Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Masa berputar, zaman berubah, bawa pelbagai arus berbeza

Jan 02, 2022 | 05:30 AM



KITA sudahpun melangkah ke tahun baru 2022 dengan mengepilkan harapan bahawa serba-serbi keadaan akan menjadi lebih baik, dengan kehidupan pulih seperti sediakala selepas hampir dua tahun dibelenggu Covid-19.



Peralihan tahun adalah sebahagian daripada peredaran masa yang tidak pernah berhenti.



Masa sentiasa berdetik dan diukur mengikut saat, minit, jam, hari, minggu bulan, tahun, dekad (yang juga disebut darsawarsa) dan abad (juga disebut kurun).



Peredaran masa umumnya diukur ikut putaran jam dan perubahan hari tersusun dalam kalendar.



Namun, pernah ada zaman yang menyifatkan waktu dengan ungkapan tertentu.



Di Indonesia, ungkapan delapan tapak bayang-bayang menggambarkan waktu sekitar 8 pagi.



Sepenggalah matahari naik ialah alamat atau tanda waktu sekitar 8 pagi atau 9 pagi.



Ungkapan terpijak bayang-bayang menjelaskan waktu tengah hari iaitu pada 12 tengah hari.



Dan kerbau turun berendam menggambarkan waktu petang sekitar 5 petang.



Hatta, orang sekarang ada juga menyebut waktu sempena keadaan tertentu, seperti menyandarkan pada nama solat lima waktu - subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak - seperti bangun sebelum subuh, bertemu selepas zuhur, balik selepas asar, kenduri selepas maghrib dan tidur tidak lama selepas isyak.



Perkataan yang seerti dengan masa ialah waktu, ada kala menggambarkan suatu jangka masa.



Ia juga berkaitan dengan zaman.



Maka itu, ada istilah zaman global dan arus globalisasi, ada zaman moden dan arus modernisasi dan kemodenan tanpa sempadan, dan ada istilah kontemporari atau masa kini.



UNGKAPAN BAHASA DAN PERIBAHASA



Ambil masa dan makan masa memberi gambaran suatu jangka masa diperlukan untuk melakukan sesuatu.



Ada masa pula antara lain bermainan mempunyai masa atau berkesempatan. Lawannya tiada masa.



Curi masa menggambarkan perbuatan menggunakan masa yang ada, seperti masa bekerja, untuk melakukan hal atau perkara lain.



Masa lampau ialah waktu yang sudah berlalu atau waktu dahulukala; masa kini ialah waktu sekarang dan masa depan adalah suatu waktu akan datang.



Masa lapang bermakna masa yang terluang.



Terdapat beberapa ungkapan yang menggunakan perkataan masa atau menggambarkan keadaan masa.



Bersikap masa bodoh bermakna tidak mempeduli apa-apa.



Minyak dengan air masakan boleh bercampur bermakna orang yang bermusuhan atau yang tidak sehaluan mustahil dapat dicampurkan jadi satu.



Mengegong atau memukul gong memberi gambaran sikap membanggakan kekayaan atau kemuliaan masa lampau.



Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit menggambarkan sikap sabar dalam mengerjakan sesuatu yang akhirnya akan membuahkan hasil.



Melentur buluh biarlah dari rebungnya adalah ungkapan nasihat supaya mendidik anak dari sejak mereka kecil.



Lain dahulu lain sekarang menggambarkan keadaan yang telah berubah dengan peredaran masa, yang mengubah sikap, kedudukan atau keadaan seseorang.



Selama hujan akan panas jua adalah ungkapan yang menggambarkan bahawa setelah habis kesusahan, akhirnya akan datang waktu yang baik.



Sambil menyelam minum air menggambarkan perbuatan melakukan dua pekerjaan, atau beberapa pekerjaan, dalam satu waktu.



Kawan gelak banyak, kawan menangis jarang bersua menggambarkan keadaan kawan pada waktu senang banyak atau mudah didapat, tetapi kawan pada waktu susah sukar didapat atau kurang.



HARGAI MASA



Umur kita adalah masa.



Dan kita biasa dengar ungkapan bahawa masa itu emas - amat bernilai, dan tidak harus disia-siakan atau dibazirkan.



Masa yang hilang tidak akan ditemui lagi, kata ahli fikir Benjamin Franklin.



Pepatah Arab menyatakan hal serupa iaitu "Tidak akan pernah kembali waktu yang telah lalu".



Bangsa Melayu amat rapat dengan Islam. Maka itu, banyak nilai Islam menjadi pegangan dalam pandangan hidup orang Melayu.



Nabi menyatakan bahawa umur umatnya rata-rata antara 60 tahun dengan 70 tahun - tidak panjang dan lantaran itu umur mesti dimanfaatkan sebaik-baiknya. Ini kerana umur adalah masa.



Dalam anjuran menghargai masa, terdapat nasihat agama supaya penganutnya berusaha melakukan terbaik sepanjang masa.



Nasihat itu menyatakan hari ini mesti lebih baik daripada semalam dan esok mesti lebih baik daripada hari ini.



Barangsiapa hari ini lebih baik daripada semalam, dia termasuk orang yang beruntung; Barangsiapa hari ini sama dengan semalam, dia termasuk orang yang rugi; dan barangsiapa hari ini lebih buruk daripada semalam, dia termasuk orang yang celaka.



Malah, soal masa begitu dipandang berat dalam Islam hinggakan ada satu surah singkat mengenai masa, iaitu Al-Asr.



Surah itu menyatakan: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran." (Al-Asr 103: 1-3).



Dalam sebuah hadis, Rasulullah menganjurkan supaya rebut lima perkara sebelum datang lima perkara: masa sihat sebelum sakit; masa kaya sebelum sempit (miskin); masa lapang sebelum masa sibuk; masa mudamu sebelum masa tua; hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)



Di samping itu, terdapat beberapa pepatah dan ungkapan mengenai masa. Antara lain, ia menyatakan "masa itu ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita."



Ia antara lain memberi gambaran jika kita tidak berusaha mencapai impian mengikut masa yang ditetapkan, impian itu tidak akan menjadi kenyataan.



Satu ungkapan berkaitan menyatakan "Man jadda wajada. (Barang siapa bersungguh-sungguh, maka dia akan berjaya".



Hakikatnya, ada ungkapan yang mengingatkan kamu menunggu waktu, tetapi waktu tidak menunggumu.



MASA DAN SINGAPURA



Masa yang terus berputar, zaman berubah dan mendatangkan bersama pelbagai arus perubahan. Kita melihat perkembangan sains dan teknologi yang membawa modernisasi, globalisasi, kemodenan tanpa sempadan.



Peralihan masa yang membawa arus perubahan itu mesti direbut.



Singapura melakukannya sehingga berjaya mengubah kedudukan daripada negara dunia ketiga kepada negara dunia pertama dalam masa yang agak singkat - 50 tahun.



Masyarakat Melayu juga berubah.



Pernah ada siri drama - Dedaun Masa (karya Mohd Raman Daud dan lagu oleh M. Nasir) - yang mengisahkan tentang keluarga Melayu yang baru berpindah dari kampung ke flat dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekitaran yang baru dan menghadapi pelbagai masalah berkaitan dengan kewangan, pekerjaan dan pelbagai perubahan hidup.



Kini, kita telah melangkah jauh, semakin maju, dan jangka hayat juga semakin meningkat.



Ia menimbulkan keprihatinan tentang mutu kehidupan, kesihatan dan sara hidup.



KESIMPULAN



Antara mata pelajaran di sekolah ialah sejarah. Ia bukan sekadar melihat apa yang pernah berlaku malah menjadikannya pengajaran untuk masa depan - yang buruk dijadikan sempadan, yang baik dijadikan pelajaran.



Kita memang perlu sesekali menoleh kebelakang, untuk melangkah ke depan.



Ungkapan berbaur nasihat menyatakan - belajar dari masa lalu untuk hidup pada hari ini, dan membina harapan untuk hari esok.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >