Penting terap literasi awal bagi kanak-kanak

SEBELUM kanak-kanak mencapai usia di mana mereka boleh membaca dan menulis, adalah penting untuk membentuk kemahiran literasi awal mereka.

Ini melibatkan minat untuk membaca dan meningkatkan pendedahan mereka terhadap buku dan bahasa.

Dalam Bengkel Memupuk Minat Membaca - Kepentingan dan Manfaat Puisi Berirama dan Lagu untuk Kanak-kanak anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) yang dikelolakan pustakawannya Cik Nur Fitri Muhammad Syafran, literasi awal diterangkan sebagai penyediaan kanak-kanak untuk belajar membaca dan menulis.

Penguasaan bahasa, kebolehan dan kecekapan membaca dan menulis memerlukan kanak-kanak untuk menguasai beberapa kemahiran awal.

Dan tiga tahun pertama seorang kanak-kanak adalah masa paling genting.

Manakala, aktiviti kehidupan seharian mereka membentuk kemahiran literasi awal kanak-kanak.

Cik Nur Fitri juga menjelaskan di bengkel ini, bahawa literasi awal penting dalam perkembangan otak.

Menurut kajian, otak anak-anak hanya tumbuh 25 peratus waktu dilahirkan.

Interaksi seperti memeluk, menyuap, berbual, membaca akan membantu lagi 75 peratus untuk berkembang. Lebih banyak rangsangan, lebih pesat perkembangannya.

Untuk mengembangkan kemahiran literasi awal kanak-kanak, terdapat lima amalan yang ibu bapa boleh gunakan sebagai panduan ketika membaca dengan anak-anak mereka.

Ia adalah:

  • Bermain - Adalah penting untuk memastikan pengalaman membaca dan pembelajaran menyeronokkan dan positif untuk mengekalkan minat kanak-kanak. Ibu bapa boleh menggunakan buku-buku dengan unsur-unsur bermain seperti "lift-the-flap", sentuhan, serta "pop-up" untuk menjadikannya lebih interaktif.
  • Tulis - Ibu bapa boleh membiarkan anak mereka menulis atau melukis huruf, nombor, bentuk atau objek yang mereka lihat dalam buku itu, untuk membantu mereka mengenali watak-watak. Ibu bapa juga boleh menggunakan buku mengenai nombor, abjad, bentuk, saiz, warna dan lain-lain, untuk memperkenalkan anak-anak mereka kepada konsep yang berbeza.
  • Percakapan - Ibu bapa digalakkan membaca kepada anak-anak mereka, untuk membantu mereka mempelajari bahasa dan mengambil kata-kata baru. Ini akan membolehkan kanak-kanak mengembangkan pemahaman mereka terhadap bahasa, yang akan menyokong pembelajaran kata-kata bertulis mereka.
  • Nyanyi - Ibu bapa boleh menyanyi puisi berirama kepada anak-anak mereka, untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan mereka terhadap bunyi dalam kata-kata. Ini akan membolehkan kanak-kanak mengembangkan pemahaman mereka terhadap bahasa dan belajar membaca. Ibu bapa boleh merujuk kepada buku seperti puisi berirama kanak-kanak.
  • Baca - Adalah penting bagi ibu bapa membaca bersama anak-anak mereka, kerana ia mengembangkan perbendaharaan kata, pemahaman, dan pengetahuan umum yang diperlukan untuk meningkatkan lagi kemampuan mereka untuk membaca ketika mereka membesar. Ibu bapa boleh menggunakan buku mengenai pelbagai topik yang sesuai untuk anak kecil, seperti pekerjaan dan haiwan.

Bengkel ini memberi tumpuan tentang bagaimana puisi berirama dan lagu memainkan peranan penting dalam pembentukan kemahiran literasi awal.

Mendengar berbagai-bagai bunyi menerusi persekitaran sekeliling dan dalam puisi berirama membantu dalam pembinaan asas kemahiran membaca dan menulis.

Kanak-kanak memang suka mendengar lagu yang penuh dengan rima, ritma dan pengulangan.

Cik Nur Fitri menerangkan puisi berirama mengandungi perkataan-perkataan berima.

Kosa kata dan kandungan lagu yang mudah. Manakala, lagu kanak-kanak tidak semestinya berima.

Ia mempunyai kosa kata dan kandungan lagu yang mudah dan ianya dinyanyikan serta menggunakan pengulangan.

Kedua-duanya mudah difahami dan diikuti oleh kanak-kanak melalui bunyi, pengulangan dan melodi.

Puisi berirama dan lagu kanak-kanak penting dari segi perkembangan kognitif.

Menurut Cik Nur Fitri ianya membantu menambahkan perbendaharaan kata dan dalam memahami bagaimana perkataan dibentuk contohnya kesedaran fonologi seperti suku kata.

Kanak-kanak juga mempelajari tentang rentak dan irama lantas mengukuhkan kemahiran motor halus dan kasar serta daya ingatan mereka.

Puisi berirama dan lagu kanak-kanak turut mempunyai ciri-ciri naratif yang dapat memupuk minat membaca.

Dari segi sosial pula, ia dapat mengukuhkan kemahiran berkomunikasi, membina keyakinan diri serta merapatkan hubungan ibu bapa dan anak apabila dilakukan bersama.

Di sini peranan ibu bapa dapat membina keyakinan anak-anak mereka.

Ibu bapa boleh menyanyikan lagu dan puisi berirama perlahan-lahan dengan sebutan dan nada yang jelas.

Mereka juga boleh menggunakan alatan (prop) dan sertakan anak dalam aktiviti yang melibatkan gerakan.

Puisi berirama dan lagu kanak-kanak berkesan dalam membantu kanak-kanak belajar konsep baru seperti haiwan dan bentuk.

Ibu bapa digalakkan untuk mencipta lagu mereka sendiri dengan menukar lirik dan dengan menyesuaikan melodi dari lagu-lagu kanak-kanak yang popular.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh memasukkan bunyi dan nama haiwan dalam lagu untuk memperkenalkan konsep haiwan.

Untuk mengajar kanak-kanak bagaimana mengenal pasti suku kata, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak mereka untuk tepuk tangan mereka setiap kali suku kata diucapkan.

Cik Noor Ayu Md Amin, 34 tahun, seorang jururawat, serta suaminya Encik Imran Eusoff, jururawat pelatih, 36 tahun, merupakan antara peserta dalam bengkel ini.

Mereka mempunyai dua orang anak perempuan berumur 5 dan 2 tahun.

Anak mereka yang sulung memahami bahasa Melayu kerana bersekolah di tadika yang mengajar bahasa Melayu.

"Dia faham Bahasa Melayu tetapi membalas dalam bahasa Inggeris. Memandangkan dia dah faham, kami perlu galakkan lagi," kata Cik Noor Ayu dan menambah seperti disarankan bengkel ini, mereka boleh menggunakan lebih banyak aktiviti fizikal agar anak-anaknya lebih bersemangat dan dapat membina keyakinan diri mereka melalui aksi dan permainan.

Dan memandangkan tempoh tumpuan mereka pendek, Encik Imran pula berpendapat mereka perlu lebihkan masa yang berkualiti dan bukan kuantiti.

Bengkel interaktif ini dianjurkan bersempena bulan bahasa di Perpustakaan Daerah Tampines untuk para pendidik dan ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak berumur di bawah 6 tahun bagi memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak melalui penglibatan ibu bapa.

  • Nenie Kairuman seorang penulis sambilan.

Galeri Foto