Diam tak diam hari ini hari ke-22 kita berpuasa. Ketika gagak putih, bangau hitam, iaitu pada zaman dahulukala, bilangan antara 20 dan 30 dipanggil likur. Jadi 10 malam terakhir Ramadan dipanggil malam-malam likur.
Hari ini, 22 Ramadan, adalah malam dua likur. Ini bermakna tinggal lapan hari sahaja untuk kita berpuasa Ramadan tahun ini. Begitulah masa berlalu seperti kilat pantasnya, iaitu sangat cepat.
Tahun baru dalam kalendar Islam bermula pada Muharam, bukan Ramadan. Namun, ada satu persamaan antara Ramadan dengan Tahun Baru kalendar Masihi.
Pada ambang Tahun Baru, ramai orang membuat banyak dan pelbagai resolusi untuk melakukan, mencapai atau mengubah sesuatu pada tahun mendatang itu. Biasanya sesuatu itu adalah perkara yang baik-baik.
Bagaimanapun, pada akhir tahun itu, banyak dan pelbagai juga perkara itu tidak terbuat, tercapai dan terubah. Ini ibarat kata orang tua-tua, seperti kotek ayam mandul, yang bermaksud banyak niat, satu pun tidak menjadi.
Mentelah jika resolusi itu bukan mati tidak akan menyesal, luka tidak akan menyiuk, yang bermaksud niat yang sudah tetap, tekad yang sudah bulat.
Begitulah juga sebahagian kita pada Ramadan. Menjelangnya, pelbagai ibadah dirancang hendak dibuat. Apabila ia semakin hendak berlalu, semakin lupa kita akan rancangan itu. Sebab itu pada awal Ramadan masjid penuh dengan jemaah, tetapi pada pertengahan dan hujungnya, jumlahnya berkurang.
Kata orang tua-tua ini hangat-hangat tahi ayam, iaitu tidak bersungguh-sungguh. Atau genggam-genggam bara, terasa hangat dilepaskan, yang bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan setengah-setengah hati, terasa sukar, lalu ditinggalkan.
Kata alim ulama, Ramadan, bulan puasa, adalah madrasah hati untuk mendidik Muslim mengawal hawa nafsu dan kehendak serta memupuk jiwa menjadi belas dan rela membantu orang lain. Kata jauhari, perut kosong, dibuat gulai, yang bermaksud keinginan timbul apabila dalam kekurangan. Jadi masa yang baik untuk berlatih mendisiplin diri menolak kehendak nafsu ialah ketika berpuasa, ketika perut kosong.
Pujangga pula berkata perut kosong penggilap otak, yang bermaksud lapar menyebabkan orang berfikir, dan pantangan penghulu menyingsingkan lengan, iaitu orang berakal budi, berfikiran sihat, tidak mudah terdorong oleh nafsu.
Hati yang dapat mengawal hawa nafsu tidak akan menjadi ular telan babi, cacing yang bengkak perut, yang bermaksud cemburu terhadap keuntungan orang lain. Hawa nafsu yang terkawal tidak akan bertindak buntat hendak jadi gemala, iaitu tidak tahu diuntung (bermaksud tidak tahu menghargai apa yang ada pada dirinya atau diterimanya).
Jiwa yang belas tidak akan bertindak siapa lu, siapa gu, iaitu hidup bernafsi-nafsi, yang bermaksud hanya mementingkan diri sendiri. Ia akan mudah terdorong menghulurkan bantuan apabila melihat golongan perut kenyang lapar tak hilang, minum sejuk haus tak lepas, iaitu orang yang amat susah.
Dan apabila bersua orang lebih senang, ia akan teringat golongan lebih merana daripadanya, yang terpaksa ikat perut, iaitu mengurangkan makan kerana kemiskinan, atau berendam sesajak air, berpaut sejengkal tali, iaitu susah hidupnya atau serba kekurangan.
Namun, jika lulus madrasah Ramadan sekadar cukup makan, iaitu cukup-cukup sahaja, tidak lebih dan tidak kurang, keadaan sebelum dan selepas berpuasa mungkin seperti lima belas dengan tengah dua puluh, iaitu serupa sahaja.
Kata orang tua-tua, tak berasak lenggang dari ketiak, iaitu tidak berubah-ubah dan masih tetap seperti lama juga.
Sebaliknya, mereka yang hendak lulus madrasah Ramadan dengan cemerlang, pasti berusaha agar usang dibarui, lapuk dikajangi, iaitu mana-mana yang tidak baik diganti atau dibaiki.
Ia sejajar tiga darjat puasa menurut Imam Al-Ghazali:
Puasa al-Umum, iaitu hanya menahan perut dan syahwat daripada tuntutan nafsunya sahaja. Ini puasa golongan awam.
Puasa al-Khusus, iaitu puasa golongan solihin, yang selain menahan perut dan syahwat, turut menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan serta seluruh panca inderanya daripada makasiat dan dosa.
Puasa Khusus al-Khusus, iaitu puasa selain menjaga dua perkara di atas, bersungguh-sungguh menjaga hati daripada mengingati hal keduniaan. Ini puasa para nabi, Sadiqin dan Muqarrabin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg