Lukisan bermasyarakat, seniman bermartabat
Pencipta seni Melayu punya nilai tanggungjawab hasil karya untuk naikkan darjat masyarakat
Lukisan yang bermasyarakat, ertinya karya lukisan yang ditandai dengan pegangan ‘seni untuk masyarakat.’
Ia adalah karya yang mempunyai fungsi dan berperanan dalam masyarakatnya.
Seorang pelukis itu adalah perakam rasa, peristiwa, pengalaman dan angan-angan.
Juga ada pelukis yang memperlihat suatu pencarian yang mahu atau sedang ia tempuh.
Dalam berkarya ada juga yang bereksperimen dengan sumber inspirasi dari lombong budaya.
Sebagaimana yang pernah diperhatikan oleh Zakaria Ali, seorang pelukis dan sarjana seni yang disegani dari Malaysia:
“Budaya Melayu memberi ruang kepada pelukis untuk memilih pelbagai media atau bahantara dalam menghasilkan karya seni visual yang abstrak dan figuratif.”
Tambah beliau:
“Pelukis mengolah berbagai-bagai tema untuk menyuarakan cita rasa masing-masing dengan harapan estetika yang menjiwai karya mereka itu dapat dinikmati bersama oleh pemerhati, melalui tafsiran yang intrinsik dan yang ekstrinsik.”
Inilah antara yang dibincangkan oleh Zakaria dalam buku dwibahasa Melayu-Inggeris, berjudul Itukah Maksudmu? Esei Seni dan Sastera (2025).
Di Singapura, kita ada A Ghani Hamid yang tekun membuat pemerhatian tentang seni lukis dengan perbincangan menjelaskan inti dan rasa dari sejumlah karya-karya pelukis Melayu di Singapura.
Sayangnya, sekarang usaha sebegini semakin langka, khasnya yang tampil berbicara tentang seni visual kepada khalayak yang lebih besar.
Sewajarnya kita diperingatkan oleh Zakaria bahawa “karya seni dengan sendirinya, apabila dipamerkan, tidak membawa makna apa-apa, neutral, kecuali bila diolah, dikupas dan diulas”.
Di sinilah letaknya keperluan memberi ruang wacana untuk memperkatakan karya-karya seni lukis sambil mempamerkannya kepada awam.
Seniman Aset Kebudayaan
Pengaruh intelektual, politik dan sosial pasti memberi kesan kepada seniman sehingga karya mereka menjadi respons kepada apa yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat.
Kesedaran sebegini yang ada pada para seniman dikatakan suatu fenomena yang baru.
Di masa lampau peranan sosial pada seni dan seniman tidak jelas mahupun wujud.
Syed Ahmad Jamal, tokoh Seniman Negara dari Malaysia, melihat perubahan dan peranan besar yang ada pada seniman Melayu.
Baginya seniman Melayu telah berjaya memanfaatkan hasil inpirasi daripada tradisi leluhur mereka, kemudian menghasilkan seni yang seimbang, tidak berlebih dan sangat pula terkait dengan keadaan dan keperluan masa kini.
Kata Syed Ahmad:
“Seniman Melayu tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap aspek semangat bahan dan cara membuat yang mengandungi jampi dan sebagainya.
“Mereka lebih mementingkan pengetahuan, bahan, kemahiran ketukangan dan selera estetika, selain memenuhi tujuan yang tertentu.
“Alat-alat ini bukan sahaja wujud mengikut tradisi, tetapi mengikut kehendak seni.
“Sesetengah seniman ini dianggap seniman yang ulung dan menerima ganjaran yang lumayan.”
Di era negara bangsa, dunia kesenian Melayu kian meningkat dan berkembang pada satu tahap yang lebih baik dari zaman-zaman sebelumnya.
Namun yang menjadi persoalan sekarang adalah sejauh mana dunia seni kita membangun secara substantif, segandingan dengan pembangunan pesat masyarakat dalam hal politik, ekonomi dan sosial.
Umumnya, kemudahan kepada para seniman tersedia dalam perancangan kebudayaan yang tersedia di Malaysia mahupun Singapura.
Galeri seni dibangunkan, sekolah seni berkembang, pengiktirafan seni semakin melebar dan ini semua adalah antara contoh.
Ini belum lagi sambutan daripada pihak swasta yang memberi tajaan dan membeli karya seni.
Dalam hal ini, pemerhatian Syed Ahmad mungkin wajar diterima, walaupun merujuk pada konteks Malaysia:
“Seniman Melayu mendapat dukungan yang tidak putus-putus daripada masyarakat, dari zaman silam hingga kini.
“Keadaan ini membantu seni rupa Melayu dan ia terus hidup dengan teguh, sungguhpun kurang subur pada amnya.
“Keadaan ini bergantung juga kepada hasil daya cipta seniman.
“Usaha yang menyatukan tradisi dan rekaan baru menghidupkan seni rupa Melayu.”
Di saat seniman terus berkarya menghasilkan ciptaan masing-masing dengan keperibadian tersendiri, di pihak masyarakat umum pasti ada kecenderungan menuntut bahawa para seniman “menghasilkan karya yang tidak terkeluar daripada cara yang lazim dilakukan”.
Merencana Wacana Seni
Usaha memasyarakatkan seni telah berlangsung dari semasa ke semasa.
Program yang khas tersusun untuk menarik peminat dan pelajar untuk ambil tahu tentang karya lukis serta sang pelukisnya.
Percubaan ini pernah dilakukan dalam program CitaBichara anjuran Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan The Arts House di Old Parliament.
Forum pendidikan ini telah menampilkan beberapa karya lukisan (selain arca, sketsa dan tembikar) daripada seniman kita seperti Tumardi, Suradi Sipan, Rafaat Hamzah, Mariam Ali, Suriani Suratman, Ahmad Bakar, Adi Yadoni dan Ridhuan.
Begitu juga beberapa pameran dan forum yang diadakan di Maya Gallery and Kamal Studio, dengan harapan terbit minat, penghargaan dan perbincangan tentang karya-karya dari seniman tanah air kita.
Usaha-usaha kecil ini wajar diteruskan kerana pendekatan seperti ini akan membuatkan masyarakat kita lebih terdedah kepada dunia seni tampak dan mengenali para seniman kita dengan lebih akrab.
Dalam wacana seni, bukan sahaja isi dan bentuk seni yang harus diperhatikan.
Penting sekali ditekankan peranan seni untuk turut membangun masyarakat, teristimewa kualiti manusia yang dicitakan.
Renungan tajam oleh Asrul Sani, seorang budayawan dari Indonesia sebaiknya dikutip:
“Di sinilah letak tugas pendidikan kesenian dan inilah antara lain yang harus diusahakan untuk memanusiakan masyarakat kita…bahawa manusia untuk dapat berkembang sempurna memerlukan tiga rujukan, ilmu pengetahuan, agama dan seni.
“Makin lama makin terasa, bahawa masalah pembangunan tanah air kita bukan hanya masalah wang, alat dan keamanan – tapi terutama kualiti manusia.”
Maka daripada itu, tegas beliau, jangan sekali kesenian dianaktirikan.
Ia harus dirangkul untuk membangun kualiti manusia, yang sangat diperlukan untuk kemajuan bangsa dan negara.
Mendukung Seniman, Membangun Masyarakat
Seni, seperti sastera memerlukan wacana dan kritikan.
Namun asas apresiasi terlebih dahulu mesti dibangunkan, diikuti pula dengan wacana dan kritikan seni yang lebih teliti dan mencerahkan.
Masyarakat perlu pendedahan dan pendidikan seni budaya yang berterusan sehingga terbangun budaya celik seni yang ampuh.
Masyarakat yang peka kepada pembangunan dan kemajuan anggotanya, wajar juga prihatin kepada soal kebudayaan.
Ertinya mengangkat wacana seni adalah antara usaha yang wajar kita ambil, agar kerja seni seniman itu dapat dimanfaatkan dan dimartabatkan.
Ini kerana ranah seni budaya dapat membekalkan nilai dan pemikiran yang halus, berakar dan punya selera tinggi kepada kualiti estetik dan ketukangannya.
Ranah ini juga boleh menjadi wadah untuk penguatan jati diri, celik sejarah, mengenal hati budi dan pemikiran yang ada dalam kalangan seniman kita sendiri.
Umumnya daripada sebuah karya seni yang terhasil dapat kita bayangkan aliran pemikiran yang berlegar dalam kalangan seniman kita.
Lantas, apabila kita cuba mendekati dan mendalami karya seni, kita juga berpeluang untuk memahami warna-warni idea dan kecenderungan yang ada dalam masyarakat, selain menyaksikan sejauh mana seni yang dijiwai oleh sang seniman punya tenaga dan pengaruh kepada kita, atau orang di sekelilingnya.
Pelukis Kita, Kebanggaan Sama
Di tanah air kita, barisan pelukis Melayu kita pastinya menjadi kebanggaan masyarakat Melayu setempat.
Selepas berpisah dari Malaysia, bidang seni lukis kita tumbuh dengan baik, sejalan dengan perkembangan seni lukis yang berlangsung di peringkat nasional.
Dengan tertubuhnya sekolah seni setempat, anak-anak muda kita berkesempatan belajar seni dan kemudian berkecimpung dalam arena seni tampak secara profesional ataupun sambilan.
Dalam masyarakat kita, sering terlafaz bahawa kerja berseni dan berbudaya harus tertuju kepada kepentingan dan keperluan masyarakat.
Namun ini bukanlah sesuatu yang mutlak, malah mesti dipertekankan dari semasa ke semasa.
Di era neoliberal, di mana kuasa pasar banyak mempengaruhi pemikiran dan produksi, fokus dan pendirian seniman dalam berkarya juga boleh beralih.
Maka wacana seni dan masyarakat wajar menjadi obor yang mengukuhkan paradigma bahawa seni yang bermartabat akan lahir daripada seniman yang terlibat dalam masyarakat.
Sebenarnya penegasan dan peringatan ini sering berkumandang dalam wacana kesenian di rantau ini.
Seni harus mempunyai tujuan yang jelas dan ia mesti ditujukan serta dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat umum.
Di Indonesia, ini pernah dilafazkan oleh Semsar Siahaan, seorang pelukis yang sering mengangkat persoalan masyarakat dalam karya-karyanya.
Beliau tidak senang dengan seni yang tidak membumi, lari daripada kenyataan yang dihadapi masyarakat dan seni yang hanya melayani kelompok yang berada dan terjaga.
Semsar pernah menyeru kepada rakan seniman, serta guru dan pengurus seni. Dilantunkan baitnya dengan nada sinis:
“Yang Terhormat Tuan-Tuan Serba-Penting
Sudah waktunya kegiatan
seni rupa dengan Akademisinya
turun ke bawah dan berada di dalam
dominasi masyarakat Indonesia
(Petani dan Nelayan)
Ia harus berinteraksi dengan masyarakat
dalam kesederhanaannya tanpa bermimpi sendiri.
Kenyataan menuntut perhatian
lebih banyak dari para akademisi Seni
atas nama kesejahteraan seluruh rakyat Indonesia
sebagaimana seharusnya.”
Kesedaran di pihak seniman sebegini adalah juga penentu sejauh mana seni dapat bermartabat dalam masyarakat.
Beragam Pelukis, Pengalaman Dibingkis
Kini kehadiran seni tampak meningkat sedikit, dengan para pelukis kita dapat menembus pasaran dalaman dan antarabangsa.
Menariknya, ramai daripada pelukis kita membina identiti pelukisan yang tersendiri sehingga kerencaman ini menjadi tanda baik kepada perkembangan seni lukis dalam masyarakat Melayu.
Beberapa contoh daripada pelukis kita, dapat kita telusuri kekhasan masing-masing.
Sunar yang melukis kenangan masa zaman anak muda dengan ayahnya sebagai teladan iktibar dan pancuran inspirasi.
Idris Ali menggunakan cat air yang halus sampai imejannya hidup dan bagus.
Rafaat, menulis tempelan warna yang menyeragamkan barisan kata-kata kerana dunia puisi memang tempat ia bermanja.
Lukisan Mariam melukis merakam perjalanan dan pemerhatian cermat tentang pengalaman kehidupan yang ditempuhnya.
Cikgu Mohidir melukis untuk merakam tempat, mengingatkan kita agar menghargai pengalaman semana sempat.
Sarkasi Said melukis anggerik dengan warna dikilatkan batik.
Karyanya dijulang senegara kerana anggun dan cantik.
A Ghani Hamid, melukis dengan keindahan alam disambuti pula dengan puisinya yang hening dan nostalgik. Malah lukisannnya dihubungkan asal dari puisinya seraya beliau berkata:
“Saya memindahkan perasaan yang sama dari puisi saya kepada lukisan saya.”
Adi melukis dengan abstrak dan kontemporari tetapi rakamannya memperingat bahawa karya lukisan itu adalah pantulan dari keseharian yang kita temui, dan wajar ini dibuat pada catan ingatan.
Tumadi, berbatik di kain dan kanvas sampai terjelma identiti kejawaan namun diserikan dengan lambang-lambang kehidupan seharian.
Motif wayang kulit yang sering terjelma dalam karyanya disebut sebagai salah satu akar yang mesti dimakna kepada kehidupan ini:
“Wayang kulit…melambangkan manusia atau orang-orang sekelilingnya yang berbagai watak dan memiliki kesaktian…saya menjadi pelukisnya untuk menjadi Pak Dalang, yang mengarah segala cerita denngan diiringan gamalen – itulah sebahagian ulam ketika melukis”.
Semestinya semua pelukis memadukan perlambangan dan pengalaman yang dipilih dan mengaitkan dengan tema yang terpilih.
Sekiranya tema-tema itu pula selari dengan keprihatinan masyarakat, maka karya itu pasti mendapat sambutan, mentelah lagi daya gambaran sang pelukis yang sangat tinggi mutunya.
Seniman Berperanan
Lukisan yang cantik dapat memberikan kepuasan kepada pemandangan, sampai ia boleh menghembus inspirasi kita pada tingkat imaginasi yang tinggi, atau setidaknya kita tersentuh hening dan bahagia.
Para seniman, khasnya yang berkaliber menghasilkan karya-karya yang ikonik, seringkali menjadi banggaan kepada negara dan masyarakatnya.
Di Malaysia dan Singapura contohnya, kita mengkalungkan seniman ternama dengan anugerah tertinggi, diberikan gelar, elaun, dana dan kemudahan untuk terus berkarya.
Namun itu bukanlah jumlah yang besar kumpulannya.
Ramai lagi seniman, khasnya pelukis, harus berjuang berkarya secara profesional dan berusaha menafkahi keluarga masing-masing.
Karya lukisan boleh dilaksanakan sebagai hamparan seni yang boleh memberi didikan estetik, perlambangan sejarah dan budaya, gelora dunia yang mana sang seniman merespons, serta teknik catan yang berbagai, dan kemahiran tersendiri yang ada pada ketukangan sang pelukis.
Para seniman seperti juga para sasterawan, budayawan, ilmuan dan agamawan masing-masing teramanah dengan tugas untuk membudayakan masyarakatnya.
Masyarakat yang memiliki seni budaya adalah masyarakat yang beradab, cinta kepada keindahan dan keadilan, menghormati penciptaan dan ketukangan, serta akur kepada hak bersuara dan berkarya.
Howard Zinn, seorang sejarawan Amerika Syarikat, pernah menyebut bahawa antara tugas para seniman adalah untuk “melangkaui keluar daripada batasan yang telah ditetapkan pada sesuatu pemikiran dan berani pula untuk berkata perihal yang tiada lain berani melafazkannya”.
Tambah beliau:
“Peranan seniman adalah melangkaui hikmah konvensional, melangkaui kekata daripada penguasa, melangkaui ortodoks, yakni menjangkau keluar apa yang diperturunkan oleh pemerintah atau apa yang diperkatakan dalam media.”
Seniman adalah antara tiang seri rumah kebudayaan kita.
Rumah seni inilah yang mengadabkan kita sehingga mahir membelek dan menilai karya yang dihasilkan, bijak membanding luar dan dalam, serta mengenali suara kemanusiaan yang terdapat dalam karya seni.
Ranah bahasa sudah mendaulat dalam sejarah.
Sastera sudah tersergam sehingga masyarakat dapat memanfaatkannya.
Kini, harus dipastikan bahawa kesenian kita berakar dan bermartabat.
Dunia lukisan harus mendapat tempat.
Dengan mengambil kata hikmah dari A Samad Said, sasterawan besar yang juga jaguh melukis, pernah menyebut: “...warna adalah lukisan batin; kata-kata adalah lukisan zahir.”
Dalam buku lukisan dan himpunan puisi hikmah yang beliau hasilkan yakni, Bisik Warna (2009) ia mengingatkan kita dengan kata, ‘Berkhayal membenih, berfikir menjernih’.
Itulah harapan kepada kesenian kita, khasnya seni lukisan.
Usaha berterusan harus dibuat demi mengangkat martabat seniman agar bakti seni mereka dapat menitipkan cakerawala budaya yang manusiawi kepada kita semua.
Semoga ini tercapai, sehingga seniman kita melukis berseni, berilham membumi.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.
“
Seniman adalah antara tiang seri rumah kebudayaan kita. Rumah seni inilah yang mengadabkan kita sehingga mahir membelek dan menilai karya yang dihasilkan, bijak membanding luar dan dalam, serta mengenali suara kemanusiaan yang terdapat dalam karya seni... Kini, harus dipastikan bahawa kesenian kita berakar dan bermartabat.
