Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Nur Semenanjung

Dec 17, 2023 | 05:32 AM



MOHD IKHLASH ABDULLAH


Pak Jumaat masih ingat kenangan hidup di kampungnya sebelum tahun 1948. Ketika itu dia berusia dalam lingkungan enam tahun dan belum bersekolah. Keadaan hidup yang aman, damai dan sejahtera dalam kalangan penduduk Kampung Semenanjung cukup indah pada saat itu.

Terdapat kira-kira 50 keluarga yang menetap di kampung itu, yang saling kenal satu sama lain. Setiap penghuni bebas keluar masuk kampung, beriadah, bercucuk tanam, kenduri-kendara, menganjurkan kelas agama di surau Puteri Nuha dan sebahagian pula bertugas di bandar.

Ringkasnya, siang malam kegiatan di kampung itu cukup seronok dan meriah.

Namun sejak mulai tahun 1948, keselamatan dan ketenteraman setiap penduduk di kampung itu mula tergugat.

“Ada yang cedera, dilukai, diganggu, dihalang tanpa sebab musabab. Binatang betul!” Imbas Pak Jumaat sambil duduk bersandar pada sebuah kerusi usang di ruang tamu.

Kini usianya sudah menjangkau lebih 87 tahun, namun ingatannya masih segar perihal setiap peristiwa yang berlaku di Kampung Semenanjung dulu.

“Pada penghujung tahun 1947, sudah ada beberapa ekor anjing liar mula menceroboh masuk dari kampung seberang. Dek sifat liarnya, maka kehidupan aman penduduk kampung mula terganggu,” sambung Pak Jumaat sambil mengesat air mata yang mula mengalir lesu di pipinya.

“Tak kan tiada yang menghalau?” tanya Yusof bersunguh-sungguh. Beliau dalam proses membuat kajian perihal Kampung Semenanjung, yang kini sudah lenyap sama sekali, untuk ijazah sarjananya.

“Ada! Tapi penduduk kampung dituduh menganiaya binatang oleh PBB,” jawab Pak Jumaat ringkas.

“PBB?” tanya Yusof sedikit bingung.

“Persatuan Bela Binatang lah. PBB ini ada pengaruh, kuasa, ada kewangan. Maka kenalah tunduk atas telunjuknya.” Suara Pak Jumaat penuh kesal.

Tidak dinafikan pada ketika itu ada beberapa budak kampung mula membantai dan menghalau anjing-anjing liar dari kampung. Contohnya, mereka membuat lubang atau terowong sempit untuk menjeratnya. Ada anjing-anjing liar cuba melawan namun yang lain, terus sembunyi di dalam semak untuk mengelak daripada dipukul oleh budak kampung.

Malangnya, berita tersebut sampai pada pengetahuan PBB dan dengan segera laporan akhbar terus menyiarkan liputan kejadian tersebut.

Maka ramai penduduk dari kampung seberang mula mengutuk tindakan budak Kampung Semenanjung.

“Kenapalah tergamak pukul dan aniaya binatang yang tak berakal dan bersalah tu? Mana hilang sifat perikemanusiaan!”

Itulah antara cemuhan yang diterima oleh penduduk Kampung Semenanjung hingga ada penduduk seberang mula memulaukan kampung tersebut atas alasan mereka tidak bertimbang rasa terhadap binatang.

Dan sehingga hari itu, masih menjadi tanda tanya dari mana datangnya anjing-anjing liar itu. Kampung-kampung di seberang semuanya menafikan walaupun terdapat beberapa penduduk yang memelihara dengan memberi makan dengan harapan, anjing-anjing liar ini akan jinak dan bermanfaat untuk mereka. Malangnya, pembiakan anjing-anjing ini telah merebak masuk ke Kampung Semenanjung yang agak terpencil dari laluan jalan utama dan prasarana.

“Kita perlu berperikemanusiaan ke atas apa juga kehidupan di muka bumi ini.” Itulah kata-kata pegawai PBB ketika melawat Kampung Semenanjung setelah menerima aduan tentang penganiayaan anjing-anjing liar di kampung itu.

“Keselamatan kita terancam dek anjing-anjing liar ini. Ada yang digigit, diganggu tanpa belas, terutama anak-anak kecil di kampung ini. Siapa yang harus dipertanggungjawab akan hal ini? Mentelah lagi kos rawatan, kita yang kena keluarkan dari kocek sendiri. Ada yang sudi membantu ke?” tanya seorang penduduk kampung yang tidak berpuas hati.

“Dalam agama kalian, anjing boleh digunakan sebagai memburu dan menjaga harta-benda. Kenapa tidak digunakan khidmat anjing yang semula jadi ini?” tanya pegawai PBB, minta penjelasan.

“Dan sebelum inginkan anjing berkhidmat untuk awak, terlebih dahulu awak perlu kasi makan, santun dan pelihara hak binatang ini,” sambung pegawai PBB lagi.

Penduduk kampung yang rata-rata tidak berpelajaran tinggi sekadar tunduk mendengar saranan pegawai tersebut.

Lama-kelamaan, penduduk kampung mula melihat hasil daripada saranan pegawai PBB itu.

“Bertolak ansur biar bertempat, usah ditolak beransur-ansur akhirnya hidup merempat,” pesan Pak Jumaat pada Yusof.

Setiap rumah mula menggunakan khidmat anjing untuk menjaga rumah dan harta benda pemiliknya.

Tanpa disedari, semakin banyak anjing menghuni Kampung Semenanjung daripada pemilik dan penduduk asal kampung itu. Dan setiap anjing liar yang dibela oleh penduduk kampung mula menjaga kawasan rumah tuan masing-masing. Maka secara tidak langsung, tiada lagi pergerakan bebas penduduk untuk ke mana-mana kerana anjing-anjing ini akan mula menganggu jika melihat penduduk kampung mula keluar rumah.

Gara-gara itu, jiran tetangga mula bertengkar sesama sendiri.

“Kau jaga anjing kau tu, Mak Limah! Menyalak, memekak setiap pagi. Aku nak lalu ke surau waktu subuh pun naik takut,” luah Cik Kiah, janda anak satu.

“Kau lalulah belakang rumah kau untuk ke surau jadi anjing aku tak salak kau,” tengking Mak Limah tidak puas hati bila anjing peliharaannya dipersalahkan.

“Anjing kau orang itu berak merata, habis satu lorong kena sertu,” sahut Kak Hasnah, mengapi-apikan ketegangan antara Mak Limah dan Cik Kiah.

Lama-kelamaan, setiap jiran sudah tidak bertegur sapa antara satu dengan yang lain. Bertambah buruk apabila setiap keluarga mula berpuak-puak dan cuba menjatuhkan maruah dan harga diri sesama bangsa angkara dan punca anjing-anjing liar.

Akhirnya, aktiviti kampung yang suatu ketika dulu bebas dan rancak bergerak ke surau, berkebun, ziarah jiran tetangga atau keluar bertugas seolah-oleh bak sudah disukat oleh anjing-anjing liar ini.

Lama-kelamaan, satu persatu keluarga mula berpindah keluar dek tidak tahan akan kongkongan yang dihadapi saban hari. Kebebasan hidup bak sudah diragut oleh keadaan sekeliling. Tangan-tangan yang berdoa setakat berakhir di atas sejadah di dalam surau yang kian lengang.

Baki yang masih menetap adalah warga yang degil dan cuba membela nasib penduduk kampung serta terus-menerus berusaha untuk menghalau keluar anjing-anjing liar ini. Namun kemampuan dari aspek fizikal mahupun kewangan dan sokongan seringkali menghambat dan membantutkan usaha mereka. Akhirnya, penghuni Kampung Semenanjung yang masih di situ bak pepatah Melayu hidup segan mati tak mahu.

Kehidupan semakin melarat dek setiap langkah mereka disukat, disekat hingga akhirnya anjing-anjing liar bermaharajalela kembali apabila makan minum mereka tidak terjaga oleh pemilik binatang ini.

“Itulah hakikatnya. Kita mudah dikotak katik dan sering menerima apa-apa saja yang datang dari luar dengan hati terbuka. Kita tidak ada aspek syak wasangka dalam pemikiran hidup kita. Kita terima bulat-bulat tanpa mempersoalkan apa akibat atau natijahnya. Akhirnya sama ada kita dihalau atau kita dengan rela melangkah keluar dan berhijrah ke tempat lain seolah-oleh meminta suaka atas ehsan orang di tempat lain,” luah Pak Jumaat panjang lebar.

“Menang sorak dengan memboikot,memprotes akhirnya tanpa disedari, kampung tergadai dek angkara disulami dengan emosi memberontak yang membuta tuli semata-mata. Betulkan?” tanya Yusof bersemangat.

“Besar kemungkinan betul. Hakikatnya lihatlah saya ini, rumah terbiar, kampung dirampas akhirnya terpaksa melukut di rumah tumpangan sebatang kara minta simpati.”

Pak Jumaat mengakhiri sembangnya dengan Yusof lalu mula beredar menuju masuk ke ruang rehatnya.

“Kampung Semenanjung dah terkubur. Kini lokasinya menjadi tempat menggali bijih timah yang cukup menguntungkan.” Sempat Yusof berbisik pada Pak Jumaat.

“Dedak itu makanan binatang, tapi ada kalanya kita yang enak menikmatinya sehingga hilang rasa harga diri dan akhirnya, tiada bezanya kita dengan anjing liar.” Balas kata-kata Pak Jumaat cukup berbisa pada siapa yang mendengar dan merasainya.

Pak Jumaat yakin terdapat penghuni kampung yang secara senyap-senyap selama ini menjadi duri dalam daging untuk menghancurkan perpaduan Kampung Semenanjung demi sesuap dedak rasuah yang belum tentu mengenyangkan di akhirat.

BIODATA PENULIS


Mohd Ikhlas Abdullah lulusan diploma lanjutan daripada Politeknik Singapura dalam jurusan komputer dan bertugas sepenuh masa sebagai jurutera teknologi maklumat bersama sebuah syarikat tempatan.

Beliau anggota Asas’50 dan sering menyumbang tulisannya kepada Berita Harian. Antara cerpennya ialah ‘Nur Medina’, ‘Nur Lakshimi’, ‘Nur Organza’, ‘Nur Umairah Rezqi’, ‘Nur Maisarah’, ‘Nur Irfan, Nur Azizah, ‘Nur Samudera’, Nur Melor’ dan ‘Nur Nilam’.


Beliau pernah menyertai Peraduan Anugerah Sayembara Novel dan manuskripnya terpilih sehingga terhasilnya sebuah novel berjudul ‘KESAL’ terbitan Pustaka Nasional.


Adakala kita diuji dengan barang kesayangan kita yang terpaksa digadai lalu akhirnya ditebus oleh orang lain dan kemudian barang itu tercicir dan di penghujung kisah, dijumpai oleh orang lain dan dikembalikan pada pemilik asal.Hebat sungguh perancangan Tuhan sehingga yang tersurat dan tersirat tidak dapat dicerna oleh mata kasar manusia. Laporan berkaitan Nur Nawarrah Nur Mala




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >