lalu mereka bertanya dengan terpinga-pinga siapakah itu yang tiba-tiba menjelma bak seorang ahli silap mata dalam bilik kecil yang sepi lagi lengang ini berdindingkan tembok batu bertingkap ram kaca yang lengkapnya tiada tidak pula tersusun rapi meja kerusinya manakala cebisan carik-carik kertas, nota dan ujian serta tisu dan botol minuman kosong... sengaja dibiarkan merata-rata dan masih terus berselerak... di atas lantai yang dibuat daripada simen bancuhan sementara di rak-rak bawah meja terdampar buku-buku teks, latihan dan nota-nota yang bernama dan bertuan disumbat muat... walaupun sudah terisi segala kapasiti ruang yang ada
maka jawabku, dialah sang guru seorang pencerita yang tiada pernah kenal kecewa kerdip fikirannya yang membakar... sentiasa tenang dan terang degap-degup jantungnya... menderu matang dengan apa yang di depan berhujah gigih mencarakan kata-kata magis merentasi batasan realiti dengan kreativiti agar dapat mengisi ruang infiniti... dengan fantasi dan impian keupayaan tersembunyi menghidupkan suasana dengan kebijaksanaan


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg