Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Pagar Kapas

Jan 02, 2022 | 05:30 AM



TUAN BADRUL tersentak dan melihat sekeliling. Cahaya suria memenuhi seluruh kamar. Diraba lengan dan kaki. Dilihat telapak tangan. Diusap muka berulang kali. Ditarik nafas panjang-panjang dan dihembus perlahan-lahan. Tuan Badrul bergegas ke kamar tingkap. Dia menguak daun tingkap seluas-luas. Angin pagi menerpa segar. Tuan Badrul termangu. "Aku bermimpi."



Sudah menjadi kelaziman setiap pagi, Tuan Badrul akan duduk atas bonet kereta sambil menikmati keindahan alam, sebelum meneruskan perjalanan ke Syarikat Kapas Oh Kapas.



Pagi ini tidak terkecuali. Yang berbeza, Tuan Badrul menghampiri barisan pokok kapas. Sambil mencekak pinggang, dia memerhati kiri dan kanan, mencari kepastian. "Kalau semalam sebuah mimpi ngeri, kenapa aku berasa ia satu realiti?" hati kecil berbisik. Tuan Badrul kembali ke kereta. Dia rehat seketika di belakang stereng. Dari ekor mata, dia melihat satu fenomena terpancar di cermin tepi kereta. Sesuatu yang sangat merisaukan.



*******



"Kenapa kamu semua sembunyikan perkara ini? Jadi apa yang telah saya alami semalam bukan satu mimpi?''



"Kami hanya melakukan apa yang diajar dan dipesan oleh arwah Tuan Hashim."



Tuan Badrul semakin bingung. Kenapa arwah Tuan Hashim melakukan demikian? Mungkin ini satu cara melindungi tempat ini dari diketahui ramai. Tuan Hashim seorang pengasas Syarikat Kapas Oh Kapas dan seluruh infrastruktur Pulau Putih. Seorang yang sangat bijak dan berwibawa.



"Saya mahu tahu semuanya. Selagi saya masih seorang ketua di sini, saya mahu tahu semua rahsia. Saya tidak mahu menjadi seorang ketua bodoh!"



Telinga mereka seolah-olah tuli. Masing-masing sibuk melayan telefon bimbit. Tuan Badrul naik bingit. Dia tidak faham kenapa perkara seperti ini harus dirahsiakan. Adakah mereka anggap ini suatu keadaan yang enteng, tidak merbahaya? Bagaimana dia, sebagai seorang ketua, dapat memulihkan keadaan kalau kakitangan yang ada di sekeliling meja rundingan tidak memberi kerjasama sepadu.



Suara semboyan mengaum lantang, memecah kesepian. Secara automatik, semua bangkit dan bergegas ke arah pintu. Tuan Badrul rasa lengan kanannya ditarik, memaksa dia turut berlari lintang pukang, termengah-mengah mengikuti rentak deras dalam gelap-gelita.



Sedangkan kaki berlari pantas, tangan menutup kepala, melindungi diri daripada serpihan kaca. Setapak melangkah keluar dari ruang pejabat, tubuh mereka ditarik oleh kuasa besi berani ke hujung bangunan, lalu jatuh bergolek, menuruni papan gelongsor ke hamparan ambal lembut.



Dalam gelap gelita, mereka berengsot ke belakang, memberi ruang kepada yang lain. Sebaik saja daun pintu dikatup, ruang bawah tanah menjadi terang dan hawa dingin berfungsi serta-merta.



Tuan Badrul duduk menyandar, memeluk lutut kaki, ketakutan. Bencana apakah yang sedang melanda?



*******



"Saya tidak rasa saya layak."



"Tersangat layak. Engkau adalah satu-satunya anak saudara aku yang paling layak. Aku tidak ada zuriat dan kau anak yatim piatu. Semenjak engkau kecil, aku mendidik dan menjaga kau. Sekarang sudah tiba masa untuk kau ambil alih. Aku sudah semakin uzur."



"Saya tidak ada keyakinan. Ini satu tanggungjawab yang besar. Sementelah saya baru pulang dari luar negeri."



"Engkau harus yakin. Yakin! Tempat ini sudah menjadi sebahagian nyawaku. Aku tidak akan menyerahkan kepada engkau kalau aku tidak yakin dengan kebolehan engkau."



*******



Sejam sudah berlalu. Bunyi semboyan mengaum sekali lagi. Pintu ruang bawah tanah dibuka. Satu persatu merangkak ke atas. Keadaan sekitaran ranap, dipenuhi debu hitam tebal.



"Jahanam! Mereka mesti diajar! Mesti dimusnahkan!"



Mereka memekik bagai dirasuk. Masing-masing mencapai kayu dan besi. Entah dari mana datangnya kayu dan besi, Tuan Badrul tidak pasti. Yang pasti dia mesti menenangkan keadaan.



"Berhenti! Berhenti!"



Mereka tercegat seketika dan berpusing ke arah Tuan Badrul. Wajah mereka serupa 'zombie'. Sungguh menyeramkan. Hati Tuan Badrul berdebar kencang. Dia harus memberanikan diri.



"Berhenti! Kamu semua hendak ke mana?"



"Tanjung! Tanjung!" serentak mereka bersuara.



Tuan Badrul bertekad mengikuti mereka. Banyak perkara yang dia tidak tahu dan belum tahu. Sudah masuk suku ke dua dia menerajui syarikat Kapas Oh Kapas dan Pulau Putih, tetapi ini kali pertama dia alami bencana dahsyat dan mengetahui adanya ruang tersembunyi bawah tanah dan kini, Tanjung.



******



"Tuan, itulah penyebab bencana! Mereka sememangnya pendengki!"



Nun jauh seberang, kelihatan sebuah pulau dikelilingi tembok besi. Kepulan halus asap hitam berarak ke arah Tanjung. Para pekerja berlari di sebalik bongkah besar, hanya Tuan Badrul tetap teguh berdiri. Dicapai telefon bimbit yang sedari tadi hilang isyarat, kini kembali pulih. Di Google perihal Pulau Hitam. Terpacul wajah dan nama yang sangat-sangat dikenali. Kini Tuan Badrul faham kenapa perkara ini dirahsiakan. Ditekan nombor telefon dengan harapan dapat dihubungi.



"Kenapa aku harus mengalah sedangkan kamu tidak memberi peluang. Saya tidak tahu menahu perihal ini. Saya berada di luar negara selama tujuh tahun. Sebaiknya kita berunding."



"Tidak ada apa yang perlu dirundingkan. Tuan Hashim telah menafikan kehadiran kami, pulau kami, Pulau Hitam. Dia teramat ego. Tanpa bahan pembakar kami, semua akan berada dalam kegelapan dan kesemua teknologi tidak berfungsi!"



"Saya faham. Tetapi kenapa harus menyembur asap hitam ke arah pulau kami?



"Kami tidak ada kuasa mengawal pergerakan angin."



Sambungan telefon terputus. Tuan Badrul melihat ke sebelah kiri Tanjung. Ada sebuah tembok kayu tinggi. Beberapa buah kipas besar dipasang di tembok tersebut. Kipas-kipas itu berfungsi mengalihkan asap hitam jauh dari Pulau Putih. Kini kipas-kipas tersebut rosak akibat ketebalan debu-debu hitam. Pasti mereka yang berada di Pulau Hitam sengaja menyembur asap ke Pulau Putih. Itu yang diterangkan oleh salah seorang kakitangan.



Tuan Badrul harus memikirkan satu penyelesaian yang lebih berkesan untuk jangka panjang. Penyelesaian yang memberi sama-sama menang. Pulau Putih dan Pulau Hitam dapat hidup harmoni. Alam sekitar tidak dikotori dan kembali bersih. Perusahaan masing-masing terus maju jaya. Paling utama kesihatan para kakitangan dan para pekerja terjamin.



******



Setelah mengarah para kakitangan dan pekerja ladang membersihkan Pulau Putih, Tuan Badrul duduk termenung di atas bungkah besar dan tinggi. Dari sini dapat lihat dengan jelas Pulau Hitam yang hanya dipisahkan oleh sebatang selat. Di sebalik tembok besi yang gagah tetapi suram, kelihatan beberapa buah serombong menghembus asap hitam tegak ke atas. Pagi ini tidak ada hembusan angin. Mungkin betul kata ketua Pulau Hitam, pergerakan angin bukan dalam kuasa kawalan mereka.



Namun mesti ada cara untuk melindungi Pulau Putih dari angin, sekiranya angin bertukar arah. Tidak mahu peristiwa semalam berulang lagi. Habis musnah ladang kapas. Sebelum ini, para peladang dapat melindungi ladang kapas dengan selimut plastik besar. Tetapi semalam bencana datang secara mengejut. Kalau tidak dilakukan sesuatu dengan segera, Tuan Badrul risau tidak dapat memenuhi pesanan-pesanan yang semakin meningkat akibat kemusnahan pokok kapas. Dia mesti cuba berunding dengan ketua Syarikat Setia Membakar, Puan Lailawati.



Satu ketika dulu, Puan Lailawati hampir menjadi teman hidupnya, kalau tidak kerana kesombongan keluarga Puan Lailawati. Dia dihina dan dikatakan kurang berwibawa. Dia membawa hati remuk merantau jauh selama tujuh tahun sehingga arwah Tuan Hashim merayu agar dia kembali. Dari perbualan ringkas, Tuan Badrul dapat rasakan kemarahan Puan Lailawati dan pasti tidak akan bekerjasama.



Tuan Badrul berjalan kaki menuju ke tempat kediaman arwah Tuan Hashim yang kini miliknya. Diperhatikan para kakitangan dan pekerja ladang bertungkus lumus memotong kapas-kapas yang rosak dan dimasukkan ke dalam guni besar. Guni-guni ini dipunggah ke atas sebuah lori. Tuan Badrul sempat bertanya dan difahamkan kapas-kapas ini disimpan dalam sebuah gudang. Menurut arwah Tuan Hashim, pasti ada kegunaannya pada suatu hari.



Tuan Badrul menelaah maklumat yang diterima. Dia perhatikan sekeliling dengan lebih fokus. Ada sesuatu yang menarik perhatian dan ini mencetuskan buah fikiran. Tuan Badrul bergegas ke tempat kediaman untuk melakarkan sebuah rancangan.



*******



Semangat bekerjasama tidak pudar walaupun terpaksa bertungkus-lumus dua puluh empat jam. Tuan Badrul sama-sama memegang cangkul, meruntuhkan tembok kayu dan mendirikan pagar-pagar besi berlapis-lapis. Setiap lapis ditutupi dengan kapas-kapas rosak sepenuhnya. Para kakitangan dan pekerja ladang tidak bersuara. Mungkin sudah menjadi satu budaya ikut saja perintah tanpa menyoal.



Tuan Badrul tahu Tuan Hashim seorang yang tegas tetapi tidak menyangka sehingga membentuk perasaan takut di kalangan mereka. Dia berikrar akan merubah budaya yang kurang sihat. Melihat hasil projek, mereka tersenyum. Hanya menunggu masa jika ia berfungsi sebagaimana yang mereka harapkan. Kini mereka perlu berehat.



Suara semboyan mengaum. Seperti sudah dilatih, semua bergegas ke tempat persembunyian dan menanti. Tuan Badrul berdoa. Kalau tidak seratus peratus, sekurangnya tidak hingga memusnahkan. Debaran jantung makin kencang menantikan bunyi semboyan ke dua.



*******



"Syabas! Cara engkau dan cara arwah Tuan Hashim jauh berbeza. Kini Pulau Putih tidak perlu khuatir lagi akan hembusan asap hitam. Pagar Kapas adalah satu gagasan yang sangat cemerlang. Ia menapis segala debu hitam. Engkau tidak menganiayai kami dengan memasang kipas dan menghembuskan kembali debu ke arah Pulau Hitam. Terima kasih. Tetapi ini bukan bermakna kita sudah boleh berjabat tangan."



Tuan Badrul termangu. Suara Puan Lailawati serau. Kedengaran bunyi batuk kronik dihujung talian. Tuan Badrul berharap penghuni dan ketua Pulau Hitam berlembut hati agar dia dapat membantu.




BIODATA PENULIS



Pasidah Rahmat mula menulis pada awal 1983 dengan cerpen pertama berjudul ‘Salah Sangka’ yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 20 Februari 1983.



Cerpen bertajuk ‘Yang Sebenarnya...’ ada dalam himpunan cerpen ‘Terminal Terakhir’.



Beliau antara 35 peserta peraduan Mencari Kristal anjuran bersama BH dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) yang diadakan pada 2016 dan 2019.



Beberapa cerpen tersiar di BH dan ruang FB Cukaria. Antara cerpennya ialah ‘Bang Beca’ terpilih di dalam antologi ‘Gerimis Di Kota Pelangi’ anjuran Asas ’50.



Sebuah lagi cerpen ‘Nasib si Pengantin’ ada dalam antologi cerpen Cukaria All Star terbitan FIXI dan baru-baru ini cerpen ‘D.A.I.M’ dalam antologi cerpen, TRI terbitan JS Adiwarna.



Kini mula menulis sajak, syair dan sonian dan masih belajar menulis haiku.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >