Pengunjung ke acara Fiesta Bahasa 2025 pada 26 Julai berpeluang mengunjungi reruai pembelajaran interaktif bagi mengikuti pelbagai bentuk pembelajaran bahasa Melayu yang menarik dan menyeronokkan.
Sebanyak 11 reruai yang diusahakan sekolah, maktab rendah serta Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) boleh diterokai.
Salah satu daripadanya ialah reruai Kembara IJNARK! oleh Sekolah Menengah Kranji.
Di reruai itu, pengunjung berpeluang menemui beberapa watak berbeza bagi mengatasi cabaran tertentu dalam satu pengembaraan ajaib.
Sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60), satu rekod baru dalam Buku Rekod Singapura akan cuba dicipta di acara Fiesta Bahasa 2025.
Rekod yang ingin dicipta itu bakal melibatkan orang ramai menari sambil menyanyikan lagu, Orang Singapura, karya Zubir Said.
Nyanyian lagu tersebut akan dipimpin oleh penyanyi tempatan, Reyza Hamizan, Suryana Norddin, Ainul Yaqin dan Syah Riszuan.
Antara acara yang menjadi tumpuan ialah Peraduan Menulis Cerpen, Orang Singapura 2025, yang julung-julung kali diadakan.
Peraduan itu menerima lebih 550 penyertaan daripada pelajar sekolah rendah hingga prauniversiti.
Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Nee Soon, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dr Syed Harun Alhabsyi, akan hadir selaku tetamu terhormat pada acara ini.
Beliau akan menyampaikan ucapan dan memberi hadiah kepada pemenang.
Satu lagi acara yang menjadi tumpuan pada Fiesta Bahasa 2025 ialah Pertandingan Cipta Kata, yang diadakan buat kali pertama.
Pertandingan itu terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, serta orang awam berusia 18 tahun dan ke atas bagi kategori terbuka.
Fiesta Bahasa 2025 anjuran MLLPC kali ini, yang membawa tema, ‘Mencetus Pemikiran, Meneraju Perubahan’, akan diadakan di Anjung, Wisma Geylang Serai (WGS), pada 26 Julai, dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg