Topik diikuti
Pergi ke BHkuKartun sebagai suara keberanian; wadah kritikan sosial, politik dunia Melayu
Kartunis manfaatkan humor, simbol visual untuk kesedaran masyarakat mengenai kepincangan serta salah guna kuasa
Kartun sebagai suara keberanian; wadah kritikan sosial, politik dunia Melayu
Sejarah lukisan kartun sangat akrab dengan percetakan akhbar Melayu.
Kartun dalam akhbar Melayu dikatakan bermula semenjak awal abad ke-20.
Kartun yang termuat dalam akhbar pastilah bukan hiasan ataupun sekadar mengisi ruang.
Ia adalah lanjutan daripada sentimen dan berita yang disiarkan.
Warta Jenaka dalam terbitan pertamanya pada 7 September 1936, juga pertama kalinya memuatkan kartun dalam surat khabar mingguan ini.
Kartun lukisan Abd. Manan, Abdullah Abas dan S.B. Ally dalam akhbar ini mengangkat persoalan kemajuan serta kelemahan yang ada dalam masyarakat Melayu, terkait dengan dasar penjajahan dan saingan daripada kaum pendatang.
Semangat zaman itu, dapat terlihat daripada kartun yang disiarkan.
Dalam Utusan Melayu, Allahyarham Ali Sanat melukis kartun Wak Ketok yang berinspirasi daripada penyunting kanan akhbar tersebut, Encik Rahim Kajai, yang sering menulis tentang semangat kebangsaan Melayu.
Kajai terkenal dengan gaya penulisan yang pedas mengkritik kepimpinan yang beliau anggap sebagai ‘jati’ Melayu yang berlawan daripada yang bukan ‘jati’ Melayu.
Jenis kartun sebegini disebut editorial cartoon.
Pada dekad-dekad lalu, Berita Harian Singapura turut mempunyai ruangan kartunnya sendiri, dan kandungan isi komik yang dipaparkan selari dengan isu semasa.
Pernah juga terbit di Singapura, sebuah buku kartun berjudul Zeng oleh Zeng, yang diilhamkan oleh Mohd Shariff Bin Haji Zain, terbitan Trampil Enterprises pada 1992.
Bukan Melantun Jenaka Semata
Sekadar menepis kartun sebagai coretan hiburan adalah tidak tepat.
Sudjojono seorang pelukis dari Indonesia juga pernah menghasilkan sejumlah lukisan kartun di galerinya yang terletak di Pasar Minggu, Jakarta.
Menerusi kartun, beliau dapat membuat kritikan dan sindiran terhadap kehidupan rakyat yang beliau saksikan.
Hadi Oki Cahyadi, seorang peneliti tentang pengaruh kartun dalam masyarakat, menyimpulkan begini:
“Kartun ataupun kartun politik, di antaranya memang efektif untuk dipakai menyerang golongan atau lawan lain yang dianggap berseberangan sikap, pemikiran dan ideologinya. Sesuai sifatnya yang mengusik emosi, menggelitik syaraf gelak, dan menghantarkan ke pemikiran kritis, sebuah kartun dengan penggambaran tertentu boleh dipakai untuk melukai perasaan atau membunuh karakter lawan.”
Kartun adalah lukisan dan perlambangan visual yang dilukiskan untuk menyampaikan pesan, kritikan dan teguran.
Dalam pasaran, banyak kartun yang bersifat jenaka hiburan. Terkadang ia dipanggil gag cartoon.
Ini berbeza dengan kartun politik yang dibuat sebagai komentar, satira atau sindiran politik.
Lukisan visual, termasuk kartun, boleh menyentak pembaca dengan keadaan masa.
Apatah lagi dengan lukisan yang menggambarkan tokoh yang dilukiskan itu berdimensi tidak proporsional, seperti perutnya yang buncit, besar kepala, atau rambutnya yang mengembang aneh.
Kartun yang bersifat menghiburkan ini turut mengundang tawa apabila memaparkan pengalaman dan tabiat yang dekat dengan kehidupan pembaca itu sendiri.
Inilah tarikan kartun dan kartunis berbakat yang dapat mengolah lukisan tepat dengan sasaran idea yang ditujukan.
Thomas Nast, seorang kartunis pada abad ke-19 di Amerika, terkenal dengan lukisan kartun yang membawa mesej politik.
Lukisan kartunnya yang tersiar dalam akhbar boleh merubah persepsi awam.
Dengan melukis, Nast berjaya membayangkan kepimpinan yang suka menerima rasuah dan licik memegang kuasa secara terang-terangan sehingga lukisannya itu menjadi komentar dan kritikan politik yang tajam.
Bagi mereka yang tidak membaca sekalipun, melihat kartun-kartun yang dihasilkan sudah cukup untuk membuka mata.
Nast tidak menulis untuk melaporkan sesuatu; sebaliknya, beliau menyampaikan kritikannya menerusi lukisan yang sarat dengan sindiran dan jenaka.
Kartunnya mungkin mengundang tawa, tetapi sindirannya tajam dan tepat mengena sehingga terus terpahat dalam ingatan.
Kekuatan imej visual yang melekat dalam fikiran ramai inilah yang menjadikan karyanya begitu berpengaruh – malah berbahaya kepada pihak yang menjadi sasarannya.
Sewaktu Perang Saudara di Amerika Syarikat, Nast sempat melukis kartun yang tersiar dalam akhbar, sehingga Presiden Abraham Lincoln sendiri akur akan pengaruhnya.
Boss Tweed, orang yang berpengaruh di New York, dengan kelompoknya yang korup, menjadi sasaran Nast, sehingga geng jahat ini disebut ramai sebagai doomed by cartoon, iaitu kejatuhan populariti disebabkan oleh kartun yang dilukiskan Nast.
Peranan Kartunis
Kita sering melihat kartun dan siri komiknya sebagai bacaan hiburan, ringan dan santai.
Apa yang kita terlepas adalah komitmen yang diberikan oleh kartunis sewaktu melukis karya dengan tema dan simbol tertentu.
Seorang kartunis itu bukan sekadar seniman berbakat yang dianugerahi imaginasi untuk bercerita, bahkan perlu mempunyai kepedulian terhadap isu semasa serta ketajaman pemikiran khususnya dalam politik.
Tanpa bumbu politik, karya mereka pasti hambar, ataupun sekadar menjadi hiburan dan tatapan ringan.
Kartun membolehkan kita ketawa.
Bercanda, bergurau mungkin ubat yang meringankan rasa keluh dan resah yang berat.
Namun di sebalik itu, tersirat kritikan yang keras dan halus, yang pasti memberi tamparan dan sengatan.
Dalam sejarah seni visual Melayu, kartun bukan sahaja pernah menghiasi lembaran akhbar kita, tetapi juga pernah menjadi terbitan komik bersiri.
Majalah Gila-Gila sebagai contoh, yang mula diterbitkan pada 1978, diasas oleh pelukis Jaafar Taib.
Ia lebih bersifat bacaan menghiburkan dengan humor atau kelucuannya menarik minat pembaca di Malaysia dan Singapura.
Dalam masyarakat dahulu yang tidak banyak boleh membaca, atau tidak minat untuk membaca, kartun menjadi medium yang ringkas, mudah dicerna dan cepat difahami melalui kekuatan visualnya.
Inilah yang ditakuti oleh beberapa pemimpin di New York suatu ketika.
Mereka menyebut kartun Thomas Nast sebagai ancaman kerana banyak yang boleh terpengaruh oleh kartun-kartun yang dilukiskannya.
Apabila Berani Mengilhami
Pada hujung 2025, terbit sebuah buku oleh Zunar berjudul, Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar, sebuah biografi seni, setebal 225 halaman.
Sebelum ini Zunar telah menghasilkan buku, Fight Through Cartoons, yang diterbitkan pada 2019 dalam bahasa Inggeris.
Zunar, atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, ialah anak kelahiran Kedah yang berkecimpung dalam dunia lukisan kartun selama setengah abad.
Beliau melukis kartun sejak di bangku sekolah sehingga menjadi kartunis tersohor di peringkat antarabangsa.
Zunar ialah kartunis yang sangat prolifik, dengan lukisannya termuat dalam beberapa penerbitan akhbar dan majalah, termasuk dalam talian.
Beliau tangkas memberi respons kepada peristiwa politik yang berlaku di Malaysia, termasuk politik dunia.
Kesedaran politik beliaulah yang menjadi pemacu utama dalam penciptaan kartun-kartun.
Di saat yang lain bersuara menerusi parti, NGO (badan bukan pemerintah) dan lapangan sastera dan budaya, Zunar memilih lembaran kartun.
Malah Zunar pernah menyebut Thomas Nast, sebagai tokoh kartunis yang memberi inspirasi kepada beliau.
Nast yang terkenal sebagai Bapa Kartun Amerika, menjadi jaguh protes, melawan gerombolan yang ia anggap.
Inilah juga pendirian yang Zunar ambil:
“Saya mahu jadi seorang kartunis yang menggunakan kartun sebagai alat untuk protes. Saya mahu kartun saya jadi senjata untuk melawan ketidakadilan. Apa yang terpendam di dalam hati, akan saya tumpahkan sepenuhnya melalui dakwat yang dituangkan di atas kertas. Yang bergerak itu bukan pena, tetapi hati saya.”
Zunar boleh disebut sebagai seniman untuk masyarakat. Ini jelas terkandung dalam pendirian berikut:
“Harga sesebuah lukisan bukan diukur dari berapa ringgit ia terjual, sebaliknya daripada berapa banyak kesan yang ia beri kepada masyarakat.”
Kilang bukunya pernah diserbu pihak penguasa, karyanya dirampas, malah laman web dalam talian pun menjadi sasaran tindakan.
Di zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, kelantangan suara Zunar terhadap beberapa skandal dan salah guna kuasa, menjadikan beliau sasaran tindakan pihak berkuasa.
Zunar bukan sahaja kreatif dengan kartunnya, tetapi juga pandai bermain kata, sehingga kekata atau frasa tertentu dipersendakan menjadi frasa yang lucu dan menggeletek seperti Man of Steal dan ‘Sapu Man’.
Pihak Amnesty International pernah membantah penahanan yang dikenakan ke atas Zunar.
Umumnya, beliau dianggap pelukis subversif, selain mempunyai kaitan dengan kelompok politik pembangkang pada waktu itu.
Zunar menampilkan dirinya sebagai pendukung kem Reformasi.
Pengaruh Zunar dianggap sebagai mengganggu ketenteraman awam.
Beliau pernah dipenjarakan atas tuduhan menghasut.
Kuat Pendirian Tajam Lukisan
Zunar ialah seorang yang mempunyai pendirian kuat.
Pihak berkuasa sering mengambil tindakan ke atasnya kerana dianggap menyalahi perundangan yang sedia ada.
Tetapi beliau tidak gentar.
Katanya: “Anda boleh mengharamkan majalah saya, anda boleh mengharamkan kartun saya, tetapi anda tidak boleh mengharamkan fikiran saya.”
Di era reformasi di Malaysia, Zunar mendapat tentangan hebat daripada penyokong parti yang memerintah.
Buku kartun beliau diharamkan dan ditarik peredarannya.
Pameran lukisan yang dibuat di tempat awam, menjadi sasaran samseng upahan yang kononnya bertindak demi menjaga “ketenteraman awam”.
John A Lent, dalam bukunya Asian Political Cartoons (2023) menyifatkan Zunar sebagai seorang kartunis yang tidak kehabisan simbol dan metafora untuk melukiskan kartun yang bertema kritikan politik.
Kartun politik yang dihasilkan dengan niat mendidik dan mempertingkatkan literasi politik adalah aset kebudayaan yang wajar diiktiraf.
Zunar meraih banyak anugerah dari luar negara yang mengiktiraf sumbangan beliau menghasilkan karya yang membawa tema pembebasan, keadilan dan demokrasi.
Antaranya, beliau menerima penganugerahan semasa International Press Freedom Award 2015, di Amerika, dan merupakan kartunis Malaysia yang pertama mendapat anugerah tersebut.
Beliau sering diundang ke luar negara, termasuk ke beberapa universiti untuk membicarakan karyanya dan kepentingan hak bersuara.
Sisi humor banyak terdapat dalam karya beliau.
Apatah lagi Zunar pandai bermain dengan kata, yang bunyinya hampir sama dengan kekata asal.
Itulah antara keistimewaan yang ada pada Zunar.
Narasi bertulis daripada beliau tidaklah banyak, namun imej yang dilukis sarat dengan makna dan simbol.
“Saya tidak berharap orang ketawa apabila membaca kartun saya.
“Saya mahu mereka menangis dan ketawa serentak apabila membacanya.”
Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar ialah buku bersaiz coffee book table ini adalah kompilasi riwayat hidup dan kerjaya Zunar sebagai kartunis.
Banyak gambar-gambar disertakan selain lukisan-lukisan ikonik yang pernah beliau hasilkan sehingga beliau menjadi terkenal, baik bagi awam ataupun pihak berkuasa.
Paling menarik, bagi mereka yang ingin menelusuri pemikiran Zunar, termuat dalam buku ini dalam bab ‘Falsafah Kartun Zunar’, yang dihuraikan oleh beliau sendiri.
Zunar melihat kerjayanya sebagai kartunis profesional satu tanggungjawab budaya dan intelektual.
Pada awal penglibatannya dalam dunia kartun, beliau melukis hanya kerana minat dan sekadar suka-suka.
Setelah dewasa, beliau mulai sedar akan perlunya kartun untuk beliau menyampaikan cita dan pendirian politik dalam bentuk seni yang beliau mulakan.
Tegas beliau: “Saya melukis dengan hati dan melakar dengan akal.”
Zunar sedar bahawa bakat yang dianugerahkan Tuhan adalah amanah yang wajar disalurkan untuk kepentingan rakyat.
Melukis untuk Menangkis
Dunia kartun adalah wadah kebudayaan yang mempunyai unsur pendidikan, hiburan dan kewarasan untuk awam.
Dengan kartun, kita berpandangan serius akan keadaan sekeliling kita.
Lukisan Zunar yang disiarkan bukanlah semata-mata untuk mendapat pengiktirafan.
Malah kekadang beliau tidak mendapat apa-apa asalkan karya beliau dapat diakses kepada masyarakat yang lebih besar.
Dalam melukiskan kritik berbentuk sindiran atau parodi, pastinya ia satu risiko yang harus diambil.
Tekanan dan gertak daripada pelbagai pihak menjadi lumrah.
Di luar, ramai menganggap Zunar seorang yang berani.
Beliau jujur mengatakan bahasa seperti orang lain juga, beliau punya sifat takut, tetapi ketakutan itu harus beliau gagahi kerana baginya, “tanggungjawab adalah lebih besar daripada rasa takut”.
Namun ketidakadilan dan kerosakan yang berlangsung dalam masyarakat menuntut beliau untuk melawan ketakutan bersuara.
Beliau melihat ia sebagai tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan atau ditangguhkan.
Melukis kartun bagi Zunar adalah perjuangan yang berterusan.
Beliau dalam buku ini berkesimpulan bahawa bakat bukanlah suatu anugerah melainkan suatu pertanggungjawaban.
Apapun, beliau yakin bahawa usaha beliau itu “bukanlah untuk kepentingan diri, tetapi untuk kebaikan negara tercinta”.
Zunar pernah diseret ke mahkamah atas dakwaan melanggar Akta Hasutan, ditahan polis, malah dipenjara seketika.
Beliau juga turut berdepan dengan sekatan perjalanan, serta pihak penerbit yang takut mengaitkan diri dengannya.
Prinsip Kesenian untuk Kemanusiaan
Dunia kesenian, pada seniman yang sanggup berdiri atas prinsip untuk bersuara demi keadilan dan kebenaran, adalah dunia yang harus diperhitungkan risiko dan pengorbanan.
Manusia memerlukan seni dan seniman sebagai obor yang menerangkan makna kemanusiaan.
Zunar, seperti seniman yang lain, punya tanggungjawab ke atas masyarakatnya.
Kesimpulan tuntas oleh Mochtar Lubis tentang tugas kemanusiaan seniman, harus diperturunkan di sini:
“Seni memanusiakan hubungan antara manusia dengan manusia; dan manusia dengan berbagai organisasi dan lembaga masyarakat dan kekuasaan. Seni harus mempunyai daya untuk membudayakan dan memanusiakan wajah kekuasaan, hingga kekuasaan tidak berwajah seekor harimau yang lapar dan ganas.”
A Samad Ismail, dalam makalahnya, Menggembleng Ketrampilan Kartunis untuk Wawasan 2020, melihat pentingnya para kartunis “mempunyai kedudukan yang penting dalam pembangunan bangsa dan negara, peranan dan sumbangannya amat besar sebagai pendidik masyarakat, pembentuk fikiran dan pendapat umum dan sebagai dan sebagai katalis pembaharuan nilai bangsa yang ingin maju”.
Bagi A. Samad Ismail, golongan kartunis tidak harus dipandang kecil kerana daripada kalangan mereka juga boleh lahir tokoh besar, sebagaimana dunia sastera melahirkan penulis tersohor seperti Usman Awang dan Shahnon Ahmad.
Kini Malaysia boleh berbangga mempunyai kartunis seperti Lat, Zunar, Nan, Fahmi Reza yang berperanan sebagai pengkritik sosial yang tajam.
Bakat menulis kartun yang substantif isinya, memerlukan literasi budaya dan politik yang ampuh.
Apa yang lebih menarik, kartun telah menjadi suatu bentuk komunikasi politik.
Kartun seperti sastera, adalah kekuatan pena yang boleh disalurkan untuk membangun kecelikan pada kehidupan dan tantangan hari ini.
Dunia seni kartun dapat menyumbang kepada cakerawala budaya kita yang mengimaginasikan sebuah masyarakat yang menjunjung demokrasi, empati, dan keadilan serta menolak kezaliman, rasuah, autoritarianisme dan hipokrit.
Dunia lukisan kartun adalah sebahagian daripada seni visual yang mana potensinya besar, baik berfungsi sebagai wadah hiburan, pendidikan dan kesedaran awam.
Ia wajar disambut dan bukan ditakuti.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura.