Nazariah Nasir
Bau asap yang kurang enak dari dapur membuatkan rasa loya ditekaknya. Bukan aroma yang sedap tetapi bau hangus! Peluh mula membasahi seluruh anggota tubuhnya. Di dapur berselerak dengan pelbagai alat untuk membuat pencuci mulut yang paling digemarinya itu. Pelbagai bentuk loyang dikeluarkannya. Ada yang bulat, segi empat, segitiga dan bujur semuanya dilambakkan di atas kabinet dapur ibunya. Bukan itu sahaja, segala macam jenis tepung dan pelbagai air yang mempunyai pelbagai perisa diletakkan di atas kabinet supaya mudah untuk dia menggunakannya tetapi segalanya tidak membuahkan hasil!
Sudah hampir enam jam, dia akhirnya terduduk di sebuah kerusi lalu bersandar di situ sambil memikirkan tentang pencuci mulut yang perlu dibuatnya agar terasa sedap sekali. Dengan muka yang comot penuh dengan tepung, badannya berpeluh-peluh bermandikan keringat dan tangannya yang kotor dia termenung panjang.
“Khusyairi buat apa ini?” tiba-tiba suara ibuku bertanya memecah kesunyianku di dapur.
“Khus masih cuba mencari resipi yang terbaik untuk membuat pencuci mulut yang Khus suka ibu,” jawabku dengan nada sedikit kecewa.
“Yalah, ibu faham tetapi jangan sampai berjam-jam lamanya duduk di dapur ini! Selepas itu ha, habis semuanya! Kalau tidak jadi, Khus akan humban ke dalam tong sampahkan. Itu namanya membazir!” tukas ibuku dengan terbuntang matanya memandang ke arah tubir mataku untuk mengingatkan betapa aku telah membazirkan segala yang telah kubeli. Malah, memang betul kalau pencuci mulutku tidak menjadi, aku naik berang dan habis semuanya kuhumban ke dalam tong sampah!
Emm…, mengimbau kembali kali pertama aku makan pencuci mulut yang amat aku gemari itu ketika aku berada di Universiti Kahirah. Memang sedap betul pencuci mulut yang aku beli itu. Setiap kali, selesai sahaja kuliahku, aku akan mencuba pelbagai kunafa yang dijual di situ. Kunafa yang asli dibakar dalam sebuah loyang sehingga rangup sebelum disira air gula yang diharumkan dengan air mawar dan ditaburkan kacang pistachio di atasnya! Oh, betapa sedap sekali! Makan sekeping akan bertambah lagi dan lagi sehingga aku menjilat jari!” aku bermonolog sendirian.
“Dahlah tu, kalau hari ini tidak menjadi esok sahajalah sambung,” pujuk ibuku.
“Tidak boleh ibu. Khus akan cuba lagi dan terus mencuba lagi. Dalam kamus diri Khus tiada istilah tidak boleh buat. Pasti ada jalan yang terbaik dan boleh Khus mendapatkan resipi yang sedap, ibu,” terangku dengan yakinnya.
“Tetapi Khuskan sudah penat. Berehatlah dahulu,” sekali lagi ibu memujukku.
“Tidak boleh ibu, Khus akan terus mencuba lagi. Ibu jangan risau nanti apabila Khus sudah mendapat resipi dan perisa yang betul, Khus akan berhenti berehat ya,” gumamku dengan yakinnya.
Aku sebenarnya pantang dicabar oleh rakan-rakanku sewaktu menuntut di universiti dahulu.
“Ibu percayalah, misi Khus hari ini untuk mencari kunafa pasti akan tercapai dan Khus yakin dapat ramuan yang betul untuk menghasilkan kunafa yang sedap sekali,” tukasku dengan yakinnya.
“Hai, suka hati Khuslah. Ibu tak tahu hendak cakap apa lagi,” lalu meninggalkan aku sendirian di dapur.
Hari ini, aku akan cuba membuat lagi kunafa ciptaanku sendiri. Bahan-bahan yang aku gunakan ialah 500gm kunafa doh pastry, keju cheddar secukupnya, keju mozzarella, 200gm krim keju, 250gm ‘cream cheese’, setengah tin susu pekat manis, 50mg gula aising, 1 sudu makan esen vanila, 70gm mentega dan 1 biji kuning telur.
Ha, cara untuk memasaknya mudah sahaja. Ada lima langkah yang perlu aku buat. Pertama, aku akan mulakan dengan membuat adunan krim keju. Kedua, aku akan pukul krim keju, susu, gula dan mentega hinggalah halus.
Ketiga, aku akan masukkan kuning telur dan juga vanilla. Pukul sebentar dan sediakan dohnya. Keempat, aku akan sapukan sedikit mentega pada loyang dan juga doh kunafa tadi.
Untuk kunafa doh ini sebaiknya aku syorkan gunakan mentega cair.
Kelima, taburkan separuh doh kunafa ini pada loyang kemudian masukkan adunan krim keju yang telah dipukul tadi. Keenam, tabur keju cheddar dan keju mozzarella. Akhir sekali, tutup krim keju dengan sisa kunafa doh tadi dan bakar dalam ketuhar pada suhu 180C selama 15 hingga 20 minit atau sehingga kekuningan.
Di sini, aku ingin memberikan dua panduan apabila adunan masak jangan biarkan terlalu sejuk diluar. Seelok-eloknya dihidang dan dimakan panas-panas. Teksturnya rangup kerana keju yang ada di dalam akan meleleh mencair dalam mulut. Akhir sekali, kita bolehlah hiaskan di atas kunafa ini dengan menaburkan kacang pistachio atau almond.
Alhamdulillah, setelah berpulas penat, aku berpuas hati dengan kunafa yang kubuat pada hari ini. Penat lelahku berbaloi juga akhirnya. Kunafa yang kuinginkan menjadi! Bak kata pepatah Melayu “sekali gagal kita tidak akan gagal selama-lamanya! Terus berusaha dan mencuba hingga berjaya!”
Setahun kemudian, aku telah mula serius dalam membuat kunafa ini. Malah, aku terus belajar untuk mencari bahan-bahan yang lebih sesuai bagi menghasilkan kunafa dengan tekstur yang kuinginkan. Aku juga telah berusaha untuk cuba membawa masuk doh pastry kataifi yang digunakan bagi menghasilkan tekstur yang lembut.
Kalau hendak cakap tentang harga kunafa yang kutawarkan berpatutan dan ini termasuk versi asli dengan harga serendah $15 setiap satu. Kunafa Biscoff, Oreo dan Nutella harganya hanya $20. Manakala kunafa kegemaranku ialah Red Velvet berharga $25 setiap satu kotak. Bagi Dark Indulgence juga harganya sama $30 dan yang paling mahal ialah Lumut Cheese yang berharga $30.
Insya-Allah, suatu hari nanti akan kutebarkan sayapku hingga ke negara Eropah untuk menghasilkan dan mengenalkan orang-orang Eropah tentang makanan pencuci mulut yang amat aku gemari ini.
Baru-baru ini, aku telah membawa bersama Si Dia untuk acara The Best Kunafa Ever di mana aku akan bertandingan dengan pembuat kunafa yang terbaik di dunia. Jika rezekiku ada Kau dekatkanlah. Alhamdulillah, kunafaku telah berjaya menambat hati para juri. Aku telah dinobatkan sebagai pembuat kunafa yang terhebat dan aku telah menjadi juara. Insya-Allah dengan wang yang aku terima ini, aku akan menyambung pengajianku untuk mengambil ijazah sarjanaku yang telah terputus di tengah jalan. Sesungguhnya, aturan Allah itu adalah yang terbaik untukku dan tepat parda waktunya.
Malah, aku juga telah berhasrat untuk membantu mangsa di Gaza untuk membuat kunafa dan disedekahkan kepada masyarakat di sana. Semoga apa yang aku lakukan ini akan bermanfaat kepada mereka dan Allah memberkati usaha murniku ini.
Sekilas aku teringatkan tentang sikap tolong-menolong ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah dalam Al-Quran Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:
“Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan jangan kamu bertolong-tolong pada jalan yang membawa kepada dosa dan juga permusuhan.”
Kini, misi Khus untuk mencari Kuna telah tercapai! Terima kasih ya Allah!
BIODATA PENULIS
Nazariah Nasir minat menulis sejak di bangku sekolah.
Beliau pernah memenangi hadiah merit bagi puisi, ‘Siapa Diri Ini?’ dalam peraduan ‘Noktah Putih’.
Nazariah juga telah menghasilkan dua novel bertajuk, ‘Cinta Facebook Cinta Tanpa Suara’ dan ‘Tin’.
Lima puisinya pula dimuatkan dalam kumpulan buku, ‘Puisi Bebas Melata Menekat Sayang’.
Puisi dan cerpen Nazariah juga telah dimuatkan dalam buku, ‘Hempedu Di Tasik Madu’ terbitan Asas ‘50.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg