Suatu masa dahulu bila raja membuka negeri ramai datang menghambakan diri Shah Bandar menjaga keamanan laut banyak kapal berlabuh di muara sungai Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan adalah laluan sampan panjang, lengkeng, lancang dan sabang langit biru terbentang rindu berjauhan ombak putih menggulung janji dan harapan.
Hidup begitu santai di pesisiran yang landai tidak pernah cemburu atau berkelahi pada Belanda, Feringgi dan Inggeris yang penuh berahi digoda haruman lada, kayu manis, pala, bunga cengkih serakah meluncurkan kapal menempuh gelombang haloba meyakinkan pelayaran yang panjang demi Sang Ratu dan empayar yang gemilang ribut taufan tidak mengubah warna rambut anak kapal senapang dan meriam meletus api dalam sekam.
Tahun 1824 yang malang Selat Melaka menjadi sempadan Tanah Melayu dan kepulauan Riau jadi rebutan penjajah cukup lama menjarah maruah anak watan seperti mimpi buruk yang sukar dilupakan daun-daun kering berguguran dilanda bayu seteru embun pagi masih basah di tiang kapal sejarahmu angin selatan masih kencang mengembang layar hidupmu lalu pastikan fungsi selat dan laut kembali berbakti menyatukan alam Melayu seantero pulau dan negeri.
HAMED ISMAIL


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg