Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Petua cerpen penulis mapan

Berita Harian dan Majlis Seni Kebangsaan menganjurkan sayembara cerpen tahun ini. Apakah petua mengolah cerpen berjaya? Mohd Fuad Salim, antara penulis cerpen dan skrip drama radio/tv yang disegani berkongsi pengalamannya. Laporan MOHD RAMAN DAUD (raman@sph.com.sg).
Jun 13, 2016 | 05:30 AM



HAYATI masalah masyarakat dengan melakukan "percikan permenungan".



Itulah falsafah Mohd Fuad Salim, 77 tahun, selaku penulis cerpen serta skrip drama radio dan televisyen (TV) sejak 1960-an.



Ungkapan itu juga serupa judul novel 1925 karya Roestam Effendi (1902-1979), nasionalis asal Minang dan sasterawan perintis Indonesia.



"Saya menulis berdasarkan apa yang saya alami, lihat, dengar, baca," katanya bersahaja.



ANGKATAN '60-AN



Nama beliau tidak tertera dalam buku Leksikon: Direktori Penulis Melayu Singapura - Pasca 1965 yang dikhususkan bagi para penulis warga Singapura saja, tetapi terakam dalam Bibliografi Sastera Melayu Singapura, 1965-2009 (BSMS).



Bakat alamnya sebagai penulis mekar di Radio dan Televisyen Singapura (RTS) lewat rancangan drama kelolaan Cik Zahra Za'ba (1921-1988, ketua radio bahagian Melayu antara 1958-1974). Untuk drama televisyen pula, beliau mengasah bakat dengan dua penerbit, Encik Zain Mahmood (1933-94) dan Encik Bani Buang (1929-1996).



Beliau selalu diburu penerbit drama (radio dan TV) untuk mendapatkan skripnya. Cerpennya tersiar di akhbar setempat, Utusan Zaman, Minggu Malaysia dan Dewan Sastera.



Encik Muhammad Rafi Abu Bakar (kini pegawai kanan di Pusat Bahasa Melayu Singapura) dalam tesis sarjananya dan esei dalam buku BSMS, menyifatkan Mohd Fuad sebagai "penulis cerpen produktif sepanjang zaman", selain sasterawan mapan Suratman Markasan, 86 tahun.



"M. Fuad Salim muncul kali pertama pada 20 Julai 1969 dengan cerpennya Siapa Bilang Abang Ta' Sayang. Beliau merupakan penulis yang bukan saja produktif, malah dapat menghasilkan karya bermutu dan telah memenangi Hadiah Sastera dan beberapa anugerah untuk bidang cerpen.



"Cerpen M.Fuad Salim yang terakhir berjudul Al-Gojo yang tersiar pada 3 Jun 2001 di Berita Minggu. Cerpen ini menggunakan teknik episod dalam penceritaan. Terdapat sembilan episod di dalam cerpen ini yang disiarkan selama dua minggu (berturut-turut)."



PENGARUH



Beliau menggunakan nama pena Dauf Milas dan S.Pakut bagi sebahagian cerpennya.



Sebahagian cerpen awalnya telah dibukukan bersama karya penulis A Razak Jaafar, berjudul Jejak Menapak (terbitan Federal Publication, 1979).



Lama sebelum ini, kalangan pengkritik setempat pernah mengulas karya-karyanya.



Misalnya, Suratman Markasan berpendapat bahawa antara pengaruh Mohd Fuad Salim ialah penggunaan lambang atau simbol seperti dalam cerpen Ke Mana Hati Nak Kubawa yang memenangi Hadiah Sastera (Penghargaan) 1974.



Watak-watak manusia dipaparkannya pada burung atau unggas. Ia serupa teknik para penglipur lara zaman silam atau karya puisi sufi Parsi, Persidangan Burung, karya Farid ud-Din Attar dalam abad ke-12 Masihi.



Sasterawan mapan dan juga pengkritik, Encik Mohamed Latiff Mohamed, mendapati kritik sosial Mohd Fuad sebagai halus, licin dan lincah lagi berkesan seperti dalam cerpen-cerpen antologi Jejak Menapak yang mendapat anugerah terbaik daripada Majlis Pembangunan Buku Kebangsaan pada 1980 (ketika anugerah ini mula dilancarkan).



MEMBACA DAN MENULIS



Menurut Encik Mohd Fuad, tiada rahsia khas atau formula khusus dalam berkarya, termasuk menulis cerpen.



Persediaan atau bekal yang utama dan pertama, hujahnya, seseorang mestilah rajin membaca dan gigih menulis serta ghairah pada persuratan.



Beliau fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Bacaannya boleh dikatakan meluas. Pengetahuan bahasa, hujahnya, cukup penting untuk dapat membaca dengan cepat dan faham.



Dalam pada itu, pergaulan yang luas juga menolong beliau menanggapi permasalahan sosial yang wajar dipaparkan secara peka (halus) tanpa bersikap menghukum (jatuh hukum) ke atas watak manusia.



Contohnya, cerpen Mary Anne Aku Sayang Padamu, beliau memaparkan dilema kedi yang dialami oleh Mohamed Tamrin @Mary Anne, seperti cuplikan berikut:



Ya Mary Anne ialah seorang kedi. Seorang manusia yang terlalu keperempuanan sifat-sifatnya sehingga tidak layak dipanggil lelaki. Seorang manusia malang yang tidak tentu jantinanya hingga dia dianggap ganjil...



Oleh kerana semua jalan sudah tertutup baginya... Menderitalah dia dalam sialan nasibnya sendiri. Kini sudah setahun dia terjebak di Bugis Street, memperdagangkan tubuhnya...



Mary Anne alias Mohamad Tamrin dan aku berkawan sejak zaman kanak-kanak. Zaman gemilang yang tak akan berulang lagi. Zaman tidak kenal erti duka nestapa. Zaman tidak tahu malu kalau hari-hari tidak berbaju atau telanjang bogel....



Teknik cerpennya menyorot satu atau dua watak sebagai cerminan mikrokosma atau dunia kecil.



Namun terpapar perincian pada watak dari segi zahir dan batin serta penonjolan dilema atau isu.



Dengan pilihan kata yang tepat dan ayat yang ringkas lagi padat, beliau menganyam cerita menjadi suatu kisah untuk direnungi - sejajar dengan falsafahnya sebagai jurucerita 'percikan permenungan'.



Masalah kesihatan, termasuk glaukoma yang mengakibatkan mata kirinya buta, menjejas daya kreatifnya.



"Tinggal sebelah mata yang saya perlu rawat. Mudah-mudahan dapat sambung menulis," katanya dalam telewicara Whatsapp, sambil menegaskan "tinta pena saya belum lagi kering".



Malah beliau masih menulis untuk majalah kelab kereta vintaj (MSVCR). Nantikan cerpennya....




Bersaku kertas dan pena



PENULIS Mohd Fuad Salim dilahirkan pada 22 Oktober 1939 dan bersekolah di kota Muar, Johor.



Beliau mula bertugas di Bilik Berita, Radio Malaya sejak 1960 sehingga 1985 dan pernah menjadi wartawan di akhbar ini (1985-1986), pengurus di TV3 Malaysia dan konsultan skrip bagi firma penerbitan TV, Kris Motion.



Dari segi penulisan cerpen, beliau dianggap antara 'Penulis Cerpen Produktif Sepanjang Zaman' oleh pengkaji Muhammad Rafi Abu Bakar dalam eseinya di buku Bibliografi Sastera Melayu Singapura (1965-2009).



Dulu saku seluarnya sering berbekal kertas dan pena untuk melakar cerita. Baru-baru ini pula, 'geng' lamanya dari radio, TV dan akhbar ini, menyambut beliau dalam satu pertemuan "tak kering gusi" di Restauran Pariaman, North Bridge Road.



Kini beliau merupakan datuk yang sibuk di rumah dan adakala memandu kereta vintajnya, Volkswagon Beatle buatan 1968 dengan menyertai persatuan kereta vintaj Malaysia-Singapura (MSVCR).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >