Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Langit Nan Satu

Daripada 35 karya cerpen yang dipertandingkan dalam peringkat akhir peraduan Mencari Kristal, lapan terpilih oleh panel juri untuk disiarkan dalam akhbar ini bagi memberi peluang pembaca mengundi pemenang. Cerpen berikut merupakan antara lapan yang terpilih. Mencari Kristal anjuran akhbar ini dengan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bertujuan membangun bakat penulis kreatif di Singapura.
Nov 28, 2016 | 05:30 AM



"KAU memang pengkhianat! Pengkhianat!"



"Aku bukan pengkhianat! Islam tidak mengajar aku menjadi pembunuh."



"Seharusnya kau direjam dengan batu!"



Gelap.



"Amaal… Amaal… "



Suara asing itu kerap kedengaran di cuping telinganya. Puas dia cuba meneka tetapi memang dia tidak mengenali suara itu. Amaal cuba membuka mata tetapi kelopak matanya itu seperti disepit dengan penyepit baju.



"Dia masih belum sedar lagi, doktor?" tanya Paderi Jose resah.



"Belum lagi sejak kami keluarkan darah beku itu. Otak sebelah kanannya masih bengkak."



"Bagaimana peluang dia doktor?"



"Kami akan terus memantau keadaannya. Jika ubat-ubatan tidak lagi membantu, kami akan jalankan pembedahan bagi membuka tulang kepala dan selaput otak untuk memberi ruang tambahan bagi otak yang bengkak itu. "



"Buatlah apa saja yang terbaik, doktor…" sambung Paderi Jose mengharap.



Bekalan letrik terputus. Rumah mereka serta-merta menjadi gelap. Ibu Amaal menjerit memanggil anak-anaknya menyalakan lilin. Amaal dan kakaknya Farah segera turun ke bawah membantu ibu mencari dan menyalakan lilin di sekitar rumah.



Tiba-tiba pintu rumah mereka ditendang kuat hingga tercabut tombolnya. Tiga orang askar merempuh masuk dengan senapang M16 di tangan. Diikuti pula beberapa lagi askar di belakang. Mereka mencari ayah Amaal. Hampir setiap penjuru rumah itu digeledah. Sejurus kemudian berdas-das tembakan dilepaskan. Mereka menembak apa saja yang berada di hadapan. Bau hangit tembakan memenuhi rumah itu . Amaal dan kakaknya berlindung di bawah meja makan; menutup telinga ketakutan. Askar-askar itu kemudian keluar meninggalkan rumah dengan dekahan ketawa.



Ibu Amaal mengejar hingga ke pintu; menjahang askar-askar itu. Melepaskan rasa marah yang telah lama terbuku. Amaal cuba menahan ibunya tetapi askar yang berpangkat sarjan itu lebih pantas menendang ibu tanpa belas kasihan. Dia kemudian membersihkan darah di but hitam tenteranya itu dengan penghujung baju ibu. Selepas berjalan beberapa langkah, dia pusing ke belakang dan memacukan senapang ke arah mereka.



"Jangannn…!!!"



Jeritan Amaal mengejutkan jururawat yang berada di dalam bilik itu . Doktor segera dipanggil dan mereka pantas memeriksa Amaal. Amaal cuba membuka mata tetapi silau cahaya kuning menyakitkan bebola matanya. Kepalanya juga terasa sakit .



"Cuba buka mata perlahan-lahan. Lihat sekeliling awak ini. Awak tahu sekarang awak berada di mana?" tanya doktor itu lembut.



Mata bundar Amaal liar memandang sekeliling.



"Siapa nama awak?" tanya doktor itu lagi .



"Mana ummi? Mana ukthi Farah? Mana Ziyad? Ziyaad!" jerit Amaal sambil meronta.



Doktor memberi isyarat kepada jururawat untuk membuat sesuatu. Dia yang telah bersiap siaga akur lalu menyuntik lengan Amaal. Amaal kembali rebah di pembaringan.



"Bagaimana keadaannya, doktor?"



"Emosinya masih terganggu. Kami sudah berikan dia ubat penenang. Paderi Jose, berdoalah. Anda yakin tentang itu, kan?"



Sepi.



Matahari terik di atas kepala. Amaal, Farah dan Ziyad terus berjalan bersama pelarian-pelarian yang lain dengan beg bergalas di bahu. Sesekali Amaal membersihkan peluh di dahi Ziyad dengan hijabnya. Ziyad tidak seperti orang lain. Bukan mudah bagi Amaal untuk memujuk dan melayan kerenahnya apalagi menjelaskan keadaan sekarang ini kepada adiknya yang down syndrome itu. Amaal tahu Ziyad penat tetapi mereka tidak mampu untuk berhenti berehat. Jika berhenti, mereka akan ditinggalkan dan itu akan mengundang masalah.



"Aarghh! Berapa lama lagi aku harus harungi penderitaan ini...!" Farah mendengus.



"Sabarlah! Kita pernah tempuh lebih teruk daripada ini. Jangan cepat mengalah." Pujuk Amaal.



"Aku takkan berdiam diri. Aku harus tuntut bela!"



"Tuntut bela apanya? Kita ini cuma orang kecil. Kita takkan mampu melawan mereka semua."



"Habis tu kau nak berserah saja? Eh! Kau tahu tak, orang-orang Eropah ini bencikan kita. Mereka takkan terima kita."



"Tapi ada juga yang baik hati, kan. Yang beri kita air, beri kita roti. Beri kita ubat."



"Mereka kata kita pengganas!" Farah menjegilkan mata.



"Kau tahu itu tidak benar. Pedulikan mereka." Kata Amaal tegas.



"Jahanam punya pemimpin! Pasal kau, aku jadi macam ni. Dia orang boleh tidur dengan nyenyak sedangkan berjuta rakyat merempat, tidur di bawah jambatan, di terowong-terowong kereta api. Boleh makan sedap-sedap lagi sedangkan kita semua belum tentu dapat makan esok." Farah mengetap geraham menahan marah.



"Tak usah fikirkan semua itu. Lebih baik kita rancang ke mana arah tujuan kita sebaik saja melepasi sempadan negara ini."



"Kau yakin hendak bawa Ziyad bersama?"



"Ziyad cuma ada aku dan kau saja sekarang ini. Jangan kau ulang pertanyaan itu lagi," kata Amaal menjeling.



"Baik, aku takkan ulang tapi mula saat ini Ziyad tanggungjawab kau."



"Tega amat kau, Farah. Ke mana nak kau campakkan Ziyad? Kau tak sayangkan kita lagi?"



"Kerana sayanglah aku ambil keputusan ini," gumam Farah.



Amaal kebingungan. Apa maksud kata-kata Farah? Tidak lama kemudian, kelibat Farah hilang di celah-celah pelarian yang ramai itu.



Ziyad masih tidur ketika Amaal masuk ke bilik rawatan. Beberapa orang jururawat serta sukarelawan sedang memeriksa pesakit lain. Mereka juga pelarian seperti Amaal. Seorang sukarelawan melemparkan senyuman sebelum beredar keluar. Amaal membalas sambil mengucapkan terima kasih. Dia menghela nafas panjang. Diusapnya kepala Ziyad perlahan. Air mata mula menutupi pandangan.



Tiba-tiba rindu datang bertandang. Jika tidak kerana pergolakan politik di negaranya, mereka sekeluarga tidak akan terpisah. Mereka tiga beradik masih lagi bersekolah dan Farah, ahh... Farah. Kali terakhir khabar yang Amaal terima daripada pelarian sekampung, Farah sudah ikut Mujahid berjihad. Mereka sudah berjanji untuk syahid dan masuk syurga bersama-sama. Kenapalah Farah begitu singkat akalnya atau mungkin dia sudah mengaku kalah dengan ujian Allah.



"Kenapa menangis, anakku?" tanya Paderi Jose perlahan.



Amaal terpempan dengan teguran yang datang tiba-tiba.



"Bagaimana keadaan adikmu?"



"Tuankah yang menolong kami semalam? Maaf, saya masih lagi terkejut. Sawannya datang tiba-tiba. Saya tak tahu apa akan jadi jika Tuan tidak tolong kami. Hanya Tuhan saja yang dapat membalas budi baik Tuan itu," kata Amaal penuh sebak.



"Kita sesama manusia harus tolong-menolong. Agama apa pun, ia tidak menyuruh umatnya membuat kejahatan. Jangan bazirkan air matamu itu. Simpanlah sedikit." Paderi Jose menghulurkan sapu tangan, Amaal menyambutnya sambil tersipu.



"Apa rancangan kamu seterusnya? Jika mahu, rumah ini terbuka untuk kamu."



"Saya mahu ke United Kingdom," jawab Amaal pantas.



"Kenapa United Kingdom?" tanya Paderi Jose berkerut kening.



"Kerana di sana wanita boleh jadi ketua negara. Saya juga mahu bersalaman dengan Ratu Elizabeth dan saya yakin saya boleh mencapai impian menjadi pemain piano antarabangsa yang hebat, " kata Amaal bersemangat.



"Bermimpilah sejauh mungkin." Paderi Jose ketawa kecil sambil menepuk bahu Amaal.



Panggilan telefon bimbit yang berdering memotong perbualan mereka. Amaal memandang wajah Paderi Jose yang putih bersih, berambut perang muda dan bersisir rapi itu. Dia kelihatan terkejut namun cuba menenangkan si pemanggil.



"Kenapa Tuan? Apa yang berlaku?" tanya Amaal prihatin.



"Pemain piano kami kemalangan dan tiada siapa yang boleh menggantikan tempatnya di gereja," balas Paderi Jose sedih.



Suara sang cicak yang berdecit memecah kesunyian.



"Saya boleh." Kata Amaal yakin.



"Tapi kamu Muslim." Potong Paderi Jose tersentak.



"Saya tidak sembah apa yang Tuan sembah. Tuan tidak sembah apa yang saya sembah. Agama apa pun tidak menghalang umatnya membuat kebaikan." Amaal tersenyum.



Paderi Jose kehilangan kata-kata.



Peperangan mungkin hal yang dia benci tetapi itu yang terbaik yang telah ditakdirkan untuknya. Amaal tahu ini semua kerja Allah dan dia pasrah. Ujian dan musibah itukan pemanis kehidupan.



Sekelip mata hidup Amaal berubah. Videonya yang bermain piano di gereja sudah menjadi viral di media sosial. Sambil bermain piano, Amaal selitkan pesanan-pesanan keharmonian negara, toleransi beragama dan keamanan untuk dunia serta manusia sejagat di dalam video itu. Bagi Amaal, dia tidak perlu takut dengan apa yang dia percaya. Harus berani berdiri sekalipun dia berdiri seorang diri. Kini Amaal seperti duta keamanan yang tidak rasmi.



Sesungguhnya manusia tidak perlu ada persamaan untuk menjadi sahabat dan tidak perlu ada pertelingkahan untuk menjadi musuh. Selagi berada di bawah langit yang satu, semua orang ada peranan untuk menyebarkan kebaikan dan membawa senyuman kepada kehidupan. Sayangnya kehidupan tidak sedemikian. Banyak persoalan yang tiada jawapan.



Malam pesta itu Ziyad ketawa gembira. Bebas berlari dan bermain bersama rakan sebaya. Melihatkan adiknya gembira, Amaal turut bahagia. Paderi Jose menjaga mereka dengan baik dan penuh kasih sayang. Setidak-tidaknya, ingatan serta kerinduan Ziyad terhadap ayah dan ibu terubat. Bahkan malam itu kerinduan Amaal untuk melihat pertunjukan bunga api akan juga terubat. Sejak perang meletus, hanya bedilan senjata api yang bermain di mata.



Angkasa malam itu penuh bercahaya dan beraneka warna. Berdentam-dentum bunyinya bila bunga api diluncurkan. Persembahan bunga api memang tidak pernah mengecewakan. Amaal benar-benar puas. Hilang semua penderitan dan bayangan hitam yang menghantui hidupnya.



Ziyad dan Amaal saling bergurau. Paderi Jose dan yang lain juga sibuk bercerita tentang kemeriahan pesta malam itu sehingga tidak perasan ada lori yang dipandu secara laju. Habis semua kerusi dan meja dirempuhnya. Serpihan gelas dan pinggan berterbangan. Mangsa-mangsa yang dilanggar, rebah satu persatu. Berdarah dan bergelimpangan di atas jalan. Orang ramai menjerit sambil lari bertempiaran. Keadaan menjadi cemas.



Amaal yang turut tersungkur cuba berdiri; mencari-cari Ziyad yang terlepas daripada pegangannya. Dengan kaki berdarah dan terhincut-hincut dia berjalan sambil menangis. Berteriak-teriak mencari adiknya. Dalam keriuhan itu, Amaal kemudian ternampak Paderi Jose sedang memeluk Ziyad dan cuba untuk menenangkannya. Amaal lega mereka selamat dan tidak cedera.



Tiba-tiba lori itu berundur ke belakang. Seorang perempuan muda sedang berlari; cuba menyelamatkan anak kecilnya yang berada di dalam kereta sorong. Amaal yang berada berdekatan, sempat menarik dan memberhentikan kereta sorong itu.



Menyedari lori itu sedang menghampiri, Amaal berteriak kepada seorang lelaki yang sedang jalan berdekatan lalu menolak kereta sorong itu ke arahnya. Amaal hilang imbangan ketika hendak mengelak daripada dilanggar lori lalu jatuh terguling-guling. Kepalanya kemudian terhantuk bebendul jalan.



Dia menekan kepalanya menahan kesakitan. Orang ramai mula mengerumuninya. Di celah-celah yang ramai itu, Amaal ternampak pula orang tuanya. Dia melemparkan senyuman lebar tetapi mereka hanya memandangnya dengan sayu dan tidak mengendahkan panggilan Amaal. Mereka yang berdiri sekeliling Amaal menunjukkan rasa marah tetapi Amaal tidak faham apa yang mereka marahkan. Dia tidak dapat mendengar suara mereka. Perlahan-lahan kelibat orang tuanya turut hilang dari pandangan.



ZALEHA BTE ISNIN: Cerpen 'Langit Nan Satu'




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >