Aktivis sastera muda menyerlah di sambutan Hari Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2024 dengan penyampaian ceramah, persembahan lagu dan tarian serta pendeklamasian sajak dalam acara yang berlangsung selama dua jam di The Arts House pada 17 Ogos
Golongan belia ini merupakan Sahabat Sastera yang dilantik Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) demi menghidupkan semula dan menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan Melayu di Singapura.
Sejak daya usaha itu bermula pada 2021, seramai 29 belia telah dilantik sebagai Sahabat Sastera.
Antara mereka ialah lulusan ijazah Sarjana dari Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Miranti Silasudjana, yang menyampaikan ceramah berjudul Tanah Air Sastera.
Seorang lagi ialah mahasiswa NUS, Encik Muhammad Hariz Emran, yang menyampaikan satu persembahan tarian sebagai penutup kepada acara tersebut.
Acara Hari Mastera dikendalikan oleh MBMS dan diadakan buat kali kedua pada 2024 setelah diadakan buat julung kalinya pada 2023. Ia bertujuan mengiktiraf usaha Mastera yang telah dijalankan sejak 1995.
Pada sambutan Hari Mastera, tokoh-tokoh sastera Melayu Singapura, ahli akademik dan Sahabat Sastera berkumpul untuk menyampaikan idea dan mendeklamasikan puisi terpilih yang ditulis oleh penulis terkemuka dari Nusantara.
Singapura menyertai Brunei, Indonesia dan Malaysia sebagai anggota Mastera pada 2012. Mastera, antara lain, mempromosikan sastera Melayu pada peringkat rantau melalui pelbagai program seperti seminar dan bengkel.
Pada 2025, Singapura akan menjadi tuan rumah bagi kegiatan Mastera dan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (Sakat).
“Penyertaan Singapura dalam Mastera membuka peluang kepada MBMS untuk menghantar belia-belia kita mengikuti program-program Mastera seperti Program Penulisan Mastera yang dikelolakan oleh Mastera Indonesia,” kata pengerusi MBMS, Encik Mohd Fahmi Aliman, dalam ucapannya di acara Hari Mastera itu.
“Setiap tahun, MBMS juga menghantar wakil-wakil untuk membentangkan makalah dalam Sakat. Acara hari ini juga telah disusun untuk menampilkan belia dan aktivis sastera muda kita,” tambahnya.
Encik Fahmi, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, meluahkan harapan lebih banyak peluang, seperti Hari Mastera, dapat disediakan untuk memupuk minat belia dalam sastera dan budaya Melayu.
Beliau juga berharap Sahabat Sastera dapat terus mengamati dan menghasilkan karya atau kritikan sastera agar dapat membantu memperkukuh pembangunan sastera di Singapura dan di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Persuratan MBMS, Dr Azhar Ibrahim, dalam ucapannya berkata sastera terdiri daripada penciptaan kreatif serta wacana dan kritikan dengan kedua-duanya mesti berjalan beriringan.
Hari Mastera bertujuan memaparkan kedua-dua bahagian itu, katanya.
“Umumnya majlis ini digerakkan oleh para ahli dalam Sahabat Sastera. Semuanya muda-muda. Hari Mastera adalah hari untuk kita merai dan menyambut sasterawan kita. Kita bergabung, bergotong-royong agar Mastera menjadi pemacu dalam kita membangunkan sastera tanah air dan serantau,” katanya.
Acara Hari Mastera itu turut menampilkan sasterawan mapan yang juga Editor Bersekutu dan Ketua Penyunting Naskhah Berita Harian/Minggu, Encik Chairul Fahmy Hussaini, serta Cik Kamaria Buang, yang mendeklamasikan karya puisi mereka sendiri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg