Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta buku Melayu sedia aneka acara, pameran, jualan buku

Aug 14, 2024 | 4:14 PM
Pesta Buku Melayu Singapura 2024 diadakan dari 16 hingga 18 Ogos di Wisma Geylang Serai.
Pesta Buku Melayu Singapura 2024 diadakan dari 16 hingga 18 Ogos di Wisma Geylang Serai. - Foto FACEBOOK PESTA BUKU MELAYU SINGAPURA

Pengunjung ke Pesta Buku Melayu Singapura 2024 berpeluang meninjau beberapa esei dan wawancara oleh budayawan tersohor, Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, di sebuah pameran mini yang diadakan sempena ulang tahun ke-100 tokoh Nusantara itu.

Mereka juga dapat melihat paparan yang menyorot sejarah dan budaya Melayu di Pulau Penyengat di Indonesia, dan menyertai permainan, kuiz dan kegiatan kraf berkaitan budaya Melayu.

Pesta dari 16 hingga 18 Ogos di Wisma Geylang Serai itu bertema ‘Mengenang Yang Dahulu, Mendukung Yang Baharu’ dan mengundang masyarakat meraikan kerencaman dalam penerbitan bahasa Melayu Singapura melalui pelbagai acara, pameran mini dan jualan buku.

Acara anjuran Persatuan Kemuning itu menampilkan bilangan reruai terbanyak sejak ia dimulakan pada 2019.

Kegiatan lain yang pengunjung boleh sertai termasuk bengkel dan sesi perkongsian sastera yang menampilkan pengkarya baru muncul dan yang berpengalaman dari Singapura dan Malaysia, seperti Hassan Hasaa’ree Ali, Jamal Ismail, Farihan Bahron, Fahd Razy dan calon Hadiah Sastera Singapura 2024.

Pengunjung juga dapat mengikuti perkongsian oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) tentang koleksi bahasa Melayu, trend peminjaman buku dan topik serta karya yang diharap dapat ditambah ke dalam koleksi mereka.

Pesta itu juga akan memperkenalkan aplikasi membaca merangkumi fungsi audio, merakam bacaan dan kamus elektronik, yang dapat membantu pengguna menghayati cerita dan mempelajari bahasa Melayu.

Sebanyak 11 reruai buku pula menawarkan pelbagai buku bahasa Melayu dan dwibahasa dalam pelbagai format serta genre buat pembaca pelbagai peringkat usia.

Sebagai contoh, ibu bapa dan pendidik boleh mendapatkan bahan bacaan untuk kanak-kanak bawah tujuh tahun dalam bentuk buku papan dan buku bergambar. Pelajar dan pembaca remaja dan dewasa pula boleh memilih buku cereka, puisi dan ilmiah.

Pelbagai acara percuma dan berbayar untuk kanak-kanak dan keluarga disediakan, seperti sesi bercerita berdasarkan buku seperti ‘Bersedia Untuk Ke Sekolah’ dan ‘Butang Baju Danial’; persembahan lagu yang dikarang berdasarkan cerita terbitan Ungu Pen; dan sesi bual buku ‘HaiKucing!’ dan ‘Nenek Masak Apa?’.

Pengunjung juga dapat mengikuti jejak ilmu yang menyediakan cabaran dan maklumat tertumpu pada STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) anjuran KidzNizmo.

Dua penyair daripada generasi berbeza, Kamaria Buang dan Fadhli Fadzil, pula akan berkongsi pengalaman dan pandangan tentang pengarangan, penyampaian dan penerimaan puisi. Acara pada 17 Ogos itu akan disertai persembahan puisi oleh penyair remaja.

Pelbagai bengkel turut disediakan, seperti bengkel yang mengajak peserta mencipta dunia alternatif yang kaya dan menarik, dan bengkel cara membuat komik.

Bengkel penulisan puisi dan mengenali jenis gaya bahasa dalam karya fiksyen juga dianjurkan.

Sementara itu, tujuh buku cetak dan sebuah koleksi buku digital dalam bahasa Melayu akan dilancarkan di pesta buku itu.

Maklumat mengenai kegiatan di pesta itu boleh didapatkan di Facebook dan Instagram Pesta Buku Melayu Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg