Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mabuk dalam istilah bahasa

Oct 1, 2023 | 5:30 AM
MEMBAHAYAKAN: Memandu dalam keadaan mabuk membahayakan, hingga boleh membawa maut. Maka itu, usaha seperti operasi sekatan jalan raya dijalankan oleh Polis Trafik bagi membanteras isu memandu dalam keadaan ‘mabuk’.
MEMBAHAYAKAN: Memandu dalam keadaan mabuk membahayakan, hingga boleh membawa maut. Maka itu, usaha seperti operasi sekatan jalan raya dijalankan oleh Polis Trafik bagi membanteras isu memandu dalam keadaan ‘mabuk’. - Foto fail

Satu operasi sekatan jalan raya dijalankan oleh Polis Trafik baru-baru ini dalam rangka membanteras isu memandu dalam keadaan mabuk.

Perangkaan menunjukkan bilangan kemalangan melibatkan pemandu mabuk meningkat 21.4 peratus kepada 85 pada separuh pertama 2023, berbanding 70 kes pada separuh pertama 2022. Bilangan korban dalam kemalangan itu juga naik tiga kepada enam.

Satu daripada makna mabuk ialah pening kepala, atau hilang daya kawal ingatan atau tahap kesedaran terjejas kerana sebab seperti sakit, minum minuman keras atau sebab lain. Operasi yang disebut di atas adalah mabuk berkaitan minuman keras.

Namun, mabuk boleh disebabkan faktor lain.

Dan ada juga mabuk yang bukan bermakna pening kepala atau gangguan pada daya kawal ingatan.

Ada juga mabuk yang disebabkan tubuh tidak serasi dengan persekitaran, seperti berada di tempat tinggi seperti mabuk gunung – berasa pening ekoran udara yang agak tipis, mentelah orang berkenaan mempunyai isu kesihatan.

Pada bulan lalu misalnya, seorang pendaki Singapura dikatakan mengalami keadaan itu – mabuk gunung atau mabuk ketinggian yang disebut penyakit altitud akut – sehingga membawa maut semasa mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

Satu lagi mabuk yang berkaitan dengan persekitaran ialah mabuk laut atau mabuk ombak laut – kepala naik pening, dan ada yang hingga muntah ketika dalam pelayaran kerana keadaan bot, perahu, feri atau kapal yang terumbang ambil dipukul ombak.

Begitu juga ketika naik pesawat. Ada orang mengalami mabuk udara semasa dalam pesawat penerbangan.

Mabuk juga boleh bermakna terlalu suka atau gemar pada sesuatu sehingga mengasyikkan.

Mabuk asmara misalnya menggambar keadaan mental seseorang yang terjejas kerana cinta, atau kemaruk cinta – perasaan keterlaluan menjejas kelakuan atau perwatakan, ada unsur hilang akal atau gila.

Berkaitan dengannya ialah mabuk kepayang – fikiran menjadi terganggu, sehingga menjadi kurang siuman, hilang akal bahkan seakan gila kerana cinta, atau kerana cinta yang tidak berbalas.

BEBERAPA ISTILAH

Apabila dibubuh imbuhan, memabukkan bermakna menjadikan atau menyebabkan mabuk: minuman yang memabukkan dilarang dalam agama.

Kemabukan ialah gambaran seseorang yang sedang mabuk atau dalam keadaan mabuk. Orang yang kemabukan tidak peduli apa yang berlaku pada dirinya atau apa yang ada di hadapannya.

Pemabukan ialah proses menjadi mabuk sementara pemabuk orang yang selalu mabuk.

Dalam khazanah bahasa, terdapat beberapa istilah yang dipadankan dengan mabuk.

Mabuk darah misalnya ialah gambaran orang yang mengalami sakit kepala atau pening kerana melihat darah.

Mabuk darah juga digunakan dalam konteks seseorang tidak sedar diri atau pengsan kerana kehilangan banyak darah.

Mabuk darah juga boleh menggambarkan orang yang mengamuk melihat darah atau gambaran orang yang suka menumpahkan darah orang.

Ada juga istilah yang dinamakan mabuk hamil – wanita yang mengandung pada peringkat awal yang berasa loya dan pening.

Mabuk bayang-bayang, atau disebut juga sebagai gila bayang, adalah gambaran seseorang menghadapi atau mengalami keadaan cinta yang tidak berbalas.

Mabuk nasib ialah gambaran keadaan diri yang berasa sangat sedih kerana memikirkan nasib­nya.

Mabuk tuak atau mabuk todi adalah keadaan diri menjadi mabuk kerana minum tuak atau todi.

Terdapat juga beberapa istilah yang jarang didengar.

Mabuk tahi telinga misalnya menggambarkan diri kebingungan kerana mendengar pelbagai percakapan.

Mabuk agak-agak misalnya bermakna suka duduk berangan­-angan sahaja dan tidak membuat sebarang kerja;

Mabuk angan-angan atau dimabuk angan-angan ialah keadaan hati yang gelisah atau perasaan tidak tentu arah kerana terlalu memikirkan sesuatu, atau mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin tercapai.

Mabuk andan ialah keadaan orang yang tergila-gila mahu kahwin;

Mabuk bunga raya menggambarkan keadaan muka orang mabuk yang kelihatan merah.

Dan mabuk bunga selasih yang menggambarkan keadaan seseorang yang terlalu mabuk hingga tidak dapat berdiri dengan betul.

Ada juga yang disebut mabuk kecubung, iaitu mengalami pening kepala kerana memakan biji kecubung.

ASPEK AGAMA

Dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menyebut tentang mabuk, antaranya larangan atau pengharaman minuman yang memabukkan (khamar) dan larangan solat dalam keadaan mabuk sehingga tidak tahu apa yang dibaca.

Dalam surah Al-Maidah, ayat 90 menyatakan: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan anak panah, adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu berjaya.”

Mengenai larangan solat dalam keadaan mabuk, ayat 43 dalam surah Al-Nisa menyatakan: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu hampiri (kerjakan) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti akan apa yang kamu ucapkan...”

Ini kerana ibadah harus dilaksanakan dengan penuh kesedaran. Ketulusan tidak akan dapat diperolehi oleh mereka yang hilang akal atau mabuk.

Rasulullah saw, dalam hadis diriwayatkan Ibnu ‘umar ra, menyatakan “Setiap yang memabukkan adalah khamar, dan setiap khamar haram hukumnya”.

Dalam satu lagi hadis mengenai khamar, Rasulullah saw bersabda: “khamar adalah induk daripada kekejian dan dosa yang paling besar; barang siapa meminumnya, dia boleh berzina dengan ibunya, saudara ibunya, dan saudara ayahnya” (hadis riwayat Ibnu ‘Abbas ra).

PERIBAHASA

Terdapat beberapa peribahasa mengenai mabuk. Antaranya:

Sayang buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang menggambarkan keadaan serba salah – sesuatu yang amat disayangi tetapi merosakkan.

Mabuk kerana beruk berayun menggambarkan keadaan seseorang yang gilakan wanita cantik yang tidak mungkin didapat; atau asyik melihat sesuatu yang tidak berguna dan menghabiskan masa.

Mabuk di enggang lalu bermakna sangat tertarik kepada orang yang belum dikenal.

Bagai ayam mabuk tahi ialah gambaran muka pucat lesi dan tidak berdaya sebab sakit dan kurang darah.

Bagai anak dara mabuk andam menggambarkan keadaan lemah dan lesu tanpa penyakit. Andam di sini bermaksud anak rambut di dahi.

Bagai anak mabuk sudah berlaki menggambarkan perempuan yang tiada sikap malu, malas dan pengotor.

Tahu gadung itu mabuk, mengapa diratah-ratah bermakna sengaja mencari perselisihan, kemudian menyesal.

Putik mendahului bunga, buahnya mabuk dimakan ialah gambaran wanita yang hamil sebelum nikah.

PANTUN

Terdapat beberapa pantun klasik yang menggunakan mabuk sebagai pembayang atau maksud. Antaranya:

Sayang-sayang buah kepayang,
Dimakan mabuk dibuang sayang;
Tuan laksana kayu gerenang,
Di sini tempat bergurau sayang.

Tidak dapat dikenang-kenang,
Kalau dikenang mabuk kepayang;
Jangan disangka airnya tenang,
Tempat di situ buaya berenang.

Tidak boleh dibenang-benang,
Anak Lingga mabuk pinang;
Tidak boleh dikenang-kenang,
Air mata jatuh berlinang.

Bukit Besi pandang ke bendang,
Pati santan diminum mabuk;
Kalau rindu jangan dipandang,
Nama saya jangan disebut.

Anak pelanduk tiga sekawan,
Singgah makan buah simpur;
Gila mabuk denganmu tuan,
Siang tak makan malam tak tidur.

Tahan punai kena merbuk,
Merbuk bersarang di kayu jati;
Dah tahu benda tu mabuk,
Sahaja nak cari mati.

KESIMPULAN

Dalam menjenguk pelbagai makna mabuk, ada aspek yang wajar diberi perhatian. Satu ialah mabuk bahasa. Perkataan seertinya ialah gila. Maka mabuk bahasa atau gila bahasa – iaitu sikap terlalu suka, serupa yang digunakan dalam gila muzik, gila sukan, gila pancing – masih ada membawa manfaat.

Perkara yang harus merisaukan ialah bahasa mabuk – bahasa yang memeningkan kerana terlalu bercampur-baur dengan bahasa lain, bahasa dengan istilah, kependekan perkataan dan ejaan dalam media sosial – yang lari daripada tatabahasa. Jika berterusan dan menjadi keterlaluan, bahasa mabuk boleh merosakkan kemurnian bahasa.

Dalam menjenguk pelbagai makna mabuk, ada aspek yang wajar diberi perhatian. Satu ialah mabuk bahasa. Perkataan seertinya ialah gila. Maka mabuk bahasa atau gila bahasa – iaitu sikap terlalu suka, serupa yang digunakan dalam gila muzik, gila sukan, gila pancing – masih ada membawa manfaat. Perkara yang harus merisaukan ialah bahasa mabuk – bahasa yang memeningkan kerana terlalu bercampur-baur dengan bahasa lain, bahasa dengan istilah, kependekan perkataan dan ejaan dalam media sosial – yang lari daripada tatabahasa. Jika berterusan dan menjadi keterlaluan, bahasa mabuk boleh merosakkan kemurnian bahasa.  
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg