Tiap asar lepas mengaji, nenek akan duduk di situ di atas tangga batu di muka pintu wajahnya rindu memandang saujana di hadapan sebuah taman permainan anak-anak kecil berlarian dan bermain buaian jatuh, menangis dan terus lagi berkejaran rumah-rumah tinggi, bersusun selorong sehalaman perlahan nenek bersuara penuh kebingungan menunjuk ke kiri ke kanan
"Ke mana kelip-kelip pergi? Sudah lama tidak datang, sejak hutan bakau ditebang. Dulu di situ riak laut biru bergelombang. Pantai putih terbentang. Tersadai sampan selepas ke laut menangkap ikan. Datukmu seorang nelayan terbilang. Bersahabat dan berjuang dengan alam. Di balik tebing batu, tiap petang orang berjualan sate yang sedap berbumbu. Pantai Pasir Panjang tempat kami bertemu. Jadi saksi kasih kami yang tidak pernah layu''


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg