Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menopaus dan fibroid: Apakah yang wanita perlu tahu?

Jan 8, 2025 | 5:30 AM
Beginilah contoh keadaan dalaman organ uterus dan ovari wanita.
Beginilah contoh keadaan dalaman organ uterus dan ovari wanita. - Foto ISTOCKPHOTO

Putus haid sering dianggap sebagai satu detik baru dalam kehidupan wanita.

Ia membawa kelegaan selepas bertahun-tahun menghadapi kitaran haid dan kebimbangan mengenai kehamilan.

Namun, bagi sesetengah wanita, putus haid atau menopaus turut memberi beberapa kesan lain.

Ia menurunkan kadar estrogen – sekumpulan hormon yang mengawal perkembangan seksual wanita – yang boleh memperbaiki masalah fibroid.

Fibroid adalah ketumbuhan bukan barah di dinding rahim yang dihadapi hampir 80 peratus wanita menjelang usia 50 tahun.

Tetapi, perjalanan sebelum putus haid tidak selalu mudah.

Wanita dalam lingkungan usia 40-an atau awal 50-an yang mengalami gejala fibroid ringan mungkin dinasihatkan agar bersabar, memandangkan fibroid memerlukan estrogen untuk berkembang.

Namun, bagi mereka yang mengalami gejala lebih teruk seperti pendarahan berat, sakit pelvis atau pinggang, kembung, kerap membuang air kecil, atau kesakitan semasa hubungan seksual, menopaus mungkin tidak membawa kelegaan seperti yang diharapkan, lapor laman web, Harvard Women’s Health Watch.

Pakar bedah ginekologi dari Massachusetts General Hospital di Boston, Amerika Syarikat, Dr Elisa Jorgensen, berkata:

“Ramai wanita diberitahu bahawa fibroid akan reda selepas putus haid.

“Namun, ada yang tidak dapat bertahan kerana gejala menjadi terlalu membebankan, dan ada pula yang masih menghadapi fibroid walaupun sudah menopaus.”

Faktor Pengaruh Pertumbuhan Fibroid

Saiz fibroid, atau turut dikenali sebagai leiomyoma rahim, boleh sekecil hujung jarum atau sebesar buah limau gedang.

Walaupun punca sebenar pertumbuhan fibroid belum diketahui, ia kerap dikaitkan dengan faktor baka.

Kajian menunjukkan fibroid boleh menjadi lebih ketara apabila seseorang itu menghampiri putus haid.

Sebagai contoh, satu kajian yang diterbitkan pada Februari 2020 mendapati satu pertiga daripada kes fibroid yang baru didiagnosis berlaku pada wanita berusia pertengahan hingga akhir 40-an.

Selain itu, fibroid kecil boleh terus membesar selepas putus haid, terutama pada wanita yang mengalami masalah berat badan berlebihan.

Hormon dan Rawatan

Estrogen memainkan peranan penting dalam pertumbuhan fibroid.

Oleh itu, terapi hormon untuk mengurangkan gejala putus haid boleh meningkatkan risiko fibroid menjadi lebih teruk.

Sebaliknya, pil perancang gabungan hormon estrogen-progestin boleh membantu mengawal gejala fibroid pada wanita pra dan sekitar putus haid.

Bagi wanita pascamenopaus, rawatan fibroid bergantung pada gejala yang dialami dan keadaan kesihatan lain.

Sebagai contoh, pendarahan tidak normal mungkin berkurang apabila putus haid, tetapi bagi mereka yang mengambil ubat antipembekuan darah, masalah itu mungkin berlarutan.

Hadapi Cabaran dengan Kesedaran

Bagi wanita yang menghadapi fibroid, kesedaran mengenai perubahan hormon dan rawatan sedia ada adalah kunci dalam menangani keadaan.

Jika anda mengalami gejala fibroid yang membimbangkan, dapatkan nasihat pakar perubatan untuk menentukan rawatan yang sesuai.

Walaupun putus haid sering dianggap sebagai titik perubahan positif, adalah penting untuk bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang timbul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg