TARIAN tradisional Melayu, lebih sekadar bentuk kesenian yang indah dipandang mata, menerusi gerak tarinya mempunyai cerita yang menggambarkan adab dan kehidupan masyarakat itu sendiri.
Ia bukan setakat berkaitan kelembutan sikap orang Melayu, bahkan menjadi ekspresi peradaban yang diperjuangkan masyarakat.
Ini termasuk nilai adab seperti menghormati orang, cakap beralas, sikap bergotong-royong, bekerja keras di ladang dan lautan serta perkasa di medan perang dan banyak lagi.
Justeru, untuk mengenali makna di sebalik gerak tari, adalah penting untuk memahami bahasa dan istilah gerak tari yang telah lama menjadi penghubung para penggiat seni negara-negara rumpun Melayu.
Menurut sejarawan Malaysia Mubin Shepard, tarian Melayu terbahagi kepada enam bahagian termasuk tarian istana, tarian rakyat, tarian asli dan sebagainya.
Tetapi untuk tujuan membincangkan bahasa dalam tarian, penulis memilih tiga bentuk tarian yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
BAHASA TARIAN ZAPIN
Berdasarkan sejarah, tarian Zapin merupakan hasil daripada gabungan budaya Melayu dan Arab, bermula apabila pedagang Timur Tengah datang ke rantau ini dan mula bersimulasi dengan masyarakat wilayah Riau.
Adat Melayu dan Arab kemudian saling mengisi dan berpengaruh pada bidang seni, seperti tari, sastera, muzik dan sebagainya.
Menurut jurnal berjudul Estetika tari zapin sebagai sumber penciptaan karya kaki-kaki (oleh Indah Yuni Pangestu, Ediwar, Martio), konsep estetika gerak Zapin sebagai refleksi masyarakat Melayu lebih banyak didasarkan pada nama-nama gerak bernuansa Islam, antara lain gerak alif sembah, alif sembah, bunga alif pusing, dan bunga alif pusing.
Aditari Singapura, Osman Abdul Hamid, pula menjelaskan kata-kata alif didasarkan pada huruf pertama abjad Arab yang bentuknya tegak lurus, maka komposisi dari gerak alif adalah merupakan gerakan penari yang membuat garis lurus. Ia dibuat pada pembukaan tarian.
Antara bahasa asas tarian zapin lain yang turut menyerlah adab Melayu ialah Titi Batang, Anak Ayam Patah, Siku Keluang, Sut Patin, Pusing Tengah.
BAHASA TARIAN PIRING
Tarian asal Sumatera yang menggunakan piring sebagai instrumen utama ini menuntut fokus, keseimbangan badan dan kelenturan olah tubuh penarinya. Osman, yang juga Pengarah Kreatif Era Dance Theatre berkata, tarian piring yang dipercayai bermula sejak 800 tahun lalu, asalnya dilakukan sebagai ritual ucapan rasa syukur yang dilakukan oleh masyarakat setempat atas hasil pertanian yang baik.
Antara bahasa tarian piring:
BAHASA TARIAN INANG
Inang memberi pengertian sebagai pengasuh, yang memberi gambaran bagaimana lembut dan sopan santun peribadi seseorang wanita pengasuh.
Penari lelaki dalam tarian ini merupakan pasangan untuk menggambarkan keserasian dalam kehidupan keluarga atau masyarakat.
Lenggok Tari Inang yang biasa ditarikan menggunakan lagu Inang Selendang, Ayam Didik, Tari Payung, Tari Sapu Tangan, Tari Lilin dan lain-lain bergantung kepada peralatan yang diragakan di dalam tarian tersebut.
Ayam Didik, misalnya digerakkan berdasarkan lagu bertajuk serupa, berdasarkan gerakan perlawanan melaga ayam iaitu satu permainan tradisional orang-orang Melayu dahulu.
Inang juga menggunakan gerak Sapu tangan, sekali gus menggunakan sapu tangan sebagai prop tarian, yang menggambarkan pengasuh pasti membawa kain tersebut ke mana-mana, kerana sentiasa bersedia memikul tugas pengasuh, atau bersedia bergotong-royong jika apabila diperlukan.
Banyak lagi bahasa gerak tarian yang wajar dikaji demi memahami peradaban masyarakat Melayu, yang terkait dengan sejarah dan agama.
Tarian Melayu dipersembahkan bukan setakat untuk halwa telinga atau penyejuk jiwa, tetapi mengingatkan kita tentang nilai-nilai hidup yang ditanamkan sejak zaman berzaman yang semestinya, harus terus dipraktikkan.
"Banyak lagi bahasa gerak tarian yang wajar dikaji demi memahami peradapan masyarakat Melayu, yang terkait dengan sejarah dan agama. Tarian Melayu dipersembahkan bukan setakat untuk halwa telinga atau penyejuk jiwa, tetapi mengingatkan kita tentang nilai-nilai hidup yang ditanamkan sejak zaman berzaman yang semestinya, harus terus dipraktikan." - Penulis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg