Padang bola itu sudah lama lengang. Selalunya, kalau dah nak masuk senja, ramai yang dah pulang. Wak, Alep, Borhan dan Rudi sedang duduk di bangku-bangku simen di kolong blok yang terletak bersebelahan dengan padang itu. But bola yang berlumpur berselerak di sebelah mereka. Sambil mengimbas kembali kehebatan dan ketangkasan masing-masing menggelecek bola dan mengilas pihak lawan tadi, mereka meneguk air tin sejuk yang dibeli dari kedai yang berdekatan.
Tiba-tiba, mereka ternampak Syamsul. Alep mengetip bibirnya. Wak menggaru kepala yang tak gatal. Borhan menghela nafas panjang. Rudi pula memerhatikan reaksi kawan-kawannya. Tiba-tiba, serentak, mereka ketawa. Ketawa berdekah-dekah tanpa mempedulikan sesiapa. Sampai meleleh-leleh air mata dibuatnya. Masing-masing dengan jersi bola yang tergantung di atas bahu, tekun memerhatikan Syamsul yang semakin menghampiri mereka.
“Eh, pergilah tegur. Tak baik kita biarkan,” Alep bersuara sambil menahan gelak.
Yang lain mengangguk dengan serius. Namun keseriusan itu tidak bertahan lama. Hilai-tawa keempat-empat pemuda itu kembali mengisi ruang kolong blok itu.
“Kau pergilah cakap. Tak baik.”
“Kaulah!.”
“Kenapa aku pula? Kaulah yang cakap!”
“Syamsul!” akhirnya Alep berteriak sambil melambai untuk memanggil Syamsul. Syamsul pun menghampiri mereka. “Wah, cantik jersi yang kau pakai. Siapa belikan?”
“Ayah.”
Mereka berempat mengangguk. Mereka tidak lagi ketawa tanpa peduli. Mereka mahu menjaga hati Syamsul. Mereka bukan jahat. Mereka orang biasa, yang akan ketawa apabila ternampak sesuatu yang menggelikan hati mereka.
“Syamsul, kita semua ni pemain bola. Abang Rudi tu, pernah mewakili kelab. Tapi lepas tulang kering dia patah, dia sekarang main suka-suka aja.”
Syamsul mengangguk.
“Si Wak ni pula, kenapa kita panggil dia Wak, sebab dia main bola dah macam wak-wak. Tak pernah cemas. Otak dia ni bagus. Tak banyak orang ada otak macam dia!”
Syamsul mengangguk terus.
“Abang Borhan ni pula, dia seorang aja yang masih aktif main bola. Dia wakil kawasan undi kita. Sejak umur dia 14 tahun, dia dah bermain di kelab-kelab hebat di negara kita.”
Syamsul mengangguk lagi.
“Jadi, apa yang kita nak cakap ni, Syamsul jangan kecil hati, tau. Abang Alep nak cakap, kalau kita pakai jersi, jangan masukkan dalam seluar. Itu bukan cara pakai jersi. Itu dah jadi macam Mat Kental. Jadi, Syamsul kalau nak pakai jersi, sebaiknya, keluarkan baju tu. Jangan masukkan dalam seluar. Faham?”
“Oh, saya tahu, Bang. Memang selalunya, saya tak masukkan jersi ni dalam seluar pun.”
“Habis, tiap-tiap petang, bila kita dah habis main bola, kita mesti nampak Syamsul jalan lalu kawasan ni. Dah tu, jersi bola Syamsul tu, Syamsul masukkan ke dalam seluar. Jangan macam tu, Syamsul. Kental!” jelas Borhan.
“Bukan apa, Bang. Saya nak pergi solat maghrib. Ustaz pesan, kalau dalam solat, apabila kita rukuk atau sujud, kalau baju kita ternaik lalu ternampak bahagian aurat belakang, sembahyang kita tak sah. Sebab tu saya selalu masukkan baju saya. Nanti waktu balik nanti, saya keluarkan baju saya. Err, abang-abang nak ikut sekali tak? Kita boleh solat sama-sama!”
Mata keempat-empat pemuda itu bergenang sekali lagi. Namun, kali ini, tidak beriring hilai tawa. Senyum pun tidak.
BIODATA PENULIS
Djohan A. Rahman mula menulis prosa kreatif pada 1998.
Beliau pernah mengikuti klinik penulisan cerpen anjuran Mastera di Bogor, Indonesia, pada 2003.
Cerpen, sajak dan esei kritikannya pernah diterbitkan Berita Harian, Berita Minggu dan The New Paper.
Penulis juga pernah memenangi Hadiah Persuratan Remaja dan pada 2011 menduduki tempat ketiga Anugerah Pena Emas kategori cerpen dan muncul finalis pertandingan Mencari Kristal anjuran Berita Harian/Berita Minggu dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg