Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pantun nasihat jaga adab ketika beraya

Ingatan bersama semasa berkunjung di Hari Raya dengan berpandukan pantun tradisional Melayu
Mar 30, 2025 | 5:30 AM
Hari Raya
Tingkah laku yang beradab serta berbudi perlu sama dititikberatkan dalam sama-sama kita mengekalkan tradisi Hari Raya. - Foto ISTOCKPHOTO

Hari Raya adalah antara hari yang ditunggu-tunggu oleh orang Melayu kita.

Setiap kali tibanya Hari Raya, saya percaya ramai menanti-menantikan saat berkunjung-kunjungan untuk mengeratkan silaturahim sesama sanak saudara atau sahabat handai yang sudah lama tidak bersua sambil menikmati hidangan tradisi yang lazat.

Jaga Makan

Tiada yang lebih membahagiakan selepas sebulan berpuasa selain menikmati juadah yang terhidang di meja.

Daripada makanan tradisi Hari Raya seperti rendang, sambal goreng, sayur lodeh, ketupat sehingga ke kuih-muih dan air manis, semuanya begitu menggoda mata dan selera seperti dalam pantun dua kerat berikut:

Gendang gendut tali kecapi,

Kenyang perut senang hati.

Mana tidaknya hati berasa bahagia selepas menikmati juadah enak yang terhidang di meja.

Ini kerana makanan mampu merangsang hormon ‘gembira’ iaitu dopamin dan serotonin dalam badan kita dan mengurangkan rasa ketidakselesaan akibat kelaparan.

Namun, dalam keasyikan menikmati hidangan, kita harus menjaga adab dan tidak bersikap gelojoh dengan mengambil makanan dengan banyak, terutama ketika menjamu selera di rumah orang.

Selain itu, pemilihan makanan yang seimbang juga penting kerana kebanyakan hidangan tradisi Hari Raya mengandungi kadar lemak dan kolesterol tinggi.

Tak semena-mena penyakit kronik boleh datang menyerang diri sedang kita seronok beraya disebabkan nafsu makan sebagaimana dipantunkan orang:

Ikan todak makan meranggung,

Sedap tekak badan menanggung.

Selain menjaga pemakanan, Hari Raya juga adalah masanya untuk kita mengingati mereka yang kurang bernasib baik.

Sedang kita menikmati hidangan yang menyelerakan sematkan pantun berikut dalam hati:

Andainya laut sudah tenang,

Cepat-cepat memasang layar;

Andainya perut sudah kenyang,

Ingat-ingat orang yang berlapar.

Perut kita mungkin kenyang, tetapi masih ada ramai lagi yang kelaparan.

Oleh yang demikian, Hari Raya ini adalah peluang terbaik untuk kita melakukan amalan mulia seperti bersedekah untuk kita berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan kepada golongan yang memerlukan.

Jaga Kata

Hari Raya juga merupakan waktu kita bertemu sanak saudara dan rakan taulan, yang mungkin lama sudah tidak berjumpa.

Masa inilah si teruna dan dara yang masih belum bertemu pasangan, ditanya soalan cepumas daripada saudara yang lebih tua: Bila hendak kahwin?

Yang sudah berkahwin tetapi belum ada cahaya mata pula akan ditanya: Bila pula hendak ada anak?

Sebenarnya, jawapan yang akan diberi sudah dapat dijangka yang menanya, sebagaimana diungkapkan dalam pantun tradisi ini:

Sudah gaharu cendana pula;

Sudah tahu bertanya pula.

Itulah cara orang lama membuka bicara dengan anak-anak buah yang jarang mereka jumpa, dengan niat untuk beramah mesra.

Tanpa disedari, soalan peribadi sebegini boleh menggores hati yang disoal, kerana kita tidak tahu sejauh mana usaha seseorang itu mencari pasangan hidup atau pun mendapatkan cahaya mata, tetapi masih belum diberikan rezeki.

Jadi elakkan berbicara perkara yang sensitif berkaitan hal peribadi, rupa paras, rezeki atau mengungkit kesilapan lalu seseorang.

Penerimaan manusia kepada sesuatu topik berbeza kerana:

Lain dulang lain kakinya,

Lain orang lain hatinya.

Mungkin kata-kata yang dilontarkan tidak membawa maksud apa-apa kepada diri yang menanya, tetapi ia boleh memberikan kesan yang mendalam terhadap orang yang mendengarnya sehingga ada pantun seperti ini:

Tuan ketam padi pulut,

Saya ketam padi Jawi;

Tuan berkata sedap di mulut,

Orang yang dengar sakit di hati.

Akhir Kata

Sebagai masyarakat yang menjunjung adat dan sebagaimana kita masih berusaha mengekalkan budaya tradisi Hari Raya sehingga ke hari ini, tingkah laku yang beradab serta berbudi juga perlu sama dititikberatkan.

Janganlah kita menjadi manusia tidak berbudi yang dipandang rendah umpama besi berkarat yang tidak dipandang orang seperti mana dalam pantun:

Bunga melati bunga di darat,

Bunga seroja di tepi kali;

Hina besi kerana karat,

Hina manusia tidak berbudi.

Sebagai masyarakat yang menjunjung adat dan sebagaimana kita masih berusaha mengekalkan budaya tradisi Hari Raya sehingga ke hari ini, tingkah laku yang beradab serta berbudi juga perlu sama dititikberatkan. Janganlah kita menjadi manusia tidak berbudi yang dipandang rendah umpama besi berkarat yang tidak dipandang orang.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg