Sesebuah pementasan teater yang mempunyai alur cerita dan jalur naratif, bertitik daripada naskhah skrip yang telah ditulis serta dianyam dengan pelbagai gaya bahasa, isi dan konteks sosial.

Justeru, di luar tayangan pementasan fizikal, skrip tersebut dapat dibingkiskan sebagai satu teks kebudayaan yang dapat mencerahkan pemikiran dan mencetus keindahan.

Sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) 2026, satu program berjudul, Skrip, Pentas, Cerita: Teater Melayu Sebagai Sastera telah dianjurkan pada 15 November di The Arts House, 1 Old Parliament Lane.

Acara itu khusus bagi membongkar bagaimana teater Melayu menjadi satu bentuk sastera dalam konteks masyarakat Melayu setempat.

Ia memberi tumpuan kepada bagaimana skrip ditulis, dipentaskan, dan diterima oleh penonton serta pembaca Melayu di Singapura.

Perbincangan tersebut terdiri daripada tiga anggota panel iaitu pelakon dan pengarah, Sani Hussin; pelakon, penulis dan pengarah teater, Adib Kosnan; dan penulis yang juga dramatis dari Malaysia, Adriana Nordin Manan.

Pemudah cara perbincangan itu ialah Nessa Anwar, seorang penulis dan penerbit.

Sesi perbincangan dimulakan dengan soalan pembukaan yang berbunyi – adakah teater Melayu dapat dianggap sebagai sastera?

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Rata-rata kesemua ahli panel itu berkongsi pandangan yang sama, bahawa sesebuah drama yang ditulis itu memang wajar diangkat sebagai sastera kerana ia mengandungi sifat-sifat penulisan dan persuratan seperti plot, konflik dan bahasa yang menarik.

Kategori drama sebagai salah satu cabang sastera itu sendiri akan terus diperkukuh sekiranya ia dibukukan dan diterbitkan.

Namun, menurut mereka, teater pula merupakan satu seni yang mencantumkan komponen dan beberapa bidang lain seperti pentas, pengarahan dan lakonan.

Pucuk pangkalnya, perbincangan itu menggariskan bahawa bahan atau skrip yang terzahir dalam satu pementasan teater itu layak dikategorikan sebagai sastera yang merakam kebudayaan masyarakat dalam sesuatu zaman.

Bercakap tentang kaitan teater dengan sastera Melayu, mahu tidak mahu, bahasa menjadi satu persoalan yang kerap timbul sebagai ciri budaya yang perlu dititikberatkan.

Sementelahan lagi, bahasa dalam sastera Melayu itu sering merujuk kepada penggunaan bahasa tinggi lagi indah.

Sehubungan dengan itu, satu permasalahan mula terbit apabila skrip teater itu ditolak dan tidak diangkat sebagai sastera hanya semata-mata kerana ia tidak menggunakan bahasa Melayu baku yang puitis.

Dalam mengapungkan hal itu, pemudah cara program, Nessa, mula membangkitkan isu yang didepani sebilangan penulis dan penggiat teater apabila pengertian sastera itu diperkecil.

Bagi beliau, apabila pengertian ‘sastera’ itu disempitkan sedemikian, ia mewujudkan gejala gatekeep atau kawalan ketat bagi sesetengah skrip teater daripada dianggap sebagai satu bentuk sastera yang baik kerana ia tidak menepati selera bahasa tinggi yang diidamkan.

Menurut Adib, drama teater itu menjadi perakam sesuatu zaman yang mempunyai konteks dan nuansa tersendiri.

Maka, bagi merakam keadaan sosial dengan secara tepat, laras bahasa yang dipanculkan dalam skrip adakala harus mengikut rentak zaman yang mempunyai slanga dan bahasa pasar tersendiri.

Memberikan jawapan kepada isu itu, Sani menukil karya berjudul, Haidah, oleh penulis atau tepat lagi penggiat seni pelbagai disiplin, Noor Effendy Ibrahim.

Drama tersebut mengisahkan tentang seorang remaja bernama Haidah yang hamil dan menjadi bingung tatkala mendengar suara-suara watak-watak dalam imaginasinya.

Menariknya, karya Haidah itu telah merangkul anugerah Drama Terbaik dalam Festival Teater Remaja anjuran Persatuan Kemuning Singapura pada 1991.

Lebih menarik lagi, karya itu telah melawan arus dengan tidak menggunakan bahasa tinggi yang dianggap sebagai ‘sastera’.

Malah, ia mengamalkan langgam bahasa yang cukup mudah dan sejajar dengan cara percakapan seharian.

Waima begitu, karya asli Noor Effendy Ibrahim itu tetap berjaya merangkul anugerah dan diterima sebagai satu bentuk sastera.

Menurut Sani, karya itu menjadi bukti bahawa sesebuah karya yang dianggap sastera itu tidak semestinya harus ditulis dengan kalimat yang sangat tinggi peringkat bahasanya.

Malah, sesebuah karya itu wajar diangkat sebagai sastera kerana ia mengandungi inti pati atau subject matter yang mendalam dan secara tidak langsung, mencerahkan keadaan masyarakat serta merangsang pemikiran pembaca atau penonton.

Apa yang ditegaskan oleh Sani mengingatkan penulis akan kata-kata seorang sarjana dari Kenya, Ngugi wa Thiong’o, yang memberi satu kerangka pemahaman yang jelas tentang sastera.

Ngugi menulis:

“Kesusasteraan terhasil daripada tindakan manusia yang dilakukan secara sedar dalam masyarakat.

“Pada peringkat kolektif, kesusasteraan, sebagai produk kegiatan intelektual dan imaginatif manusia, merangkumkan ketegangan, konflik dan percanggahan yang berakar umbi dalam jati diri serta proses pembentukan sesebuah masyarakat.

“Sebagai sebahagian daripada kegiatan kesenian manusia, kesusasteraan itu sendiri merupakan sebahagian daripada proses manusia merealisasikan dirinya melalui pergelutan dengan alam.”

Tuntasnya, sastera itu mampu wujud dalam mana-mana bidang seni atau lapangan kehidupan sekalipun.

Ia bukan sekadar permainan bentuk dan seni kata atau keasyikan memuntahkan kosa kata yang sedap didengar.

Namun, ia merupakan satu proses yang berpaksikan pengalaman kemanusiaan yang bergelut dengan persekitaran dan membawa kepentingan kemasyarakatan.