Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maksud ‘korban’ dalam Hari Raya Korban luas, perlu diperhalusi

Jun 12, 2024 | 3:37 PM
Tanggal 10 Zulhijah juga menandakan satu lagi perayaan bagi umat Islam, bertepatan dengan menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan haji di tanah suci. 
Tanggal 10 Zulhijah juga menandakan satu lagi perayaan bagi umat Islam, bertepatan dengan menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan haji di tanah suci.  - Foto REUTERS

Esok, 17 Jun bersamaan 10 Zulhijah 1445 Masihi, umat Islam di Singapura akan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Sesetengahnya merujuk hari perayaan terbesar umat Islam ini sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.

Di Indonesia pula istilah yang digunakan untuk merujuk perayaan ini ialah Lebaran Besar atau Lebaran Haji.

Perkataan ‘lebaran’ bermaksud hari yang dimuliakan dan dirayakan oleh umat Islam.

Istilah Aidiladha

Aidiladha ialah istilah yang dipinjam daripada bahasa Arab iaitu Eid Ul’ Adha, yang merupakan gabungan dua perkataan iaitu Eid (perayaan) dan Adha yang bermaksud pengorbanan.

Ini diambil daripada kisah Nabi Ibrahim as yang berkorban demi ketaatannya terhadap Allah swt dengan kesediaan menyembelih anaknya Nabi Ismail as.

Oleh yang demikian, Aidiladha bermaksud juga dengan hari raya penyembelihan haiwan ternakan seperti kambing, lembu, kerbau dan unta.

Istilah Hari Raya Haji

Selain dikenali sebagai perayaan memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim as, tanggal 10 Zulhijah juga menandakan satu lagi perayaan bagi umat Islam, bertepatan dengan menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan haji di tanah suci.

Jemaah haji pada hari itu akan menuju ke Mina selepas bermalam di Muzdalifah, untuk melakukan lontaran di tiga dinding dipanggil jamarat, salah satu kewajipan yang dilakukan dalam ibadah haji.

Perbuatan ini juga berkaitan dengan kisah Nabi Ibrahim as, dengan setiap tiang itu sebagai simbol syaitan yang cuba menghasut Nabi Ibrahim as supaya tidak melakukan penyembelihan ke atas anak kesayangannya itu.

Dengan pelaksanaan ibadah haji itu, Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dalam masyarakat kita.

Istilah Hari Raya Korban

Satu lagi istilah yang lazim digunakan untuk merujuk kepada Hari Raya Aildiladha ialah Hari Raya Korban, disebabkan ibadat penyembelihan dijalankan pada hari tersebut selepas solat raya.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘korban’ bermaksud pemberian atau kesanggupan seseorang melakukan atau menanggung sesuatu, sebagai tanda kebaktian dan kasih.

Seperti dalam rangkap lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Berkorban Apa Saja, seseorang itu sanggup melepaskan atau mengorbankan sesuatu yang bernilai tinggi (seperti harta atau nyawa) demi mendapatkan sesuatu yang lebih berharga dan berkekalan. Itulah kasih sayang yang sebenar, menurut lagu itu.

Perkataan ‘korban’ berasal daripada perkataan qariba dalam bahasa Arab, yang bermaksud mendekatkan diri kepada Allah swt.

Justeru dari sisi agama pula, seseorang Muslim itu sanggup mengorbankan mungkin dari segi masa, dengan mendekatkan diri dengan Allah swt (sebab ini yang lebih berharga dan berkekalan) melalui amalan yang dicintai-Nya seperti berzikir, solat, membaca Al-Quran dan lain-lain.

Seseorang Muslim juga berkorban harta sehingga sanggup menghabiskan berpuluh ribu dolar untuk menunaikan haji di tanah suci agar dapat mendekatkan diri kepada Allah swt.

Di Singapura, pakej haji pada 2024 berharga sekitar $11,595.

Bagi umat Islam yang belum mendapat panggilan haji, mereka juga boleh menunjukkan pengorbanan harta dengan mengeluarkan sejumlah wang untuk melakukan ibadat penyembelihan, yang juga antara cara mendekatkan diri kepada Allah swt.

Apabila daging itu diagihkan kepada yang memerlukan, ini dapat meningkatkan lagi amal jariah pada bulan Zulhijah.

Namun jika kita lihat kepada kekata ‘korban’ dalam istilah Hari Raya Korban, apakah yang dapat kita fahamkan?

Jika ia merujuk kepada ibadat penyembelihan sahaja – rata-rata inilah yang masyarakat kita fahami kalau berkaitan dengan Aidiladha – ia adalah kurang tepat.

Ini kerana ibadat penyembelihan adalah sebahagian daripada banyak lagi amalan para Muslim boleh lakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

Penggunaan kata ‘korban’ sangat luas dan tidak hanya khusus kepada ibadat penyembelihan sahaja.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Faisal Ashaari, istilah Hari Raya Korban perlu dikembangkan lagi menjadi korban sembelihan.

Hari Raya Korban Sembelihan adalah lebih tepat untuk menjelaskan makna ‘korban’ pada Hari Raya Aidiladha, iaitu merujuk kepada ibadat penyembelihan.

“Ia perlu diperhalusi supaya kita menggunakannya dengan cara betul. Akhirnya, ia dapat membawa amalan dan tindakan yang tepat,” jelas Dr Faisal.

“Jika ia merujuk kepada ibadat penyembelihan sahaja – rata-rata inilah yang masyarakat kita fahami kalau berkaitan dengan Aidiladha – ia adalah kurang tepat.  Ini kerana ibadat penyembelihan adalah sebahagian daripada banyak lagi amalan para Muslim boleh lakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.  Penggunaan kata ‘korban’ sangat luas dan tidak hanya khusus kepada ibadat penyembelihan sahaja.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg