Pekerja di Singapura mencatatkan pertumbuhan pendapatan pada 2026, namun pada kadar lebih perlahan, selepas mengambil kira faktor inflasi yang lebih tinggi.

Pendapatan median sebenar bagi penduduk yang bekerja sepenuh masa meningkat sebanyak 2.2 peratus pada 2026 – turun daripada 4.1 peratus pada 2025.

Bagi pekerja pada paras persentil ke-20 dalam agihan pendapatan, pertumbuhan pendapatan sebenar mencatatkan penurunan kepada 1.3 peratus, berbanding 3.6 peratus pada 2025.

Data tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 27 November dalam laporan awal tenaga kerja tahunannya.

Angka berkenaan merupakan data awal memandangkan data inflasi bagi keseluruhan 2026 masih belum tersedia.

MOM memaklumkan bahawa pertumbuhan lebih perlahan itu sebahagiannya mencerminkan langkah syarikat yang lebih berhati-hati dalam menawarkan kenaikan gaji pada kadar inflasi yang lebih tinggi.

Harga pengguna diunjurkan meningkat sekitar dua peratus pada 2026, berbanding 0.9 peratus pada 2025.

Kementerian itu berkata meskipun pekerja bergaji rendah mencatatkan kenaikan lebih perlahan pada 2026, pendapatan mereka telah meningkat lebih pantas berbanding pekerja pada paras median sepanjang tempoh lima dan 10 tahun kebelakangan ini.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Golongan tersebut akan terus disokong menerusi langkah gaji progresif, tambahnya.

MOM menyatakan bahawa mutu pekerjaan kekal stabil secara keseluruhannya meskipun permintaan tenaga kerja semakin perlahan dan ketidaktentuan luaran terus berpanjangan.

Golongan pekerja merangkumi 88.2 peratus daripada keseluruhan penduduk yang bekerja pada 2026.

Dalam kalangan pekerja penduduk setempat, seramai 91 peratus memegang jawatan tetap, meningkat sedikit berbanding 90.8 peratus pada 2025.

Peratusan pekerja yang terikat dengan kontrak tempoh tetap (fixed-term) kekal stabil pada kadar 7.1 peratus, manakala pekerjaan sambilan atau berdasarkan permintaan (on-call) terus menyusut kepada 2 peratus.

Sepanjang dekad lalu, terdapat peralihan dalam kalangan pekerja kontrak tempoh tetap ke arah kontrak lebih panjang dengan tempoh sekurang-kurangnya setahun, menurut kementerian itu.

Walaupun kadar pengangguran di Singapura kekal rendah secara keseluruhan, terdapat tanda-tanda tekanan lebih ketara terhadap pekerja dalam peranan bukan profesional.

Kadar pengangguran dalam kalangan pekerja bukan golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (bukan PMET) meningkat daripada 2.8 peratus pada 2025 kepada 3.5 peratus pada 2026 – kembali ke paras yang dicatatkan pada 2023 dan 2024.

Sebaliknya, kadar pengangguran dalam kalangan PMET kekal stabil secara keseluruhannya pada 2.7 peratus.

Kadar pengangguran jangka panjang – yang mengukur peratusan pekerja yang menganggur sekurang-kurangnya 25 minggu – meningkat sedikit kepada 0.7 peratus bagi kedua-dua kumpulan PMET dan bukan PMET.

Dalam kalangan bukan PMET, peningkatan tersebut tertumpu kepada golongan pekerja berusia 50 tahun dan ke atas. 

Penduduk yang berusia dalam lingkungan umur 50-an mencatatkan bilangan pemberhentian kerja tertinggi, meningkat daripada 2.4 kepada 3.6 bagi setiap 1,000 pekerja antara suku kedua 2025 dengan suku kedua 2026.

Kadar kemasukan semula mereka ke alam pekerjaan dalam tempoh enam bulan juga secara konsisten berada di bawah paras purata keseluruhan.

MOM dalam satu taklimat pada 27 November memaklumkan bahawa peningkatan kadar pengangguran bagi golongan bukan PMET berpunca daripada kesukaran kumpulan pekerja lebih berusia untuk mendapatkan pekerjaan.

Keadaan pengambilan pekerja dalam sektor tertentu turut menyusut.

Kadar pengangguran jangka panjang dalam sektor yang lebih terdedah kepada ekonomi global – seperti pengilangan dan perdagangan borong – meningkat daripada 0.7 peratus pada 2025 kepada paras tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu 0.9 peratus pada 2026.

Dapatan dalam laporan awal tenaga kerja itu diperoleh daripada Tinjauan Tenaga Kerja Menyeluruh tahunan, yang merangkumi sampel mewakili 33,000 isi rumah.

Sebanyak 27,292 isi rumah memberi respons terhadap tinjauan yang dijalankan antara Mac hingga Julai itu.