu iaitu, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Anggun Che Tunggal.

Raja Haji Yahya membuat salinan terhadap kisah ini setebal 700 muka surat yang kemudian disusun mengikut keperluan Winstedt (Jelani Harun, 2018:56).

Raja Haji Yahya turut merakam lima cerita jenaka Melayu iaitu Pak Pandir, Pak Kadok, Si Luncai, Pak Belalang dan Lebai Malang.

Teknologi penulisan memastikan kesinambungan cerita-cerita ini.

Pada peringkat awal, usaha mendokumentasikan cerita dilakukan oleh bangsa penjajah seperti Wilkinson, Raffles, Winstedt dan lain-lain.

Namun, kesedaran bangsa yang berputik dengan pendidikan tinggi dalam kalangan pengkaji Melayu, usaha ini digembleng pula oleh anak-anak bangsa sendiri.

Mereka melihat kepentingan untuk mengumpul dan menjunjung cerita rakyat yang membentuk tradisi bercerita bangsa Melayu.

Zaman skrin: Visualisasi tradisi

Apabila cerita berpindah ke pentas bangsawan, teknologi pentas dan lakonan digunakan untuk menghidupkan semula cerita lama di hadapan penonton.

Dalam sejarah seni bangsawan pula, cerita lipur lara diserapkan ke dalam persembahan.

Apabila dunia perfileman Melayu mula mekar, sutradara dan pelakon pentas bangsawan yang banyak mewarnai dunia perfileman.

Mereka membawa cerita ini ke layar perak.

Peralihan cerita lipur lara kepada layar perak memperlihatkan satu lagi transformasi besar.

Cerita klasik seperti Dang Anom (1962), Selendang Delima (1958), Gul Bakawal (1963), Raja Bersiong (1963), Tun Fatimah (1962), Badang (1962), Jula Juli Bintang Tujuh (1962), Siti Zubaidah (1961), Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961), Bawang Putih Bawang Merah (1959) dan lain-lain difilem oleh syarikat Cathay Keris dengan adaptasi unsur muzik dan visual.

Cerita binatang seperti Sang Kancil pula dianimasi dalam bentuk kartun sekitar 1980-an.

Teknologi animasi dan kartun turut memainkan peranan dalam menarik minat generasi muda terhadap cerita tradisional.

Dengan gabungan audio dan visual, teknologi skrin membuka peluang baharu untuk penyampaian cerita yang lebih interaktif dan meluas.

Era Kecerdasan Buatan (AI): Kembali ke zaman lisan?

Kemunculan kecerdasan buatan (AI) membuka lembaran baru dalam tradisi bercerita.

AI mewakili satu bentuk ‘kecerdasan kolektif’ dalam mana maklumat daripada seluruh dunia diproses untuk menghasilkan naratif baharu.

Walaupun AI tidak memiliki kreativiti semula jadi seperti manusia, ia mampu menjana idea dengan berkesan seolah-olah mewakili ribuan buku dan berjuta laman sesawang.

Kini, AI boleh digunakan untuk mencipta semula wajah legenda Melayu, seperti Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang, atau mereka bentuk visual bandar Melaka lama berdasarkan maklumat sejarah.

Peranan Sang Pencerita telah berubah – daripada manusia yang berdiri di hadapan khalayak, kepada antara muka digital yang boleh menjana cerita mengikut permintaan.

Namun demikian, AI bukan pengganti kepada manusia, tetapi pelengkap.

Idea asal seharusnya datang daripada manusia, dan teknologi hanya berperanan sebagai medium penyampaian.

Dalam erti kata lain, kita seperti kembali ke zaman lisan yang berkongsi memori dan kepintaran kolektif, namun kali ini, dalam bentuk sejagat dan digital.

Tradisi dijunjung, teknologi dikelek

Pepatah ‘Tradisi Dijunjung, Teknologi Dikelek’ mengingatkan kita bahawa kemajuan tidak semestinya menafikan akar budaya.

Tradisi dan teknologi bukanlah entiti yang saling bertentangan, sebaliknya boleh wujud dalam simbiosis harmoni.

Kunci kepada kesinambungan budaya terletak pada kebolehan menyesuaikan diri, inovasi, serta penghormatan mendalam terhadap kebijaksanaan lampau tanpa menggadaikan harga diri.

Tugas kita adalah memastikan teknologi berfungsi sebagai jambatan – bukan penghalang – kepada pemeliharaan jati diri dan warisan bangsa.

Dr Noridah Kamari merupakan penulis dan penerbit prolifik. Makalah ini disampaikan di Seminar Belia ke-12 anjuran Persatuan Budaya Melayu dan Program Elektif Bahasa Melayu, Institusi Raffles.

“Tradisi dan teknologi bukanlah entiti yang saling bertentangan, sebaliknya boleh wujud dalam simbiosis harmoni. Kunci kepada kesinambungan budaya terletak pada kebolehan menyesuaikan diri, inovasi, serta penghormatan mendalam terhadap kebijaksanaan lampau tanpa menggadaikan harga diri. Tugas kita adalah memastikan teknologi berfungsi sebagai jambatan – bukan penghalang – kepada pemeliharaan jati diri dan warisan bangsa.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg