Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Kakaktua, kera dan mimpi yang terluka

Aug 14, 2017 | 05:30 AM



(i)



AKU terpanar. Terasa macam hendak ketawa pun ada. Tapi cepat-cepat aku padam niat itu, apabila memandangkan ada wajah keghairahan terpancar dari wajah dan matanya. Lantas menjadikan aku bagai dipancing semacam kesungguhannya itu.



Agak lama, dengan mataku yang tak terkebil-kebil, aku bersuara, "Betulkah, Dollah? Aku bukan ahli dalam hal seperti ini."



"Betul! Aku tak pernah bermimpi. Dan aku mahu bermimpi. Bermimpi yang indah-indah macam kau, Khairul."



Memang, aku sering bermimpi. Yang tak indah-indah, lebih tepat yang buruk-buruk seperti mimpi patah gigi, jatuh ke dalam gaung, ditikam orang, dipermain dan diperalatkan orang, difitnah, dianiayai, diputarbelitkan orang kerana ada agenda demi kepentingan diri sendiri, menjadi mangsa 'politik' kotor, harta benda dicuri oleh orang lain, beriya-iya menegur orang supaya berada di landasan akidah yang betul tapi diri sendiri pula macam ketam menyuruh anaknya berjalan betul, sampailah melakukan jenayah dan meringkuk ke dalam penjara atau lebih buruk lagi tercerut leher di tali gantung, aku tapis semua. Satu pun tak akan aku ceritakan. Hanya yang menyenangkan hati seperti dapat menjulang piala perkahwinan setelah lama membujang, menjadi kaya raya, menjadi hebat tenagaku macam kuda gila dan gagah perkasa, berumah tercantik di dunia, mengerjakan umrah dan haji beberapa kali dalam usia yang belum masuk setengah abad dan sebagainya, aku ceritakan tanpa penapisan sedikit apa-apa pun.



"Ha, mengapa tercegat pula macam patung di tepi jalan ini. Bolehkah kau berikan aku tip atau petua?"



Hendak aku tekankan kepadanya, memang aku selalu didatangi mimpi, tapi itu tak bermakna aku ini layak memberikannya tip. Oleh sebab dirayu dan terus dirayu, aku pun berlagak macam orang yang arif tentang mimpi. Kalau tidak, nanti aku dicapnya pembohong. Ya, nama saja kaya mimpi yang indah-indah, tapi lokek hendak memberikannya tip.



"Baiklah. Kau kenalah cari pintu mimpi…"



"Pintu mimpi?" Dollah memintas cepat. Semacam keraguan tercermin di wajahnya.



"Ya, pintu mimpi. Macam rumah, kalau tak ada pintu, tak boleh masuk ke dalam, bukan?" tekanku untuk meyakinkannya.



Dollah bagaikan disuntik jarum kebodoh-bodohan. Memandangkan kawan baikku sejak di sekolah rendah lagi, (kini sebaya denganku - 35 tahun) yang kelihatan hendak cepat ke pejabat, kerana bangun lambat, aku menambah dengan cepat juga, "Tapi sesudah dapat mencari pintu dan berjaya melolosinya, haruslah berhati-hati kerana mimpi itu sebuah kotak besar yang tidak terlepas daripada keriuhan suasana."



Fikirannya dalam, mungkin bercambah tahap kebodoh-bodohannya atau dia benar-benar kehilangan punca?



"Ha, bas kau dulu yang sampai tu! Selamat bermimpi. Jumpa lagi, insya-Allah." Dollah mengejar bas di belakang bas yang sebuah lagi di hadapan dengan muka yang terus berkerut.



Di bawah langit yang terpapar awan mendung, mataku mengejar Dollah yang bergegas menaiki bas, sambil hatiku menakung semacam kelucuan tetapi terasa terhina pula oleh temberangku. Benarkah aku ini temberang besar? Dan berdosakah aku?



(ii)



Lazimnya kakaktua petah bertutur. Dollah amat senang dengan kecantikan burung kesayangannya yang dibelanya sejak lima tahun lalu. Dulu kecil. Sekarang sudah besar. Burung bersayap biru, berparuh dan bermata hitam bersinar dan berseri galak, berkepala hijau, berekor dan berbulu biru, berbadan yang kuning bulunya serta berkaki hitam kelabu, juga boleh membaca sajak. Tapi petang itu burung belaannya sudah lain macam.



Dollah masih ingat lagi dengan jelas betapa pertama kali dibawanya balik dulu dari kedai burung dan dibelanya hingga kini, burung itu diajarnya bertutur. Cakap satu, jawab satu. Sampai cakap satu, dibalasnya tak henti-henti. Macam murai dicabut ekor. Betapa megahnya Dollah bertuankan burung yang pandai bertutur.



Banyak orang kagum dan terpesona dengan sajak-sajak yang dihafal kakaktua. Antara lain, sajak Seperti Bunga:



Jalan ini panjang

untuk sampai ke hujungnya

namun demi sebuah perjalanan

kuteruskan

lalu aku bertafakur

ingin jadi seperti bunga

kaya warna pesona

kaya bau harum

bijak menghambat hati

burung dan kumbang

cinta pun mengembang

sepanjang musim



Perkataan 'burung' sengaja ditekannya lebih keras sedikit. Dan orang yang mendengarnya, akan tak kering gusi.



Angin 2 petang yang dingin menyerbu tingkap kaca berkisi itu terasa tidak dingin lagi. Ia bagaikan dipanaskan oleh api suasana keluarbiasaan. Jangan kata hendak membaca sajak, satu patah pun bagai terbunuh. Terbunuh oleh suasana yang merantai lara kakaktua. Lazimnya Dollah akan diselamatpagikan, atau diselamatmalamkan atau diselamatpetangkan seperti petang itu oleh kakaktua yang biasanya terantai di cabang kayu agak panjang dan bulat yang melintang di tepi tingkap, siap dengan bekas yang berisi makanannya.



Garis kasar memeta di dahi Dollah. Namun, dia bersuara dahulu memberikan salam, "Selamat petang kakaktua tersayangku!" Sekali tak berjawab. Dua kali pun tak berjawab. Tiga kali pun begitu. Garis kasar semakin kasar melata di dahi Dollah apabila dia terasa burungnya itu seolah-olah memberitahu melalui bahasa gerak-gerinya betapa meluatnya ia terhadapnya.



Dollah dijarumi kegusaran. "Kenapa dengan kamu, ha? Tak ada selerakah?" Lihat, tak habis pun kacang tanah dan biji-bijian yang aku berikan. Ah, mungkin kamu hendak roti atau beras seperti dulu-dulu."



Diam. Kakaktua membuang pandang ke arah tingkap.



Dollah menahan kesabaran. "Kalau bukan begitu, mungkin kamu hendak pisang?"



Diam terus.



"Janganlah begitu. Bukankah aku sudah katakan, kamu tak boleh makan coklat, avokado, rubarb. Kerana makanan ini terkandung bahan-bahan yang mengandungi laktosa. Tak baik untuk kesihatan."



Diam terus lagi.



Tapi dalam diri Dollah tidak diam pula. Mindanya genjot. Adakah suara kakaktua aku dikarati waktu? Atau adakah sudah sakit mental? Kalau tidak, masakan membisu. Macam musuh lagaknya. Terasa bencinya dia kepadaku tak terperi. Kalau ia tak gila, nanti aku pula yang gila.



"Mengapa ni?"



Diam dan terus diam. Kali ini siling yang dipandangnya. Dollah bagaikan kenyang menelan buih-buih kebisuan burungnya yang kini menekur lantai batu marmar pula. Kemudian memejamkan matanya rapat-rapat. Seolah-olah tak ingin melihat tuannya. Ada semacam getaran menusuk ke dada Dollah. Di tengah-tengah kekusutan fikirannya, terdengar kera mengerih, seolah-olah memintanya datang segera.



Dibiarkan kakaktua sendirian lalu menuju ke bilik. Bilik tidurnya yang disambut oleh kera. Kera yang dibawanya balik dan tinggal bersamanya sejak enam bulan yang lalu. Semacam genjotan api suasana di ruang tamu tadi bagaikan dipadamkan oleh air kemesraan kera yang pandai mengambil hati Dollah yang terpanar. Dollah lupa kepada kakaktua seketika.



(iii)



Terdengar kera mengerih-ngerih dari dalam kamar tidur Dollah. Terasa oleh kakaktua kamar itu adalah ruang yang paling nyaman dan selesa. Bunyi kera lebih bernada kegembiraan yang tersuntik daripada belaian Dollah. Kepala dan tubuh kera, lebih tepat seekor cimpanzi yang berkulit dan berbulu hitam kecoklatan, diusap-usapnya dengan penuh kemesraan.



Dollah berasa amat senang dengan kera jenis ini kerana kecerdasannya yang tinggi seperti kakaktua yang diajarnya bertutur. Kera amat cepat menghafal kata-kata daripada yang mudah-mudah dan asas sehinggalah yang sukar dan penuh falsafah.



Selepas memakan pisang, daun dan kacang serta telur pada tengah hari pada awal petang itu, ia yang dikenakan pakaian warna biru dan merah, berbaring di atas tilam empuk dan berkongsi selimut dengan tuannya. Hujan terus turun sejak dua jam yang lalu.



"Aku sayang kepadamu, kera. Aku berharap kamu akan lebih pintar bertutur daripada kakaktua di luar itu. Tak sia-sia aku membela kamu selama ini," bisik Dollah.



Hati kera kembang, kembang dengan bunga-bunga pujian tuannya. Kerihnya kerih manja.



"Saya juga sayangkan tuan," ucapnya satu-satu sambil memeluk dan menyembamkan mukanya ke dada Dollah. Pelukan itu berbalas kejap.



Kini giliran hati Dollah pula kembang. Guruh tak henti-henti berteriak. Cuaca kian sejuk, tetapi terasa tidak sejuk lagi. Ia dihangatkan oleh api kemesraan kera dan Dollah yang jari-jari tangan mereka menggenggam kejap antara satu sama lain. Tak berapa lama kemudian, mereka terlelap. Berdengkur.



(iv)



Hari Ahad itu hujan lagi. Kakaktua dapat melihat kera berjalan terhuyung-hayang macam orang mabuk todi dari cabang kayu yang ditenggeknya, dengan kedua-dua belah tangannya bersilang ke belakang macam orang senang. Kakaktua meluat melihat kera berbibir tebal yang membuka mulut selebar mungkin, lantas menampakkan barisan gigi yang kasar putih bersih.



Kera mengerih-ngerih manja apabila terdengar suara Dollah dari bilik air, memintanya supaya masuk ke dalam kamar dulu petang itu. Kera tidak segera melakukannya. Ia melabuhkan punggungnya di sofa berwarna krim. Kemudian menggaru-garu punggungnya dan terkebil- kebil dalam konsentrasi. Ia membelai pipinya sambil memadukan pemikirannya yang dalam. Sesekali ia menggaru-garu pula telinga capangnya dan hidungnya yang pesek.



Kera sengaja membuang muka pada kakaktua seolah-olah memberi isyarat bahasa gerak-geri bahawa tuan mereka lebih menyayanginya. Kakaktua berasa semakin mual dengan gelagat kera. Ia menghamburkan kata-kata yang kesat dan tak segan-segan mencarut. Kera buat bodoh. Seolah-olah tak melayan kerenah kakaktua.



Kakaktua terus memuntahkan kaka- kata yang kesat dan keras kepada kera, lebih tepat lebih kepada Dollah. Kera sengaja pula, dengan penuh berhati-hati (agar tidak terlihat oleh tuannya) membelakangkan buntutnya ke arah kakaktua. Ini membuat kakaktua lebih makan hati. Ia memejamkan matanya, menakung kemarahan dan rasa terhina oleh kebodohannya sendiri.



Tanpa disedari kakaktua yang terus berkasar dan berkesat bahasa, Dollah ternampak dan terdengar gelagat kakaktua. Tak disangkanya kakaktua boleh berfiil seburuk itu. Hatinya berbisik, "Adakah kakaktua ini benar-benar sudah sakit mental? Siapakah yang mengajarnya berkelakuan yang menjengkelkan hati ini? Bagaimanakah kalau orang tahu? Aku tak mahu dipersalahkan. Dituduh tak tahu mengajar kakaktua yang baik-baik. Apakah gunanya pandai bertutur tapi tak beradab. Tengok kera juga yang tahu bahasa."



"Kamu diam! Kamu gila ke, ha?"



Kakaktua tersentak. Mata kecilnya cuba dibesarkan. Cepat-cepat ia mengumpulkan semacam semangat. Ia disuntik semacam jarum keberanian.



"Apa gunanya cinta jika tiada lagi kasih sayang. Apa gunanya kasih sayang, jika api cinta terpadam. Terpadam kerana cimpanzi, kera hipokrit ini. Saya kecewa dengan tuan!"



Kera tersengih-sengih sinis.



"Diam!" Dollah terasa setiap ungkapan kata-kata kakaktua seolah-olah menyindir dan membahasakannya.



Kakaktua seperti pandai menderhaka terus:



Apa gunanya pelita cinta

jika api sumbunya terpadam

ditiup angin rasa yang keras

minyak yang tersisa

tak lagi berguna

galak bernyala seperti sebelumnya.



Dollah merasakan kakaktua sudah melampau. Ada getaran menusuk ke dada. Getaran kebencian berulit kemarahan yang memuncak.



"Nyah kamu dari sini!"



Suara Dollah bagai mengatasi pekikan guruh. Ketika itu juga kakaktua merasakan tuannya sengaja membiarkan rantai yang lazimnya menambat kakinya tak lagi merantainya. Terasa memang tuannya telah merancangkan semua kekeruhan ini. Retak mencari belah. Kakaktua merasakan ada air jernih tumpah dari kolam matanya. Ia mengangkat kaki kanannya tinggi-tinggi. Jelaslah rantai itu tidak mengikatnya, entah sejak bila tidak teringat. Yang jelas, ia terasa tuannya mahu ia cepat-cepat angkat kaki dari situ dengan segera.



Semacam tekad bulat terkumpul di jiwa raga kakaktua. Dingin 5 petang itu dihangatkan oleh api kekecewaan yang bernyala-nyala. Dengan suara yang bergetar panjang, satu-satu kata terhambur keluar, "Tuan, kita tak lagi seperti sebuah lukisan, tak bersatu dengan pelbagai warna kasih sayang. Saya kecewa. Kecewa, tuan!" Kera menjuihkan bibir tebalnya, tersengih-sengih lebih sinis. Terkerih-kerih keras dan memekapkan telinganya sambil melonjak-lonjak tanda memprotes gelagat kakaktua. Kemudian ia melompat ke badan Dollah (spontan Dollah menggendongnya) dan mendemah-demah bahu tuannya, cuba menenangkan hatinya yang gusar.



Kakaktua menekad. Walaupun tingkap itu berkekisi, ia cukup luas untuk ia meloloskan diri dalam kekeruhan suasana. Tidak mempedulikan titik-titik kasar dari langit yang terus menikami bumi. Siapa kata kakaktua sepertiku tak pandai terbang tinggi dan jauh. Kau silap, tuan!



(v)



Aku menerima mesej WhatsApp daripada Dollah. Aku bagaikan kenyang menelan kata-kata yang panjang. Tentang kakaktua. Tentang kera. Tentang semua kekalutan dalam sebuah mimpi yang diistilahkan Dollah sebagai terluka.



Hatiku dipagut semacam kebodoh- bodohan. Semacam giliran aku pula dibantai begitu. Adakah aku harus sekali lagi berlagak pandai dan memberikannya teguran atau tip sepertimana pada mula-mulanya dia mendatangiku untuk bermimpi?



Lamunanku tiba-tiba terbunuh oleh panggilan telefon bijak Dollah. Mungkin kerana lambat membalas mesej, dia menelefonku pula.



"Ha, bagaimana Khairul? Ada tip untuk mencari pintu keluar! Keluar dari pintu masuk pada mimpi yang mengusik hati."



"Mengapa?" aku menduga.



"Aku serik. Aku tak mahu bermimpi lagi. Kau bolehlah. Harta arwah orang tua kau cukup untuk kau makan sampai ke hujung usia. Kau orang senang. Boleh selalu bermimpi yang indah-indah."



Aku termangu panjang di sofa seketika. Bagaimana hendak aku katakan? Bingung pun ada. Hendak ketawa pun ada. Hendak aku ajukan soalan, bagaimana dia dapat menemui pintu mimpi sampai berjaya bermimpi? Dan bila sudah dapat mimpi, lain pula kisahnya. Yang jelas dahiku berkerut-kerut dimakan anai-anai pertanyaan yang jawapannya masih dinanti-nantikan Dollah, orang yang aku rasa amat dekat di hujung talian sana. Tidak kurang aku merasakan sindiran Dollah lebih dahsyat daripada sindiran kakaktua yang ditertawakan kera yang bijak bersandiwara. Bersandiwara dalam sebuah mimpi yang terluka.




BIODATA PENULIS



Peter Augustine Goh ialah nama pena Iskandar Goh. Beliau menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Bidang penulisannya termasuklah cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera.



Pemenang Anugerah Pena Emas atau Golden Point Award (1995, 1999 dan 2003) ini juga telah memenangi banyak hadiah sastera dalam bidang cerpen, sajak, drama TV dan radio dan novel remaja.



Drama radio Gelombang Kasih dan sajak Balada Merdeka adalah antara karya yang disertakan dalam antologi Tekad dan Begitulah Kata-kata yang dijadikan teks sastera untuk GCE peringkat 'O' dan 'A' di Singapura.



Anugerah terbaharu yang dimenanginya ialah Hadiah Sastera Singapura 2016 bagi kategori fiksyen Melayu buat kumpulan cerpen Air Mata Di Arafah.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >